[:::ILMU:::] ~Bahagian 18~

by January 04, 2017 0 comments
            Menyambung pula cebisan faham tentang siri kuliah En.Roslan, beliau menyebut tentang ilmu hakikat. Terma ilmu hakikat ini sering diguna bahkan oleh ajaran sesat sekalipun yang mana mereka tidaklah tercapai akan hakikat sesuatu perkara, namun hanya terperangkap dalam lembah kekeliruan dan kesesatan yang nyata. Semoga Allah memberi hidayah kepada diri kita dan juga kepada mereka semua.

            Untuk memulakan perbincangan tentang ilmu hakikat, eloklah kita bermula dengan bercakap tentang hak terlebih dahulu. Hak ataupun lebih tepat dieja Haqq, merupakan salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t. Maka disitulah bermulanya perbincangan, iaitu empunya Haqq tersebut. Haqq membawa maksud kebenaran dan realiti.(reality and truth). Ia bukan hanya kebenaran, ia juga merupakan realiti, iaitu Haqq mencakupi makna realiti dan kebenaran, iaitu  kedua-duanya sekaligus terkandung dalam erti Haqq. Lawan kepada Haqq ialah Batil. Setiap benda ada hakikatnya dan hakikat sesuatu perkara dapat diketahui, contohnya  apabila kita mengetahui tempatnya yang sebenar, dan mengetahui maknanya, dan mengetahui tujuannya. Dan hakikat setiap perkara, tidak menunjukkan kepada dirinya, melainkan ianya berfungsi menunjukkan kepada empunya hakikat tersebut, iaitu Allah s.w.t. Setiap ciptaan adalah ibarat petunjuk yang menunjukkan kepada penciptanya. Ianya akan membawa kita kepada perbincangan tentang pandangan alam ataupun worldview. Pandangan Alam itulah ilmu hakikat yang dimaksudkan. Merujuk kepada definisi pandangan alam (worldview) yang diberikan oleh YM.Tan Sri Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Prolegomena to The Metaphysics of Islam : An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, ialah :

"What is meant by `worldview`, according to the perspective of Islam, is then the vision of reality and truth that appears before our mind`s eye revealing what existence is all about ; for it is the world of existence in its totality that Islam is projecting." 

              Allah s.w.t memberitahu kepada kita melalui wahyunya dengan jalan perantaraan para rasul, tentang 2 aspeknya yang perlu kita ketahui iaitu aspek Rabb (Lord, Sustainer, Cherisher,Master ,Nourisher)  dan Ilah (Yang Disembah). Merujuk kepada surah ke-7: ayat 172, yang menyatakan tentang perjanjian asali (mithaq/covenant), pada peringkat itu kita hanya mengenali Allah sebagai Rabb sahaja. Di dunia inilah baru kita mengenalinya sebagai Rabb al-Alamiin iaitu Tuhan Sekalian alam. Dan dalam salah satu kuliah Saturday Night Lecture oleh YM.Tan Sri Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau mengatakan bahawa Alam is Plural, Alamiin is Plural of Plural. Beliau meneruskan penjelasannya tentang ayat dalam surah al-Fatihah tersebut yang membawa maksud Allah bukan sahaja Rabb alam ini, bahkan terdapata alam-alam lain yang tidak kita ketahui, yang mana Allah juga Rabb bagi alam-alam tersebut, yakni semua alam yang wujud, Dialah  pencipta alam-alam tersebut, Dialah juga Rabb bagi alam-alam tersebut. Itu wajib kita beriman.

               Seterusnya, dalam mendepani cabaran pemikiran pada masa kini, apabila kita membaca sesuatu karya, kita tidak boleh menjadi pembaca pasif. Kita mesti engage dengan buku-buku tersebut, terutamanya karya-karya besar dari barat. Barat membuat pelbagai interpretation tentang pelbagai perkara seperti tentang hidup, tentang kebenaran, tentang etika, tentang benar dan salah dan sebagainya. Maka kita seharusnya mempunyai, menurut En.Roslan, "critical reevaluation of the modern intrepetation of the world".

               Dalam melihat perbandingan agama di barat dan juga islam, kita harus sedar bahawa agama kita adalah berdasarkan Knowledge to Believe, bukannya Will to Believe. Iaitu kita bukanlah percaya agama kita, hanya kerana kita memilih untuk percaya atau menghendakkan diri kita untuk percaya semata-mata tanpa sebarang sebab. Tetapi, kita mempunyai ilmu yang mencukupi tentang dasar agama kita yang kita nilai sebagai kebenaran, dan dengan ilmu yang kita ada tentang islam, kita beriman pada ajaran Islam. Kita kenal islam sebagai ajaran yang benar, kita mengakui dan mengiktiraf ajaran islam, dengan menjalani kehidupan kita, selari dengan apa yang disyariatkan dalam islam. Bahkan cara umat islam melihat realiti dan kebenaran juga berbeza dengan ajaran yang lain.

             Kalau difikir-fikirkan lagi, kita dapat pula melihat bahawa ramai pada hari ini gemar berbicara tentang hukum Allah, tetapi jarang berbincang tentang Allah itu sendiri. Sepatutnya sebelum berbincang tentang hukum Allah, kita harus mengenal Allah terlebih dahulu barulah kita bergerak kearah hukum Allah. Kita tidak boleh mengabaikan perbincangan tentang Allah, seolah-olah semua tentang Allah yang sepatutnya diketahui oleh kita itu telah lengkap dan sempurna. Bahkan aspek Rabb dan Ilah inilah yang masih ramai yang belum mengerti seperti yang sepatutnya sebagai seorang muslim. Ini juga yang kita panggil berlaku adil kepada diri kita. Jika tidak dikhuatiri akan membawa keburukan sekiranya melaksanakan hukum Allah tanpa tahu tentang Allah terlebih dahulu. 

    Ini semua membawa kita kepada 3 kata kunci iaitu keadilan(justice), hikmah (wisdom/kebijaksanaan) dan ilmu. Adil ialah keadaan suatu perkara itu berada pada tempatnya yang betul. Hikmah pula ilmu yang memberitahu pemiliknya,tempat yang benar bagi segala perkara. Dan dalam menuntut ilmu, kita harus berusaha agar mencapai tingkat yang tertinggi dalam menuntut ilmu. Ilmu membawa kepada keyakinan, dan tingkat tertinggi ilmu ialah tingkat tertinggi keyakinan yang dipanggil sebagai Haqqul Yaqin. Dengan ilmu, sebagai umat islam, kita tidak buat sesuatu dalam kehidupan kita tanpa sebab, atau tanpa sengaja, segalanya adalah berdasarkan ilmu. Setiap aspek khidupan kita adalah berteraskan ilmu.

               Akhir kata, dalam penulisan yang agak impromptu ini, dalam menuntut ilmu, kita harus meletakkan guru-guru kita pada tempat mereka. Kedudukan guru-guru kita adalah melebihi kedua ibu bapa kita, kerana ibu bapa kita menjaga kita soal-soal kehidupan di dunia, namun guru membimbing kita agar kita berada jalan yang benar, dan dengan izin Allah kita mendapat keselamatan kedua-dua di dunia dan di akhirat. Bahkan, layanan mesra dan perbuatan berlaku adil kita kepada kedua ibu bapa kita, ahli keluarga, insan lain, haiwan, tumbuhan, dan mineral juga hasil daripada didikan guru kita. 





            

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.