RASUAH : MAKSUD,SEJARAH DAN AMALAN

by November 29, 2016 0 comments
BAB 1  PENGENALAN : MAKSUD, SEJARAH DAN AMALAN RASUAH

MAKSUD

            Rasuah merupakan suatu amalan dari sisi masyarakat yang berpegang teguh pada agama, dilihat sebagai perbuatan yang berdosa. Namun, sebagai seorang manusia yang mementingkan nilai kebenaran dan keadilan sudah tentu rasuah merupakan amalan yang amat ditentang, bahkan mereka yang mengamalkannya akan dipandang hina. Sesebuah negara menjadi rosak kerana ada amalan rasuah. Sesuatu kezaliman dapat disembunyikan dan keadilan tidak dapat ditegakkan dalam sesebuah negara yang yang mengamalkan rasuah .

             Dalam sebuah karya terpilih Syed Hussein Alatas yang bertajuk Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, di dalamnya saya memetik takrif rasuah yang dinyatakan oleh Syed Farid alatas(2007) iaitu, rasuah ditaktifkan sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan pemerintah, syarikat swasta ataupun orang awam. Rasuah terdiri daripada tiga komponen iaitu, penyuapan, pemerasan dan nepotisme. Nepotisme bermaksud memilih seseorang bukan atas dasar kemampuan seseorang tetapi atas dasar hubungan kekeluargaan si pemilih dan yang dipilih. Nepos merupakan perkataan latin yang membawa maksud cucu, atau keturunan. Mereka yang mengamalkan rasuah mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan masyarakat umum.

            Dalam karya Syed Hussein alatas itu menjelaskan bahawa terdapat 2 jenis rasuah iaitu rasuah egoistik dan rasuah solidaristik. Rasuah solidaristik merujuk kepada segala tindakan rasuah yang bertujuan untuk membantu kaum keluarga dan sahabat disebabkan oleh kewajipan moran dan timbal balik, dan sering kali didorong oleh norma masyarakat.. Manakala rasuah egoistik pula merupakan rasuah yang berasaskan keinginan untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

           
SEJARAH DAN AMALAN
           
            Syed Hussein alatas(1995) mengatakan sejarah rasuah boleh dikesan sejak bermulanya kehidupan bermasyarakat manusia, yakni tatkala organisasi sosial yang kompleks mulai muncul. Manusia terlibat dalam fenomena rasuah selama beberapa ribu tahun. Contoh peristiwa sejarah rasuah di empayar romawi ialah Shamash, seorang raja (sekitar tahun 200 SM) menjatuhkan hukuman kepada seorang hakim yang menerima wang sogokan. Undang-undang Hammurabi mengenakan hukuman mati kepada beberapa bentuk rasuah yang dilakukan oleh para pegawai kerajaan.

            Manakala di India, undang-undang manu menetapkan bahawa seorang raja mestilah tidak serakah, tidak memeras dalam memungut cukai. Syed Hussein alatas(1995), pendapat para pendata dan pemikir politik india menyatakan bahawa Raja mestilah melantik pegawai yang jujur untuk memungut cukai. Raja yang menindas rakyatnya hendaklah dibunuh bersama-sama anggota keluarganya. Para pegawai yang rasuah, yang menerima wang sogok daripada orang-orang desa hendaklah dibuang negeri dan hata benda mereka disita.

            Seterusnya, Syed Hussein alatas(1995) menyatakan sejarawan daripada Dinasti Han, Pan Ku, mencatatkan betapa parahnya keadaan, akibat daripada kekacauan pada awal bermulanya Dinasti tersebut(206 SM). Ketika itu, terjadinya kekurangan bijirin dan sayur-sayuran, sehinggakan orang memakan daging manusia. Lebih daripada setengah bilangan penduduknya mati. Pengasas Dinasti Han mengizinkan rakyat menjual anak-anak mereka dan berpindah ke daerah-daerah lain untuk mencari makanan. Pada zaman kerajaan China kuno juga, iaitu contohnya sekitar 178 masihi, para petani dieksploitasi. Mereka mengalami masalah pengutipa cukai kepala dan levi haram. Peraturan sering diubah. Rakyat terpaksa menjual segala hasi mereka dengan separuh harga dan ada yang meminjam dengan kadar 100%.  Ladang dan rumah serta anak cucu dijual untuk membayar hutang merupakan perkara yang sering berlaku.


            Kemudian, antara gambaran rasuah di Delhi, Ibu Kota India ialah di setiap Kolej Universiti Delhi, dianggarkan seramai 20% yang diterima menggunakan sijil-sijil yang palsu. Anak-anak daripada kelluarga yang berpengaruh dan pemimpin pelajar yang gagal termasuk dalam senarai merit mendapat sijil yang dicop oleh seorang kaunselor bahawa dia tergolong dalam kasta khas. Sijil keterangan ini didaftarkan di perjabat Timbalan Pesuruhjaya dengan membayar wang sogok kepada kerani yang bertugas. Anak-anak para pemimpin terkemuka diterima masuk melalui sijil keterangan pasu seperti ini. Bila mereka kemudiannya ditangkap, fail yang mengandungi sijil-sijil palsu tersebut tidak dapat dikesan. Penggunaan sijil-sijil palsu, perubahan markah ujian, manipulasi syarat-syarat kelayakan masuk, berlaku di mana-mana. Hal yang sama turut terjadi di mahkamah. Menurut anggaran seorang peguam, 95% kakitangan rendah adalah korup. Salah satu cara menyogok hakim ialah dengan menjual barang-barang mewah dengan harga yang murah kepadanya.(Syed Hussein alatas,1995).

           


BAB 2 :ANALISIS EKONOMI TENTANG PERBUATAN RASUAH
            Kita akan melihat pula analisis ekonomi tentang perbuatan rasuah. Kajian membuktikan berlaku kesinambungan yang berlaku secara serentak antara rasuah dengan pertumbuhan ekonomi(Mendez dan Sepulveda,2006).Rasuah juga berkadar songsang dengan pertumbuhan ekonomi. Toke S. Aidt (2009) mendedahkan hubungan negatif yang kuat di antara pertumbuhan pembangunan dan juga rasuah. Seterusnya, Mushfiq Swaleheen (2007) menyatakan simpanan bergantung kepada insentif dan keupayaan untuk menyimpan. Kajian perpustakaan membuktikan bahawa kebanyakan penentuan bagi simpanan adalah berkaitan insiden rasuah. Kajian beliau melihat dengan lebih mendalam hubungan antara rasuah dengan pelaburan di mana analisis empirik yang dibuat adalah melangkaui negara. Bukti yang ditunjukkan, secara langsung kadar simpanan negara kasar berkurangan akibat daripada galakan pelaburan. Kajian turut mendapati tahap pendapatan, kadar pertumbuhan pendapatan benar per kapita dan nisbah cukai-KDNK adalah perkara penting yang menunjukkan kesan rasuah kepada simpanan yang ditujukan. Keputusan yang di buat adalah penting di mana tahap rasuah itu dimasukkan dalam pertimbangan untuk menganalisis hubungan dengan penentunya.

            Bukti yang ditunjukkan dalam kajian beliau mendapati dengan pengurangan cukai akan meningkatkan kadar simpanan negara kasar sebanyak 6.1%. Menurut Fahim A. Al-Marhubi (2000) pula, rasuah adalah penyebab kepada kelemahan dalam makroekonomi seperti kekurangan pelaburan dan menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lembab. Kajian beliau meluaskan kesan negatif rasuah dan dikatakan turut menyumbang kepada tingkat inflasi. Penyelidikan beliau meliputi 41 buah negara dan bukti kajian menunjukkan bahawa kadar rasuah yang tinggi menyumbangkan kepada kadar inflasi yang tinggi. Hubungan terbabit begitu kuat dengan memasukkan pembolehubah inflasi yang lain termasuklah tahap kebebasan bank pusat, ketidakstabilan politik dan juga bentuk pemboleh ubah lain.

            Dari perspektif dasar, kesan utama bagi kajian beliau ialah pembaharuan institusi ekonomi dan politik bagi mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan juga mengurangkan amalan rasuah perlu menjadi agenda bagi setiap pembaharuan dasar. Kajian daripada Bruce W. Finnie et al (2006), kajian beliau menggunapakai analisis penjelasan ekonomi dan sosial pada masa sekarang dan masa lepas bagi fenomena pembangunan. Pemantauan beliau mengenai rasuah dari kalangan negara, pemilikan, kebebasan dan individualisme dianalisis dan dibincangkan. Interaksi ini membentuk satu model yang dinamakan triad of strains dengan tiga sudut, iaitu pemilikan tanggungjawab, penzahiran kebebasan dan kawalan rasuah.

            Semua aktiviti ekonomi bergantung kepada kawalan politik dan sosial. Namun analisis beliau menunjukkan bahawa kawalan ini selalunya boleh menjadi terlebih terutamanya kepada negara yang mengamalkan autokrasi. Bagi pembangunan yang optimum, perlu ada had bagi kawalan terbabit. Birokrasi yang di dorong oleh perundangan dan kuasa tanpa batasan berbanding dengan sebab kebiasaannya akan jatuh kerana kekurangan pertimbangan nilai manusia dan keperluan bagi pemilikan untuk membantu memastikan tindakan yang rasional.

            Pak Hung Mo (2001) menjelaskan peranan rasuah dalam pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan penganggar kuantitatif akibat rasuah ke atas pertumbuhan dan kepentingannya terhadap saluran perubahan. Kajian rasuah beliau adalah tertumpu ke atas 54 buah negara yang terdapat dalam Corruption Perception Index (CPI). Dengan menggunakan penganggar kuasa dua terkecil (OLS), beliau mendapati dengan peningkatan 1% tingkat rasuah akan mengurangkan kadar pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan 0.72%. Dalam perkataan lain ialah, dengan peningkatan satu unit dalam indeks persepsi rasuah akan mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi menurun sebanyak 0.545 mata peratus.


           


            Apa yang paling penting dalam saluran yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi ialah ketidakstabilan politik, yang mana sebanyak 53% jumlah yang mempengaruhi dalam pertumbuhan ekonomi. Beliau juga mendapati rasuah boleh mengurangkan tingkat modal insan dan perkongsian pelaburan persendirian. Paolo Mauro (1995) pula telah menggunakan data yang mengandungi indeks keberkesanan dan keluhuran birokrasi yang subjektif untuk menjelaskan bukti empirik kesan rasuah terhadap pembangunan ekonomi. Analisis kajian beliau meliputi 58 buah negara yang mana kajian ini mempunyai hubungkait di antara pelaburan dan rasuah. Padanan yang negatif antara rasuah dengan pelaburan dan pembangunan adalah signifikan dari sudut ekonomi dan statistik. Walaupun berhadapan dengan data yang terhad, artikel tersebut menunjukkan secara terperinci hubungan tersebut kuat bagi mengawal penentu piawai untuk pelaburan dan pertumbuhan. Secara jelasnya, terdapat bukti kesan birokrasi yang sama penting dalam penentu pelaburan dan pertumbuhan sebagaimana kestabilan politik.




BAB 3 : ANALISIS PERUNDANGAN TENTANG PERBUATAN RASUAH

            Rasuah merupakan satu perbuatan jenayah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997. Maka kita akan lihat sedikit tentang analisis perundangan. Berdasarkan kajian Transparency International, Kajian Global Corruption Barometer 2009, rakyat negara ini mempunyai persepsi yang buruk terhadap parti politik. Berdasarkan persepsi rakyat Malaysia, rasuah paling banyak melanda parti politik iaitu 42% diikuti oleh kakitangan awam 37%. Manakala sektor swasta 12% dan lain-lain 10%. Maka, pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang politik sedia ada untuk mengubahsuai proses pembiayaan politik dan meningkatkan ketelusan di mana ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian. Akta Pertubuhan 1966 dilaksanakan dengan ketat untuk memastikan semua parti politik mengemukakan laporan kepada Pendaftar Pertubuhan dengan cara yang betul dan menepati waktu. Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 pula adalah untung menghalang calon-calon pilihanraya daripada terbabit dalam amalan rasuah dan memastikan integriti sumber pembiayaan mereka.

            Berkaitan dengan rasuah parti politik lagi, terdapat banyak contoh pegawai yang berpangkat tinggi dan menteri yang terbabit dalam kes ini, terdapat kekurangan ketelusan dan liputan terhadap tindakan yang diambil. Berdasarkan kajian Transparency International, kadar sabitan kesalahan menurut kategori daripada tahun 2005 hingga 2009, jarang berlaku pendakwaan yang berjaya terhadap ahli politik. Contohnya, daripada 11 kes yang berkaitan parti politik yang didakwa, hanya 9% yang berjaya disabitkan kesalahan berbanding sektor awam dan swasta di mana daripada 434 kes, 54% berjaya disabitkan kesalahan.





BAB 4 : ANALISIS ETIKA TENTANG PERBUATAN RASUAH

        Kini kita akan menyentuh tentang etika. Sudah tentu mereka yang mengamalkan perbuatan memberi atau menerima rasuah adalah mereka yang tidak beretika. Sebelum itu apakah kita jelas tentang maksud etika? Maksud bagi tidak beretika ialah tidak bermoral dan tidak berakhlak. Seseorang pekerja yang mengambil rasuah akan dianggap tidak bermoral dan tidak berakhlak kerana gagal menjalankan amanah yang telah diberikan. Perkataan etika merupakan terjemahan daripada perkataan inggeris iaitu ethics. Manakala ethic merupakan perkataan yang diambil daripada greek iaitu ethos. Menurut Garner(1986),Ethos membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan. Bauman(1987) pula mengatakan bahawa, etika membawa prinsip-prinsip moral yang menentukan betul atau salah. Iwabuchi(1990) pula menyatakan etika sebagai sains sosial dan prinsip-prinsip moral dimana etika berperanan menentukan tindakan seseorang itu baik ataupun buruk. Akhir sekali, Uthman(1986) menyatakan bahawa etika itu suatu disiplin ilmu yang mencakupi soal moral, dan tindakan serta perbuatan manusia yang betul.

            Seseorang yang beretika dianggap sebagai seorang yang tidak bermoral. Maka apakah makna bagi perkataan moral? Moral merupakan perkataas daripada bahasa greek iaitu moras yang bermaksud tingkah laku. Moral merupakan kod tingkah laku yang terdiri  daripada nilai adat dan aspirasi yang diterima oleh sesuatu masyarakat terhadap tingkah laku baik atau jahat. Maksud etika dan moral adalah sama. Menurut Shaw(1991), etika bersifat teori manakala morak bersifat amalan. Orang yang tak beretika juga merupakan orang yang tidak berakhlak. Apakah erti akhlak? Akhlak merujuk kepada pekerti watak, pengetahuan berkaitan kelakuan manusia sama ada baik atau buruk(Kamus Dewan, 1984).



            Terdapat beberapa teori etika yang digunakan. Yang pertama ialah teori etika menurut al-Quran. Berdasarkan surah Az Zariat ayat 56 iaitu :



           
Ayat ini menjelaskan tujuan manusia itu diciptakan, iaitu beribadah kepada Allah s.w.t. Beribadah membawa maksud hidup sesuai dengan syariat islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada kita melalui perantaraan rasul pilihanNya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Maka mereka yang mengambil pengajaran dari ayat ini, akan hidup dengan baik, serta mempamerkan akhlak yang mulia. Sudah tentu umat islam yang benar-benar insaf berkenaan makna ayat ini, tidak akan melakukan perbuatan rasuah. Rasa takut mereka pada kemurkaan Allah s.w.t sudah cukup sebagai peringatan kepada mereka yang beriman kepada Allah s.w.t.

            Akhlak, etika dan moral, bagi umat islam, sumber-sumbernya adalah datang daripada wahyu, serta akhlak yang mulia ini dicerminkan oleh para rasul Allah. Maka dengan mencontohi akhlak Nabi kita, Muhammad s.a.w,  dan menjadikan akhlak baginda sebagai rujukan dalam menjalankan pelbagai urusan kehidupan, kita tidak akan terjebak dengan gejala rasuah, kerana sedar bahawa kedudukan kita adalah hamba yang tujuannya adalah hidup di dunia ini sesuai dengan kehendak tuannya dan juga penciptanya.


            Teori kedua ialah teori deontologis. Teori ini diasaskan oleh Immanuel Kant(1804). Teori ini menekankan sikap jujur, mengikut arahan, menepati janji serta adil. Mengikut teori ini, betul atau salah sesuatu tindakan itu ditentukan oleh pegangan agamanya. Orang yang berpegang kepada teori ini akan sentiasa berbuat baik. Namun, ada perkara yang boleh kita kupas. Kita janganlah patuh dengan membuta tuli. Lihatlah apakah jenis arahan yang dikeluarkan. Sekiranya arahan itu berkait dengan skop kerja kita, maka kita lakukan. Sekiranya arahan yang diberi melibatkan kita melanggar etika kerja, maka kita janganlah patuh pada arahan tersebut.

            Teori yang ketiga ialah teori kebebasan peribadi, atau nama lainnya Personal Liberty Theory. Ianya menekankan suatu prinsip tunggal iaitu kebebasan. Teori ini menyatakan bahawa segala peraturan yang bercanggah dengan prinsip kebebasannya, harus ditolak. Seseorang itu juga bebas membuat pililhan untuk mencapai matlamatnya. Maka dengan berpegang pada teori ini, seseorang yang memberi rasuah boleh berpandangan  bahawa dirinya bebas memberi atau menerima rasuah, atas alasan iaitu adalah kebebasan peribadi. Maka teori ini sudah tentu akan merosakkan akhlak dan etika kita sekiranya berpegang kepada teori ini.

            Teori yang keempat ialah teori teleologis. Pengasasnya ialah Jeremy Bentham(1784-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873). Telos berasal daripada perkataan yunani yang bermaksud tujuan atau akibat. Maknanya dalam teori ini, sesuatu tindakan itu dianggap betul sekiranya ia membawa kepada kebaikan. Kebaikan yang dimaksudkan pula ialah kebaikan yang dapat dinikmati oleh seramai mungkin manusia hasil daripada tindakan tersebut. Contohya menolak daripada mengambil rasual dianggap sebagai tindakan yang baik kerana ramai yang akan mendapat manfaat iaitu masyarakat menjadi baik dengan ketiadaan budaya rasuah. Menerima rasuah dianggap tindakan buruk kerana iainya boleh menyebabkan sesebuah kerajaan menjadi rosak, korup, kleptokratik dan sesebuah keadilan tidak dapat ditegakkan.



BAB 5 : KESIMPULAN

            Kita dapat lihat bahawa perbuatan rasuah membawa pelbagai mudarat kepada individu, masyarakat dan negara. Perbuatan rasuah akan muncu dari semasa ke semasa, namun kita sebagai manusia yang berakal, sudah tentukan mahukan kehidupan yang aman, sejahtera, dan berada di bawa sebuah pemerintahan yang adil. Maka amalan rasuah ini perlulah dibanteras, bermula daripada diri kita. Apabila kita saling memperingati tentang keburukan kesan rasuah kepada kestabilan negara dan ekonomi, maka masyarakat kita akan lebih berhati-hati sebelum menerima atau memberi sebarang rasuah.

            Hal ini disebabkan kesedaran mereka akan kesan buruk yang bakal menimpa hasil daripada kegiatan tidak beretikan yang diamalkan. Sebagai seorang umat islam kita harus sedar bahawa perbuatan rasuah bercanggah dengan ajaran akhlak islam. Dalam teori teleologis pula menekankan kebaikan yang dinikmati oleh ramai orang. Maka impak rasuah adalah mudarat kepada ramai orang, bertolak daripada itu, sudah tentu menolak perbuatan rasuah merupakan suatu kebaikan yang dapat dinikmati oleh ramai orang. Kekurangan teori kebebasan peribadi pula kelihatannya berupaya membebaskan manusia daripada etika. Seseorang itu bebas menentukan betul atau salah mengikut kehendaknya. Rasuah pun boleh dilihat sebagai betul oleh mereka yang berpegang dengan teori ini. Maka teori ini bukan suatu teori yang boleh diamalkan kerana mempunyai banyak mudarat sekiranya berpegang kepadanya.

            Oleh disebabkan, sepanjang sejarah manusia, rasuah mula berlaku apabila masyarakat mula menjadi kompleks, maka saya fikir kita harus lihat dalam aspek berikut, iaitu sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mengambil rasuah, maka sudah tentu seseorang itu akan dilabel sebagai seorang yang korup. Maka kita bertanya lagi, apa yang korup tentang dirinya yang menyebabkan dia menjadi korup? Maka, saya fikir, ianya adalah tentang kefahamannya tentang betul dan salah, yang hasilnya membawa kepada berlakunya perbuatan rasuah itu.


            Bila kita sebut tentang kefahaman, ia membawa erti kita sebut tentang ilmu, dan juga pendidikan. Maka penyelesaian yang mengakar bagi perbuatan rasuah ialah dengan mendidik seseorang iaitu dengan menjadikan tujuan utama sistem pendidikan negara ialah untuk menghasilkan manusia yang berakhlak mulia.

            Segala analisis yang dilakukan yang menunjukkan rasuah berlaku dalam kalangan golongan yang berpendidikan, pada hemat saya menunjukkan berlakunya suatu masalah dalam sistem pendidikan, yang akibatnya terhasil manusia yang kelihatannya terdidik namun hakikatnya tidak beretika. Maka segala analisa tentang rasuah, memberi kesedaran tentang perlunya ia diselesaikan atau dikurangkan, dengan pelbagai cara seperti menangkap dan menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, memberikan kesedaran tentang impak rasuah kepada individu,masyarakat dan negara, dan akhir sekali memastikan akan sistem pendidikan  itu bertujuan menghasilkan insan yang berakhlak mulia,  dengan harapan, walaupun ianya tidak berjaya dibendung, tetapi sekurang-kurangnya dapat dikurangkan berlakunya gejala rasuah di negara kita.






  
APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI

1. Syed Hussein alatas.(2016). Rasuah Sifat, Sebab dan Fungsi.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Sarah Dina Mohd Adnan & Mohd Adib Ismail.(2013). Impak Rasuah Kepada Pertumbuhan Ekonomi. Dimuat turun pada 6 November 2016 daripada
3. Saudah Ismail.(2014). Etika dan Rasuah. Dimuat turun pada 5 November 2016 daripada  http://www.slideshare.net/saudahi1/etika-dan-rasuah





Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.