Pemikiran Islam dan Barat

by June 29, 2015 0 comments
1.0 PENGENALAN

            Sebagai seorang yang cintakan ilmu dan suka mengetahui perkara-perka melibatkan pemikiran,maka wajarlah kita tahu berkenaan tokoh-tokoh pemikir besar yang banyak menyumbang kepada tamadun serta cara mekera berfikir.Apa yang kita kagum ialah dengan hasil pemikiran mereka,mengubah cara masyarkakat melihat sesuatu seperti makna kebebasan ,kemuliaan, berkenaan kebahagiaan serta nilai tragedi yang merupakan watak kebudayaan barat.Selain dari itu,berlakunya perkembangan berkenaan pemikiran yang dibawa oleh barat seperti Max Weber,Friedrich Nietzsche,Cornelius van Peursen dan Sigmund Freud.

            Selain dari itu,kita ada tokoh besar masa kini iaitu Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas,yang bertanggungjawab menajdikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di fakulti dan universiti. Beliau merupakan salah seorang pengasas utama UKM,Universiti Kebangsaan Malaya,juga yang menggantikan penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar di UKM dengan bahasa Melayu. Al-Attas juga turut mengkonseptualisasikan falsafah UKM dan mempelopori penubuhan Fakulti Sains dan Fakulti Pengajian Islam,serta mendidikran IBKKM(Institut Bahasa,Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu) di UKM.Beliau merupakan pakar pelbagai disiplin ilmu seperti teologi,falsafah dan metafizika,sejarah, sastera serta kaligrafi.Al-Attas juga penyandang Kerusi Kehormat Al-Ghazali.Selain itu.

            Harus kita akui bahawa sumbangan pelbagai pemikir islam, mencorakkan tamadun-tamdun dunia seperti idea universiti juga dikatakan berasal dari tamadun islam,yang bertujuan sebenarnya untuk mendidik agar terhasilnya manusia universal yang dijadikan sumber rujukan umat islam iaitu nabi muhammad s.a.w.





2.0 PERBEZAAN PEMIKIRAN ISLAM DAN BARAT.

A. AGAMA DAN SEKULAR

            Kita tahu bahawa umumnya pemikir sains sosial di Barat,menolak peranan agama dalam pemikiran mereka sebagai tidak rational,tidak saintifik dan tidak berkait dengan keperluan masyarakat. Hal ini ditunjukkan oleh seorang ahli soiologis bernama Max Weber yang berkecenderungan mempamerkan wajah agama yang pelik berbanding nilainya yang suci lagi murni. Agama selalu dilihat oleh mereka dari aspek kepercayaan paganisme,animisme,amalan-amalan ganjil serta kisah-kisah dongeng.

            Kekuatan sesuatu agama sememangnya bergantung kepada dasarnya. Sesetengah agama tidak mempunyai landasan yang kukuh,serta terbuka kepada perubahan yang hanya berdasarkan pengalaman subjektif sebahagian pengikutnya. Agama yang bersifat begini sememangnya wajar menjadi kritikan oleh orang seperti Max Weber.Walaubagaimanapun, agama yang mempunyai akar yang kukuh akan terus menghadapi arus zaman. Khususnya agama islam, yang berasaskan kepada sumber wahyu yang tetap, ia akan terus berupaya mempamerkan kehebatannya dalam pentas sejarah. Wajar diakui bahawa setiap proses pemikiran untuk menghasilkan sesuatu,adalah berada dalam rangka pemikiran berlandaskan Al-Quran dan sunnah,kerana setiap perkara,hukum alam adalah ibarat papan tanda yang menunjukkan arah pada penciptanya.

            Setiap apa yang pemikir islam fikirkan adalah berlandaskan pandang alam islam(worldview of islam).Tambahan,menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas(1995), pandang alam bermaksud ”the vision of reality and truth that appears before our mind’s eye revealing what existence is all about”. Berdasarkan definisi ini,pandang alam islam melibatkan dunia yang dapat dilihat,dieksperimen serta dunia yang tak dapat dilihat, adalah merupakan sebahagian daripada satu realiti secara keseluruhannya.



B.ARUS SEKULAR

            Seorang ahli teologi yang bernama Cornelius van Peursen yang memegang kerusi falsafah di Universiti Leiden mendefinisikan sekularisasi sebagai ”the deliverance of man first from religious and then from metaphysical control over his reason and his languange”. Ini membawa maksud bahawa manusia menyedari bahawa apa yang dilakukan olehnya tidak lagi dapat dipersalakan pada suatu kuasa ghaib yang lebih tinggi yang menentukan nasibnya,serta dunia ini adalah di tangan manusia sepenuhnya untuk menguruskannya untuk memenuhi kehendak manusia dalam hidup di dunia ini.

            Pada awal abad ke-19, ahli falsah dan juga sociologi Perancis, Auguste Comte sudah dapat menjangka kemunculan sains dan keruntuhan agama, serta percaya menurut logik sekular beliau bahawa perkembangan falsafah barat dan sains sedang melalui proses perubahan, iaitu melalui proses evolusi. Menurutnya lagi,perubahan ini berlaku dari peringkat primitf menuju ke peringkat moden. Diikuti pula oleh Friedrich Nietzsche dengan ramalannya bahawa ”God is dead”.

            Islam melawan dan menolak arus sekular berdasarkan definisi agama itu sendiri. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas(2013), makna agama yaang difahami oleh oleh barat tidak sama dengan makna yang difahami oleh islam iaitu din,yang membawa maksud salah satunya ialah keberhutangan.
           
            Kita berhutang kepadanya kerana diri kita,segalanya berkenaan diri kita dijadikan olehnya. Maka setiap perbuatan kita,cara kita membina serta menyusun masyarakat kita adalah berlandaskan apa yang diajar oleh Allah s.w.t melalui para utusanNya, sebagai cara kita membayar hutang kita kepadaNya. Malahan,kita tidak mengubah agama untuk menurut kehendak kita,bahkan kita yang berubah agar kehidupan kita dan masyarakat,selari dengan ajaran agama.



C. MIMPI
            Pengasas psikoanalisis, iaitu Sigmund Freud  menghasilkan karya besarnya iaitu ’The Interpretation of Dreams’. Dian menekankan pandangannya berkenaan kepentingan penindasan, hasrat yang datang dalam bentuk samar, dan asal-usul kandungan mimpi yang didominasi oleh pacuan seksual and permusuhan terhadap ibu bapa yang dikaitkan oleh apa yang didefinisikan oleh  Freud sebagai Oedipus Complex. Definisi Oedipus Complex membawa maksud keingingan seksual terhadap ibu atau bapa yang berlainan jantina serta cemburu dan benci pada ibu atau bapa yang satu lagi.Contohnya anak lelaki akan mempunyai keinginan seksual terhadap ibu,namun benci dan cemburu terhadap bapa. Begitulah sebaliknya bagi anak perempuan.Maka segala keinginan ini akan diluahkan dalam mimpi seseorang.

            Berbeza pula dengan Imran Nazar Hosein yang menulis dalam karyanya yang bertajuk ’Dreams in Islam,A Window to The Truth and to The Heart’, menyatakan dan turut mengkritik Sigmeund Freud dalam karyanya dengan mengatakan bahawa mimpi terbahagi kepada 3 iaitu mimpi baik,mimpi buruk dan mimpi daripada driri(nafs). Mimpi yang baik contohnya ialah melihat nabi muhammad s.a.w ,serta melihat ibu bapanya.Menurut sebuah hadis sahih bukhari yang masyur, mimpi yang baik daripada orang yang beriman kepada Allah s.w.t adalah 1/46 daripada tanda kenabian.Walau bagaimanapun mimpi tidak boleh digunakan sebagai hujah,namun digunakan sebagai peringatan kepada diri kita. Mimpi yang buruk ialah daripada syaitan yang ingin mengganggu ketenangan jiwa serta mimpi yang berunsur merosakkan silaturahimn dam hubungan  persaudaraam jika diceritakan pada orang lain. Seterusnya ialah mimpi dari diri,seperti seseorang itu inginkan sesuatu namun kehendaknya tidak tercapai.Maka dalam mimpinya dia bermimpi mendapatkan perkara yang diinginkan.Mimpi ini berfungsi untuk menstabilkan emosi,Diingatkan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadis sahih bukhari bahawa penipuan yang paling teruk ialah seseorang mengatakan bermimpi berkenaan sesuatu yang dita tidak bermimpi.

D.WATAK KEBUDAYAAN BARAT DAN ISLAM
            Kenyataan bahawa tragedi sebagai salah satu watak kebudayaan barat adalah satu tesis dan idea asli yang dikemukakan oleh Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas.Walaupun Aeschelus dianggap sebagai pengasas tragedi,namun Aristotle yang sebenarnya menggerakkan tragedi di barat dalam karyanya, Poetics. Barat juga terpengaruh dengan Seneca,seorang ahli politik dan ahli falsafah Stoic Roman yang menulis berkenaan tragedi dari adaptasi karya-karya Greek seperti kisah-kisah Oedipus,Hippolytus,Medea dan Agamemnon. Seneca menekankan berkenaan penderitaan dalam penulisannya.Barat menjadikan tragedi yang berupa drama atau pementasan,untuk melahirkan rasa belas kasihan dan takut,dan pada masa yang sama perkara ini melegakan jiwa dan memberi rasa kegembiraan kerana mereka sekurang-kurangnya tidak berada dalam keadaan sebagaimana dalam tragedi drama tersebut
            Manakala dalam islam,kita melihat bahawa segala tragedi yang berlaku di barat itu adalah lebih kepada kesengsaraan jiwa dan fikiran mereka sendiri,hasil daripada mereka berpaling dari jalan Tuhan yang sebenar. Dalam islam, istilah tragedi tidak wujud. Walaupun terdapat berbagai bentuk kesengsaraan dan kecelakaan yang menimpa umat islam, kita melihatnya sebagai bentuk ujian dari Allah s.w.t.
            Contohnya hasil dari watak tragedi ini,kita dapat lihat hasilnya seperti dalam karya seni,pelacur atau penghidap penyakit HIV menjadi protagonis dalam melawan kesengsaraan yang menimpa hidupnya,dijadikan sebagai ’hero’ yang wajar dijadikan model.Namun,bagi yang melihat segalanya sebagai ujian dari Tuhan,islam telah memberikan contoh terbaik iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah bahagia walaupun kadangkala menempuh derita,kesakitan serta rintagan.Manurut Syed Muhammad Naquib al-Attas(1995) Kebahagiaan dicapai apabila keraguan itu dibuang dari dalam diri.Apabila seorang itu yakin berkenaan nasibnya didunia,serta nasibnya sesudah mati hasil dari perbuatannya, maka dia jelas dan berkelakuan berlandaskan ajaran agama agar mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.Oleh itu islam bercakap soal yakin,dan bercakap berkenaan iman,iaitu yakin sepenuhnya.
3.0 SUMBANGAN PEMIKIRAN TOKOH ISLAM
A.MEMBERIKAN DEFINISI BERKENAAN ILMU.
            Dari segi linguistik,perkataan ’ilm berasal daripada akar kata ’ain-lam-mim yang diambil daripada perkataan ’alamah, iaitu tanda,petunjuk, atau petunjuk.Definisi ilmu yang diberi oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas mengisyaratkan bahawa pencapaian ilmu dan pemikiran, yang juga disebut dengan proses perjalanan jiwa pada makna,adalah sebuah proses spiritual. Ilmu yang itu leih daripada sekadar fakta,keterampilan,atau sikap peribadi,seperti yang sekarang popular di dunia pendidikan,meskipun tidak dapat dinafikan bahawa ilmu itu mengandungi salah satu atau bahkan kombinasi daripada ketiga-tiganya. Ilmu tidak sama dengan maklumat.Sekiranya komputer riba kita dapat menyimpan semua maklumat tesis ataupun jurnal yang ada,kita tidak kata komputer kita berilmu. Maklumat menjadi ilmu apabila ditafsir oleh minda dengan betul.
            Ilmu adalah keprcayaan yang benar.Manurut al-Attas lagi, kepercayaan yang benar dalam perspektif islam bukan hanya suatu usulan,melainkan sesuatu yang bersifat intuitif,iaitu salah satu aspek keupayaan spiritual akal manusia. Ilmu tentnag Allah s.w.t misalnya, tidak dapat dibatasi oleh sesuatu usulan dan disimbolkan dalam bentuk linguistik yang menggambarkan Nama-nama dan Sifat-sifatNya.Pada tingkat yang lebih tinggi,ilmu tentang Allah s.w.t adalah pengalaman ketika seseorang bersatu dengan Realiti atau al-Haqq dan inilah ert yang sebenarnya tentang ilmu.Ilmu adalah kebenaran yang diungkapkan dengan istilah haqq,yang merangkumi sesuatu,baik usulan mahupun ontologi.Tingkat pemikiran dan pengalaman biasa melibatkan makna sesuatu objek yang datang ke dalam jiwa dan sebaliknya,ilmu adalah kesatuan antara orang yang mengetahui dengan makna. Unsur-unsur makna dibentuk oleh jiwa daripada objek yang ditangkap oleh indera ketika jiwa itu menerima pencerahan daripada Allah s.w.t.Definisi seperti ini memungkinkan seseorang untuk memiliki ilmu tentang sesuatu yang tampak dan abstrak dan juga mengandaikan bahawa ilmu memerlukan serenteta usaha daripada orang yang mengetahui untuk memilikinya adalah pemberian daripada Allah s.w.t. Maka,seseorang yang berpotensi untuk mengetahui sesuatu perlu membuat persiapan intelektual dan spiritual agar layak menerima pemberian allah s.w.t ini.

B.MENDEFINISIKAN PENDIDIKAN
            Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan pendidikan sebagai ”penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang”.Perkara ini disebut sebagai Ta’dib. Kita juga jelas bahawa contoh manusia yang beradab ialah nabi Muhammad s.a.w.Dalam Persidangan SeDunia tentang Pendidikan IslamPertama yang diseleggarakan di Mekah pada April 1971,beliau tampil sebagai salah seorang pembicara utama dan pengerusi jawatankuasa yang membahaskan cita-cita dan tujuan pendidikan secara sistematik. Al-Attas mencadangkan agar definisi pendidikan diganti menjadi maksud penanaman adab iaitu ta’dib.Namun, semasa persidangan tersebut,jawatankuasa berkompromi dengan menyatakan, ”erti pendidikan secara keseluruhan terdapat dalam konotasi istilah tarbiyah, ta’lim dan ta’dib.
            Al-attas tidak bersetuju dengan penerimaan kompromi  tersebut kemudia beliau kembali berhujah pada Persidangan SeDunia Tentang Pendidikan Islam Kedua di Islamabad,tahun 1980 dalam hujahnya yang bertajuk The Concept of Education in Islam.Menurut Al-Attas,jka benar-benar difahami dan dijelaskan dengan baik,konsep ta’dib adalah yang paling tepat untuk pendidikan islam,bukannya tarbiyah atau ta’lim sebagaimana yang digunakan pada masa itu.Beliau menyatakan, ” struktur konsep ta’dib sudah mengandungi unsur-unsur ilmu(’ilm),pengajaran(ta’lim) dan penyuburan yang baik(tarbiyah) sehingga tidak perlu lagi dikatakan bahawa konsep pendidikan islam adalah sebagaimana yang terdapat dalam konsep 3 serangkai iaitu tarbiyah-ta’lim-ta’dib.






C.KREATIVITI DAN IMAGINASI (FAKHR AD-DIN AL-RAZI 1149-1209)
            Beliau ialah seorang ahli teologi dan ahli falsafah.Al-Razi berbahas mengenai daya khayal.Syarahan dan kritikan beliau adalah berkenaan pandangan ibn Sina mengenai indera dalaman manusia,khusunya yang berkaitan dengan daya tanggapan. Daya dalaman yang liman ini merujuk pada al-hiss al-mushtarak(indera pengumpul),al-quwwah al-khayaliyah,al-quwwah al-wahmiyyah,al-quwwah al-hafizah, dan al-quwwah al-mutakkhayyilah.
            Daya atau deria dalaman ini merupakan sebahagian daripada jiwa haiwaniah manusia,khususnya yang berkaitan dengan kekuatan tanggapan(perceptive faculties/al-quwwah al-mudrikah) yang berperanan untuk memproses gambaran sesuatu(imaginasi) bagi dimanfaatkan oleh akal manusia.Sebagaimana indera luara yang lima,proses imaginasi yang berlaku di peringkat indera dalaman ini masih memerlukan anggota yang berkaitan dengan jasad manusia bagi membantu pengolahan gambaran-gambaran yang ditanggap sehingga ia dapat digunakan oleh akal manusia sedangkan aktiviti berfikir(ta’aqqul) yang dilakukan oleh akal atau ruh manusia tidak memerlukan jasad atau anggota jasmaniah kerana mauduk yang digunakan oleh akal adalah ma’qulat(intelligible) yang bebas daripada unsur-unsur jasmaniah.
            Daya khayal adalah salah satu daripada lima kekuatan dalaman(al-quwa al-batinah) yang berbeza antara satu dengan yang lainnya dan masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri.Daya khayal menurut ibn Sina dan juga seperti yang dihuraikan oleh al-Razi,ialah daya yang bertugas, menyimpan gambaran yang dikumpul oleh satu lagi daya dalaman manusia iaitu indera pengumpul(hiss al-mushtarak).Ia bertugas sebagai penyimpan yang membolehkan manusia mengingati sesuatu yang telah dilihatnya sebelum ini tatkala mereka melihatnya untuk kali kedua dan seterusnya.Sementara itu,satu lagi daya yang berkaitan ialah daya mutakhayyilah yang berperanan menyusun gambaran inderawi  yang terpisah dan memisahkan mereka dalam bentuk yang berbeza dengan gambaranluaran,misalnya membayangkan binatang separuh kuda dan separuh unta yang digabungkan seperti dikacuk,walhal ia tidak ada.Hanya ada dalam minda.

D. MEMBERIKAN DEFINISI KEBEBASAN (FREEDOM)

            Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa pencarian manusia akan kehidupan beragama yang benar, hanya akan dapat ditemukan dengan kembali pada fitrah yang asal.Keinginan dan pengetahuan tentang penyerahan diri kepada Tuhan yang sebenarnya diesbut sebagai kebebasan sejati manusia.
             Istilah tepat untuk perkataan kebebasan ialah ikhtiar. Iaitu perkataan arab. Akar kata ikhtiar ialah khair, yang bermaksud baik, yang juga membawa maksud memilih sesuatu yang terbaik. Oleh itu,maksud kebebasan ialah memilih sesuatu yang terbaik.Umtuk memilih sesuatu yang baik,mestilah seseorang itu tahu berkenaan baik dan buruk sesuatu perkara. Sebaliknya,memilih sesuatu yang buruk adalah tanda kejahilan dan ia bersumber dari aspek-aspek nafsu haiwani.Dengan kata lain,seseorang yang memilih sesuatu yang buruk apabila mengetahui keburukannya bukanklah kebebasan kerana dia gagal untuk membebaskan dirinya dari pengaruh nafsu yang cenderung membawanya ke arah kejahatan.
            Tetapi,sekiranya seseorang itu dalam keadaan semua pilihannya adalah buruk,dia hendaklah membuat pilihan yang paling kurang mudaratnya.


           




4.0 KESAN PEMIKIRAN SAINS SOSIAL ISLAM PADA TAMADUN

A)        Untuk membicarakan soal tamdun harus tahu maksud tamadun. Perkataan yang tepat bagi agama islam ialah din islam. Dan dari perkataan ini lahirnya bandar iaitu mudun atau mada’in dan dari perkataan ini datangnya nama Madinah,serta dari din juga datangnya perkataan tamaddun yang bermaksud civilisation and refinement in social cilture. Ilmu adalah teras sistem nilai agama islam dan menduduki tempat yang amat tinggi dalam pandangan alam,syariah,akhlak dan tamadun islam.

            Untuk membina tamadun, budaya ilmu amat penting. Tamadun berdiri kerana adanya budaya ilmu.Suatu tamadun tanpa budaya ilmu akan runtuh dan musnah. Wan Mohd Nor Wan Daud(2007),mengatakan bahawa budaya ilmu aantara lain bermaksud keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Pembinaan dan sumbangan dari setiap individu sama ada dari cara seseorang menjalani kehidupan dirinya dengan aktivti keilmuannya,memberi impak kepada tamadun bagi menghidupkan serta meastikan budaya ilmu terus subur agar tamadun itu terus utuh.





B)        Profesor Syed Husein al-Atas menjelaskan dan merangkan berkenaan bebalisme. Masyarakat tanpa budaya ilmu akan menjadi jahil dan bebal. Ilmu tidak semata-mata maklumat atau fakta yang betul,dan jahil atau bebal tidakmerujuk semata-mata kepada ketiadaan maklumat dan fakta yang betul tetapi merujuk kepada sifat rohaniah yang rendah dan degil walaupun mempunyai maklu8mat yang mencukupi.Pref.Syed Husein al-Atas menyimpulkan ciri bebalisme iaitu :
a.Tidak mampu mengenali masalah.
b.Jika diberitahu,dia tidak berupaya menyelesaikannya.
c.Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan,malah tidak memiliki kemahiran belajar.
d.Tidak mengaku kebebalannya.
e.Tidak boleh menghubungkaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dengan faktor lain.
f.Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat/perkiraan yang panjang.
g.Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat.
h.Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentangnya.
i.Tidak berfikir dengan mendalam.
j.Tidak konsisten.
k.Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.
l.Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat.



C.        Pembinaan ISTAC(Institue of Islamic Thought and Civilisation) di Malaysia menjadi satu sumbangan besar kepada tamadun islam. ISTAC dijadikan sebagai cerminan insan kami. Syed Muhammad Naquib al-Attas merancang,mereka bentuk,dan menyusun bangunan dan kawasan ISTAC. Dalam acara perasmian pembukaan ISTAC pada 4 Oktober tahun 1991,al-Attas menjelaskan :



”Sebagai pereka bentuk utama,dalaman mahupun luaran,saya telah berusaha mengekspresikan kehadiran islam: iaitu atmosfera ketenangan yang di dalamnya melahirkan pemikiran hebat dan mulia;yang tidak akan ditemui di dalamnya segala bentuk kekejian;di sana hiruk pikuk kehidupan sekular yag penuh kekhuatiran tidak memiliki ruang;di dalamnya pula penyelidikan ilmiah di antara bangunan-bangunan yang indah dapat diwujudkan.Saya telah meletakkan ISTAC sedemikian rupa hingga menghadap kiblat.Upacara peletakan batu pertama dilaksanakan pada 27 Rajab bersamaan peringatan perjalanan Israk dan Mikraj Nabi s.a.w ke langit tertinggi...Di atas tempat perletakan batu pertama itulah sebuah mangkuk air pancut berdiri- dan Tuhan menciptakansegala sesuatu daripada air dan air adalah simbol ilmu pengetahuan. ”







D.        Proses islamisasi dilakukan oleh banyak ulama di dunia islam. Abu Hamid al-Ghazali mengislamkam falsafah yang direka oleh Greek secara menyeluruh.Struktur-strukturnya(logika falsafah) dan istilah-istilah khasnya(sebab dan akibat,bentuk dan perkara,zat dan sifat dan sebagainya) diubah suai dengan pandangan alam islam sebagaimana yang diajukan oleh al-Quan dan ditafsirkan oleh ahli teologi ortodoks serta dimurnikan oleh ahli sufi intelektual.

            Di alam melayu, antara ulama lain yang berusaha mengislamkan pelbagai ilmu termasuk ontologi dan metafizika ialah Hamzah Fansuri dan Nur al-din al-raniri. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas,sufisme ialah penghebatan lagi proses islamisasi. Islamisasi juga berlaku dengan pendefinisian semula perkataan supaya sesuai dengan pandang alam islam. Contohnya,sebelum kedatangan pemikiran islam,sesuatu tamadun itu menganggap orang yang mempunyai banyak anak,kekayaan dan watak tertentu sebagai orang yang mulia.Selepas kedatangan pemikiran islam,perkara ini berubah kepada orang yang mulia ialah orang yang patuh pada perintah Allah s.w.t.

           




             

5.0 RINGKASAN
            Secara ringkasnya,kita dapat lihat perbezaan dari bentuk pemikiran barat yang melihat sesuatu perkara itu secara sekular,kerana ingin lebih objektif.Manakala bagi pemikir islam yang melihat dan berfikir sesuatu perkara, kerangka pemikiran mereka adalah berlandaskan pandangan alam islam.Hal ini kerana segala bagi mereka,segala ilmu itu datang dari Allah dan ilmu itu juga salah satu daripada nama-namanya. Untuk memahami alam ciptaannya juga sudah tentu seseorang itu harus berusaha berfikir dana melihat sesuatu dalam dengan cara yang selari dengan ajaran islam,agar ilmu yang diperolehi adalah benar.
             Setiap perkataan mempunyai makna,dan untuk berlaku adil,setiap perkataan harus mempunyai makna yang betul.Nama mempunyai makna,dan makna itulah realiti sesuatu perkara. Maka mendefinisikan sesuatu perkara seperti makna pendidikan,ilmu,kebebasan adalah satu proses islamisasi. Isu kebebasan yang menjadi isu hangat masa kini juga adalah disebabkan kegagalan umat islam memahami makna kebebasan dalam konteks islam iaitu khair yang bermaksud memilih suatu yang baik.kebebasan bukanlah bermaksud bebas untuk melakukan baik dan buruk,atau bukan juga seperti yang sering dilaungkan oleh Dr.Ahmad Farouk Musa,director IRF,iaitu Islamic Renaissance Front yang mengatakan bahawa kita perlukan ’freedom to sin’ supaya kita dapat menjadi lebih bertakwa kerana kita yang bebas memilih ingin menjadi baik atau jahat. Faham-faham mengenai amat perkataan-perkataan merupakan satu perkara yang serius,oleh itu definisi yang betul perlu diketahui agar kekeliruan dapat diatasi.
            Dalam soal-soal pemikiran,amatlah penting kiita menjadi seorang yang kritikal sebelum menerima sesuatu buah fikiran,kerana idea-idea yang tertentu,terutamanyang datang dari barat,jika tidak disaring dan diteliti dengan baik,lalu diterima bulat-bulat boleh terjadi keadaan seperti senjata makan tuan. Dalam mendalami ilmu-ilmu yang melibatkan pemikiran,haruslah kita sentiasa berdoa kepada Allah,agar ditunjukkan olehNya kesilapan yang kita lakukan,dan tingkatkan dalam diri kita kefahaman serta ilmu yang bermanfaat.                                                                        (2950 patah perkataan)


RUJUKAN
1. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(1976).Islam : The Concept of Religion and The
   Foundation of Ethics and Morality. Kuala Lumpur : ABIM.
2. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(1993). Islam and Secularism. Kuala Lumpur :
    HAKIM.
3. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(1995). Prolegomena to The Metaphysics of Islam :
   An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam.
   Kuala Lumpur : PROSPECTA.
4. Mohd Zaidi Ismal & Wan Suhaimi Wan Abdullah.(2012). Adab dan Peradaban :
   Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas.Kuala Lumpur : MPH.
5. Imran Nazar Hosein.(2001). Dreams in Islam : A Window to The Truth And to The
   Heart. New York : Masjid Darul Qur’an.
6.Seyyed Hossein Nasr.(2007). A Young Muslim’s Guide to The Modern World. Kuala
  Lumpur : IBT.
7.Mohd Zaidi Ismail.(2012).Kreativiti & Imaginasi dalam Psikologi Islami : Pengamatan
 al-Ghazali,al-Baghdadi dan al-Razi. Kuala Lumpur : IKIM.
8.Wan Mohd Nor Wan Daud.(2007). Budaya Ilmu :Satu Penjelasan. Singapura : Pustaka
   National.



Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.