[:::ILMU:::] ~Bahagian 17~

by December 26, 2016 0 comments
                 Dalam siri kuliah ilmu bersama dengan Encik Roslan Abd.Jelani, beliau ada menyebut tentang ilmu. Berkenaan ilmu dan nabi muhammad s.a.w, baginda bukan sahaja mengajar ilmu, namun baginda sendiri adalah ilmu. Maksudnya, apabila baginda menyampaikan pesanan yang membawa makna jangan menipu, mesti bercakap benar, mesti bersabar, mesti berakhlak mulia, mesti beradab, itulah diri baginda. Akhlak  baginda adalah seperti yang baginda ajarkan kepada kita. Kalau pada masa kini, kita dapat lihat ramai yang menyampaikan pesan-pesan agama, sedangkan mereka sendiri berkelakuan sebaliknya. Menyuruh orang jujur tetapi diri sendiri tidak jujur.

               Kita tidak boleh menganggap diri kita lebih baik daripada nabi muhammad s.a.w. Itu perkara yang tidak betul, kerana baginda adalah contoh terbaik untuk kita semua. Dan contoh terbaik sepanjang zaman. Bahkan dalam kalangan para rasul sekali pun, kedudukan baginda adalah mengatasi sekalian nabi dan rasul. Bagaimana kita ingin menjadi seorang yang benar2 berakhlak mulia, kalau cara kita bersikap dengan individu yang merupakan contoh akhlak mulia itu adalah tidak betul? Bagaimana kita ingin memahami kitab al-Quran, kalau kita bersikap dengan 'penulis'nya pun tidak betul? Berlaku adil lah kepada mereka berdua iaitu  meletakkan kedudukan Allah s.w.t dan kedudukan nabi Muhammad s.a.w pada tempat yang betul dalam hati kita.

                      Ini juga mengingatkan kita kepada perlunya kita beradab dengan pewaris para nabi iaitu ulama yang benar. Kita tidak boleh semenang-wenangnya merendahkan ulama besar seperti Imam As-Syafii, Imam Abu Hamid al-Ghazali, al-Taftazani dan banyak lagi ilmuan lain, sedangkan diri kita pun tidak berada pada tingkat mereka dari segi kedudukan ilmu, kemuliaan akhlak serta kedudukan mereka di sini Allah s.w.t. Begitulah juga pada masa kini, kita sebagai penuntut ilmu, wajiblah kita menjaga adab kita dengan guru kita, agar ilmu yang diperolehi adalah ilmu yang membawa manfaat pada diri kita. Perlu kita sedari bahawa kedudukan guru kita sebenarnya adalah jauh lebih tinggi daripada kedudukan kedua ibu bapa kita sekalipun. Ada juga seorang ilmuan, yang menjadi amalannya iaitu menziarahi guru terlebih dahulu pada hari raya, barulah pulang menziarahi ibu bapa serta sanak saudara yang lain. Itu sepatutnya kita usahakan agar menjadi amalan kita. Besar ganjarannya dalam perjalanan kita menuntut ilmu.

                       Dalam kita menjalani kehidupan seharian kita sebagai insan yang beriman, sebenarnya harus kita rasai kehadiran Allah s.w.t dan juga kehadiran baginda s.a.w ke dalam kehidupan seharian kita. Kita hidup dengan merasai diri kita diperhatikan oleh Allah s.w.t. sepanjang masa. Kita hidup dengan merasai kehadiran nabi muhammad s.a.w, seperti setiap tindak tanduk kita,  mengingatkan diri kita kepada ajaran baginda dan juga perlakuan baginda sendiri dalam berkelakuan dalam kehidupan seharian. Kalau kita nak bagi contoh yang mudah, seseorang yang berada disebuah tempat yang tanpa CCTV atau dengan CCTV, biasanya berbeza. Mereka yang menyedari kehadiran CCTV itu adalah untuk memerhatikan setiap tingkahlakunya setiap masa untuk diadili dan dinilai, sudah tentu akan mempamerkan kelakuan yang terbaik. 

                       Maka begitulah kita dalam menjalani kehidupan seharian kita, apabila benar2 kita rasai bahawa Allah s.w.t itu sentiasa hadir memerhatikan apa saja yang kita buat, mendapat ganjaran yang baik bagi perbuatan baik dan sebaliknya, bukan saja luaran perbuatan sahaja yang diperhatikan, namun apa yang bermain di jiwa, yang tertayang dalam bayangan imaginasi dan lintasan hati juga tetap dilihat oleh Allah s.w.t, kita akan menunjukkan yang kelakuan terbaik sama ada yang terlihat pada luaran kita, atau yang tersembunyi dalam jiwa kita.  Dalam kekurangan kita, kita sentiasa bergelumang dengan kebatilan yang kadangkala tidak terdaya  untuk kita melawannya. Namun haruslah kita ikuti perbuatan yang buruk kita dengan kebaikan, dan terus berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t, agar mudah-mudahan dengan rahmat Allah s.w.t, kita mendapat kehidupan yang senang, pengakhiran yang baik, perjalanan kehidupan sesudah mati adalah perjalanan yang senang, mendapat kemudahan pada hari pengadilan kelak, dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah s.w.t serta nikmat tertinggi iaitu melihat wajah Allah s.w.t, yang mana hakikatnya tidak dapat kita ketahui, dan tak dapat digambarkan oleh aqal fikiran kita ini. Hanya dengan kehendak Allah s.w.t jua, dapat kita melihatNya. 

                   Yang utama bagi kita pada masa ini dan ketika ini, ialah hidup di dunia dengan menyedari tujuan kita diciptakan serta berusaha agar kehidupan kita ini, semoga dapat disimpulkan sebagai insan yang hidupnya memenuhi tujuan kita diciptakan sesuai dengan ayat :



"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu. "

(Surah  Adh-Dhariyat 51 : Ayat 56)

            
                   Seharusnya, setiap kali kita solat, kita sedar ini semua kerana sering kita baca :

"Sesungguhnya solatku dan ibadatku dan hidupku dan matiku adalah demi Allah, Rabb sekalian alam." 

(Surah Al An'am 6 : Ayat 162)


Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.