Animasi Upin dan Ipin : Menyemai Semangat Perpaduan di Malaysia

by December 20, 2015 0 comments


PENGENALAN
            Sebagai rakyat Malaysia kita perlulah berusaha agar kesepaduan dalam masyarakat sentiasa terpelihara. Oleh itu, usaha-usaha untuk menyatupadukan masyarakat di Malaysia giat dilakukan dengan menggunakan pelbagai medium seperti animasi,berita, buku cerita, drama dan sebagainya. Harus kita sedar bahawa masyarakat kita terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya yang berbeza. Menurut Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly(2006), ”Tanpa perpaduan, negara itu akan terdedah kepada pelbagai-bagai kelemahan dan ancaman  yang boleh mennjejaskan kedaulatan agama itu sendiri”.

Oleh itu usaha untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat bukanlah suatu usaha yang mudah. Maka penulisan kali ini akan berfokuskan pada peranan animasi dalam menyatupadukan masyakarat di Malaysia. Animasi yang dipilih bertajuk Upin dan Ipin.  Siri animasi Upin dan Ipin merupakan satu produk yang dihasilkan oleh syarikat Les Copaque yang pada mulanya disiarkan pada tahun 2007 di siaran TV9. Animasi ini berlatarkan budaya setempat yang bertemakan konsep kampung. Penduduknya pula terdiri daripada watak yang dari pelbagai kaum. Hal ini akan menunkukkan interaksi mereka yang dari pelbagai latar belakang kaum yang berbeza, menjalani hari-hari kehidupan di kampung itu, dengan harmoni dan melalui pengalaman manis, suka duka,riang dan tawa bersama.

            Watak yang terdapat dalam animasi ini ialah Upin dan Ipin iaitu adik beradik kembar, kakak mereka iaiti Kak Ros. Upin dan Ipin juga mempunyai sahabat baik iaitu Ehsan yang memainkan watak sebagai seorang ketua kelas, Fizi pula adalah sepupu kepada Ehsan yang berpewatakan sering menjadi mangsa keadaan. Mei Mei pula seorang gadi Cina yang mempunyai paras rupa comel, mempunyai budi pekerti yang baik dan berani menyuarakan pendapat. Mail pula suka berniaga  dan mempunyai ciri-ciri seseorang yang cekap menguruskan perniagaan. Seterusnya ialah Jarjit merupakan seorang kanak-kanak Sikh yang berpewatakan ceria. Jarjit sangat gemar berteka teki dan kelihatan lebih matang dari kawan-kawan Upin dan Ipin yang lain.

           


BAB 1 : PERANAN ANIMASI  UPIN DAN IPIN DALAM MENYATUPADUKAN MASYARAKAT DI MALAYSIA

            Apabila kita menonton kisah Upin dan Upin, kita dapat menghayati dan melihat pelbagai contoh yang menunjukkan mereka hidup dalam keadaan yang harmoni. Antara contoh peristiwa ialah dalam animasi Upin dan Ipin Musim 1, kisah yang bertajuk Dugaan. Sinopsis kisahnya adalah seperti berikut :
“Pada waktu pagi, Upin dan Ipin segera ke dapur  mencari makanan bagi sarapan, tetapi tiada makanan. Kak Ros mengingatkan bahawa ini hari pertama bulan puasa, dan mereka sudah pun bersahur. Oleh itu, mereka terpaksa keluar bermain dengan perut kosong sampai senja.
Setelah menewaskan Rajoo dan Mei Mei dalam perlumbaan menarik upih pinang, Upin dan Ipin berasa dahaga. Kemudian Rajoo ingin  membelanja Upin dan Ipin minum, dengan sepantas kilat adik-beradik kembar itu terus mengangguk kepala. Namun ,hari masih siang, lalu Mei Mei mengingatkan Upin dan Ipin akan kewajipan berpuasa mereka, supaya "Tuhan mereka tidak marah".

Upin dan Ipin pulang ke rumah dengan kelaparan, terpaksa menunggu beberapa jam lagi sampai waktu berbuka puasa. Bagi  mengisi waktu lapang, mereka membaca sebuah buku ABC baru yang dibelikan oleh Kak Ros. Sebaik sahaja membuka halaman buku tersebut, mereka terlihat gambar ayam. Buku ejaan A hingga Z. A untuk Ayam. Dengan tiba-tiba, Ipin terus terbayangkan nikmat ayam goreng. Kemudian, mereka beralih ke mukasurat J untuk jus. Oleh sebab tercari-cari mukasurat makanan, Upin dan Ipin merebut-rebut buku itu sehingga buku itu tercampak ke lantai. Kak Ros yang sedang membasuh pinggan di dapur pun berasa jengkel mendengar pergaduhan adik-adiknya lalu keluar untuk memarahi mereka. Tanpa diduga, adik-beradik kembar itu sudah terlelap.”


            Dalam kisah di atas, kita dapat lihat bahawa mereka dapat bermain bersama-sama dengan mesra. Ini menunjukkan contoh yang  baik bagi meggambarkan perpaduan masyarakat. Rajoo menujukkan sikap yang prihatin dengan ingin membelanjakan kawan-kawannya yang lain selepas bermain menarik upih bersama-sama. Kemudian Mei Mei menegur Upin dan Ipin untuk mengingatkan bahawa mereka sedang berpuasa. Hal ini menunjukkan toleransi yang amat baik. Mereka menghormati perbezaan kepercayaan dan bangsa. Itu semua bukanlah penghalang untuk mereka hidup bersama dan menjalankan aktiviti harian mereka dengan baik seperti aktiviti rutin kanak-kanak iaitu bermain.

            Seterusnya ialah kisah animasi Upin dan Ipin pada Musim ke sembilan yang bertajuk Jambatan Ilmu. Petikan dari sinopsis kisah tersebut ialah :

“Keesokan hari, Upin, Ipin dan kawan-kawan menonton Mei Meiberceritakan Mat Jenin di pondok tempat bermain. Ketika membuat babak mengeluh kesakitan, kata-katanya sungguh melucukan hinggaMail terpanggil untuk memperbetulkan kata-kata Mei Mei dengan mengingatkan pesan Cikgu Melati di tadika sewaktu sebelum cuti sekolah supaya tidak berbahasa pasar ketika bercerita kerana "bahasa jiwa bangsa".”

            Dalam kisah ini, menunjukkan bahawa penekanan menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Ini memberi satu impak positif yang dapat memberi kesan ke dalam diri penonton akan pentingnya menggunakan bahasa dengan betul. Bahasa merupakan perantaraan manusia berkomunikasi. Dengan menggunakan bahasa yang sama iaitu bahasa melayu, ini dapat memudahkan masyarakat di Malaysia untuk saling berkomunikasi dan saling berusaha untuk memahami antara satu sama lain.





            Contoh seterusnya ialah juga dalam kisah yang sama iaitu Jambatan Ilmu tetapi episode yang seterusnya iaitu episode 6. Petikan sinopsisnya ialah :

“Keesokan hari, berlangsungnya sesi bercerita dari buku di kelas Aman. Sedang Jarjit hampir selesai bercerita, tiba-tiba sahaja Fizi bangun sambil bernyanyi sumbang lagu "Sahabat Selamanya" tetapi sempat ditegur oleh Mei Mei supaya senyap. Penceritaan Jarjit diakhiri dengan pujian Cikgu Melati.

Kemudian giliran Susanti untuk tampil bercerita dengan penuh semangat mengenai "Malin Kundang". Lama-kelamaan mendengar cerita Upin dan Ipin sedar betapa serupanya cerita Susanti dengan "Si Tanggang". Lantas mereka ungkitkan hal ini sehingga berlakunya perbalahan. Mujur Cikgu Melati mematahkan perbalahan lalu berpesan bahawa kedua-duanya ceritanya sama dan bertanya apakah pengajarannya. Jawab Ipin, haruslah "mengenang jasa orang tua dan mendengar cakap mereka". Satu kelas bergema dengan "Betul-betul-betul".”

            Dalam kisah Upin dan Ipin tersebut, keadaan kelas yang berlaku proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan mesra dan amat baik, yang para pelajarnya terdiri daripada berbilang bangsa. Episod ini menayangkan keadaan kelas yang terkawal dengan baik.

            Dalam kisah ini, nilai yang baik juga turut diterapkan iaitu mengenang jasa orang tua, serta patuh pada kata-kata orang tua. Masyarakat yang bersatu padu dapat dibentuk dengan tertanamnya sikap menghormati orang tua. Ini merupakan kunci penting kepada perpaduan kerana orang tua mempunyai banyak nasihat yang berguna yang wajar menjadi pedoman orang muda untuk hidup dengan baik.





            Kisah seterusnya ialah Kembara ke Pulau Harta Karun. Petikan sinopsinya ialah :

“Sementara Hang Upin dan Hang Ipin berbincang dengan Mei Mei tentang isi kandungan peta, geng lanun Jarjit Singh ternampak sebeling kayu di atas geladak kapal lalu mengambil kesempatan untuk melepaskan diri dari ikatan mereka lalu merampas peta harta karun dan kapal sambil menghantar Hang Upin, Hang Ipin dan Puteri Mei Mei pergi dengan perahu. Setelah lama ditinggalkan di tengah lautan hingga senja, mujurlah perahu yang dinaiki oleh Hang Upin, Hang Ipin dan Puteri Mei Mei bertembung dengan kapal nelayan Dzul dan Ijat. Maka mereka mengambil kesempatan untuk memujuk nelayan berdua itu untuk mengejar Jarjit Singh hingga ke Pulau Harta Karun. “

            Kisah ini memberikan contoh perpaduan masyarakat dalam cerita tersebut tentang usaha mereka yang pada mulanya melepaskan diri dari penjahat, kemudiannya meminta bantuan masyarakat untuk meneruskan misi mereka ke Pulau Harta karun. Banyak adegan yang memaparkan usaha yang memerlukan watak-watak protaganis bersatu padu agar mereka dapat menewaskan musuh mereka.





BAB 2 : USAHA KE ARAH PEMBENTUKAN KESEPADUAN MASYARAKAT DI MALAYSIA

            Pada bab ini, kita akan menelusuri tindakan-tindakan yang telah dilakukan bagi memastikan kesepaduan masyarakat di negara kita terbentuk dengan baik. Kesepaduan itu amat penting agar hasilnya membentuk masyarakat yang mempunyai perpaduan yang kukuh. Menurut Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly(2006), ”Tanpa perpaduan, negara itu akan terdedah kepada pelbagai-bagai kelemahan dan ancaman  yang boleh mennjejaskan kedaulatan agama itu sendiri”.

Pada tahun 1970, Dasar Ekonomi Baru dibentuk, antaranya ialah bertujuan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dengan cara menyusun semula masyarakat dan berusaha membasmi kemiskinan. Menurut Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee(2004),”Proses ini telah dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang mempunyai objektif untuk membasmi kemiskinan dan untuk menyusun semula masyarakat. DEB mempunyai dua matlamat yang utama iaitu pengambilan pekerja-pekerja di pelbagai sektor ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan serta hak milik harta-harta produktif yang terdapat di dalam negara ini disusun semula supaya pada tahun 1990 orang Melayu akan miliki sekurang-kurangnya 30% daripada hak milik tersebut”.

            Pendeknya ianya bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara penduduk bandar dan luar bandar. Seterusnya kita pergi kepada Laporan Pelajaran Razak 1956. Isi utama yang dinyatakan dalam Laporan Pelajaran Razak 1956 ialah Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah. Hal ini bertujuan bahawa dengan menggunakan bahawa pengantar yang sama iaitu  Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, maka perpaduan dapat dibentuk dengan baik.



           

            Laporan Rahman Talib 1960 pula dilaksanakan oleh kerajaan yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pendidikan teknik dan dan vokasional. Ia menjadi aliran baru dalam pendidikan. Hasilnya, peluang yang lebih besar dibuka agar bumiputera dapat melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi. Kanak-kanak juga diwajibkan untuk menjalani sesi persekolahan berdasarkan Laporan Rahman Talib 1960. Ringkasnya dasar-dasar yang dikemukan dibawah laporan ini, menjadi usaha yang bertujuan untuk meningkatkan mobiliti sosial masyarakat. Ini merupakan langkah kesepaduan sosial yang menekankan peluang dan ruang bagi masyarakat yang ingin memajukan diri mereka.

            Pada tahun 1984, Tun Dr.Mahathir telah sebagai Menteri Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyediakan satu Laporan Kabinet yang berkaitan dengan pelajaran. Laporan ini menggalakkan para pelajar bumiputera untuk mengambil jurusan sains dan teknologi sebagai bidang pengajian utama mereka. Agenda yang dilaksanakan dalam Laporan ini amat membantu kepada kesepaduan sosial.

            Selain itu, pada Akta Pendidikan 1995 juga merupakan  antara usaha untuk menjaga kesepaduan sosial di negara ini. Akta ini memberikan jaminan berkenaan kesinambungan sekolah vernakular cina dan india di negara ini. Serta, kuasa Menteri Pelajaran untuk menutup sekolah vernakulat juga dimansuhkan. Tindakan ini memberikan keyakinan bahawa survival pendidikan vernakular akan dipertahankan sebagai satu langkah dalam usaha menjaga kesepaduan masyarakat melalui proses pendidikan.

            Menurut Shamsul Amri Baharuddin(2013), masyarakat Malaysia telah cukup matang untuk mempertahankan keamanan yang mereka kecapi sekarang. Konflik yang timbul merupakan satu proses menjati dirikan kehidupan mereka supaya mengutamakan perundingan dan tolak ansur. Tambahan lagi menurut beliau, proses kesepaduan masyarakat di Malaysia ini dipanggil stable tension.


BAB 3 : IMPAK WATAK DALAM ANIMASI UPIN DAN IPIN BAGI MEMBENTUK KESEPADUAN SOSIAL MASYARAKAT

        Kesepaduan sosial merupakan cara untuk melihat konflik yang berlaku dalam kehidupan bermasyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Sekiranya timbul pelbagai konflik, anggotanya akan segera mencari jalan penyelesaian melalui perundingan dalam pelbagai cara dan bentuk. Daripada perspektif kesepaduan sosial, masyarakat Malaysia bersifat dinamik. Ertinya, masyarakat kita membina kesepaduan sosial melalui interaksi dan amalan harian secara langsung dan tidak langsung secara berterusan.       
   
            Watak yang memberi impak yang cukup besar dalam animasi Upin dan Ipin ialah mereka berdua itu sendiri. Kita dapat lihat dalam setiap siri episod Upin seringkali membetulkan kesilapan Ipin. Ipin menerima teguran Upin. Adakalnya mereka bergaduh, namun akhirnya mereka sentiasa berdamai dan bekerjasama untuk melakukan sesuatu seperti bermain bersama-sama serta mengemas rumah mereka apabila disuruh oleh Kak Ros.

            Seterusnya ialah Tok Dalang. Dia merupakan penghulu Kampung Durian Runtuh. Dalam episod Skuad Bebas Denggi, Musim-9 episod 3, Tok Dalang menegur Upin,Ipin dan kawan-kawannya yang lain. Mereka tidak mengemas sampah sarap di kedai jiran. Maka Tok Dalang menyuruh mereka mengutip sampah sarap dengan alasan bahawa sebagai satu komuniti masyarakat, perlu bertanggungjawab. Hal ini bertujuan bagi mencegah penyakit denggi daripada merebak kerana nyamuk membiak di tempat banyak sampah sarap. Ini merukan contoh baik untuk memupuk perpaduan masyarakat kerana saling mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan.

            Dalam siri Al-Kisah Malam Puasa Musim 9, Episod 3, Upin,Ipin, Ehsan, Fizi dan Dzul pergi untuk solat terawih dengan basikal. Dalam perjalanan, mereka sampai pada suatu kawasan dan ternampak bayang-bayang seperti kucing. Mereka ketakutan lalu pantas mengayuh basikal ke masjid. Pakaian mereka menjadi kotor dengan selut. Tok Dalang memberi mereka pakaian yang baru iaitu baju melayu beserta kain sarung agar mereka dapat menunaikan solat. Ini merupakan satu impak yang amat kuat. Peristiwa ini menunjukkan Tok Dalang amat perihatin dan ambil berat kebajikan masyarakat. Sudah tentu ianya memberi contoh, bagaimana kehidupan masyarakat yang bersatu padu serta saling bantu membantu berlaku dalam keadaan sebegini iaitu di masjid pada malam pertama puasa iaitu sebelum menunaikan solat terawih.

            Selain itu, Kak Ros juga memberikan impak yang kuat kerana sering melarang Upin dan Ipin daripada bermain melebihi waktu atau melakukan perkara yang bukan-bukan seperi Upin dan Ipin yang kadangkala bergaduh disebabkan perkara kecil.Contohnya ialah berebut membuka kamus bergambar kanak-kanak untuk mellihat dan membanyangkan ayam goreng ketika di bulan puasa. Kak Ros bersikap tegas bagi memastikan Upin dan Ipin sentiasa dalam kawalan dan berdisiplin. Di sebalik sikapnya yang tegas, Kak Ros merupakan seorang yang amat penyayang dan mengambil berat tentang Upin dan Ipin. Opah merupakan nenek baik hati yang tidak pernah penat untuk menjelaskan kepada Upin dan Ipin tentang setiap perkara yang ditanyakan oleh mereka.

            Dalam siri animasi yang bertajuk Al-Kisah Hari Raya Musim ke-9 Episod 3, kita dalam melihat kesepaduan sosial yang baik semasa hari raya. Jarjit dan Mei Mei turut datang ke rumah Upin dan Upin. Mereka disambut dengan mesra oleh Opah dan Kak Ros pada hari yang mulia tersebut. Peristiwa ini memberi contoh yang amat baik dalam membentuk perpaduan yang utuh dalam masyarakat. Walaupun berbeza bangsa dan agama, ianya tidak menghalang kita untuk hidup bersama dengan harmoni saling menyayangi dan bertolak ansur. Semua peristiwa dalam animasi ini menunjukkan ciri-ciri perpaduan dalam masyarakat dengan baik.
           

BAB 4 : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA KERUNTUHAN PERPADUAN SOSIAL DI MALAYSIA

            Antara faktor-faktor yang menyumbang pada keruntuhan perpaduan  ialah aspek pergaulan. Dalam kalangan masyarakat kita, ada yang hanya bergaul sesama bangsa mereka sahaja dan tidak ingin bercampur dan mengenali bangsa yang lain. Ini menyukarkan mereka untuk saling memahami dan mengenali perbezaan,sekaligus menghormati perbezaan mereka.

            Seterusnya ialah perbezaan agama dan budaya. Contohnya ialah penganut agama hindu tidak memakan lembu kerana dianggap haiwan yang suci manakalan penganut agama yang lain seperti  kristian dan islam memakan lembu. Hal ini jika tidak difahami serta menghormati perbezaan dan menjelaskan perbezaaan kefahaman ianya boleh menimbulkan pertengkaran. Tambahan lagi, umat islam mempunyai hari raya korban dan lembu merupakan haiwan yang dijadikan sembelihan untuk meraikan hari raya ini.

            Tambahan pula ialah berkenaan memakan haiwan tertentu seperti Khinzir. Umat islam tidak memakan khinzir kerana dilarang dalam ajaran agama islam, manakala penganut kristian dan hindu pula memakan babi dan tiada larangan dalam ajaran mereka.

            Selain itu perbezaan status ekonomi masyarakat juga menjadi punca kepada keruntuhan perpaduan sosial. Perbezaan status ekonomi seperti Cina berada di sektor perniagaan, india berada di ladang serta kaum melayu berada di pinggir bandar. Masyarakat yang tidak tersusun status ekonomi, dan terjadinya seolah-olah kemiskinan dan kemalasan dikaitkan seolah-olah menjadi identiti sesuatu bangsa. Dalam karya Mitos Peribumi Malas, Syed Hussein Alatas membidas label yang bersifat negatif tersebut yang ditujukan kepada bangsa melayu dengan terperinci.

            Surat khabar juga memainkan peranan dalam meruntuhkan perpaduan. Contohnya berita yang sama dalam akhar dalam bahasa yang berbeza, menceritakan sesuatu peristiwa itu tidak sama. Contohnya peristiwa A, beberapa akhbar memberi ulasan yang berbeza yang bercanggah.  Sekiranya isu yang diterbitkan dalam akhbar bersifat kaum, ianya boleh menimbulkan salah faham dan pertengkaran. Semangat perkauman yang merasakan kaum mereka superior dan yang selainnya adalah inferior juga boleh timbul dalam diri mereka.

            Akhirnya ialah sikap pemuda masa kini. Mereka sudah tidak mengambil berat soal menjaga perpaduan dalam masyarakat kita. Apa yang penting bagi mereka hanyalah diri mereka sendiri. Mereka tidak melihat keutamaan yang lebih besar dalam menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat. Perkara ini berpunca dari ceteknya ilmu mereka berkenaan kepentingan menjaga perpaduan kerana mereka hidup dalam keadaan masyarakat yang agak stabil. Mereka kelihatan tidak berminat untuk berkenal-kenalan serta cuba untuk memahami jiran tetangga yang sama mahupun berlainan agama,bangsa dan budaya. Inilah antara penyumbang besar kepada keruntuhan perpaduan sosial. Iaitu apabila setiap dari kita sebagai rakyat sudah tidak cakna dalam memelihara perpaduan masyarakat kita.



KESIMPULAN
            Sebagai kesimpulan, kita dapat melihat kepentingan menjaga perpaduan agar kita dapat hidup dalam keadaan harmoni. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan seperti menekankan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah agar dapat membantu komunikasi antara masyarakat. Bahasa yang sama memudahkan kita berkomunikasi untuk saling berkenalan dan memahami antara satu sama lain. Ini antara cara perpaduan itu dipupuk. Seterusnya ialah dengan memberikan hak sekolah vernakular agar mereka melihat bangsa mereka tutur diiktiraf dan diberi ruang untuk mendidik anak bangsa mereka dengan acuan mereka sendiri.

            Animasi Upin dan Ipin merupakan suatu contoh usaha yang amat cemerlang dalam menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak yang menonton rancangan ini dapat melihat suasana hidup dalam masyarakat majmuk. Cara-cara setiap watak berkawan, dan cara merek menyelasikan konflik antara mereka. Hal ini sudah tentu dapat menanam sikap saling mnghormati individu yang berbeza agama,bangsa dan budaya dengan kita.

            Perpaduan masyarakat merupakan perkara yang perlu dipelihara bersama. Jika kita tidak mengambil endah, usaha berpuluh tahun yang dilakukan oleh pelbagai pihak akan musnah. Negara yang mempunyai perpaduan yang lemah, tidak mampu membangun dengan baik. Oleh itu, amatlah perlu kita menitikberatkan soal menjaga perpaduan dengan melakukan pelbagai usaha agar masyarakat peka dengan perkara ini.

            Sebagai rakyat malaysia, kita perlulah berlapang dada dan bertoleransi untuk hidup berjiran dengan mereka yang mempunyai gaya hidup yang berbeza dengan kita. Janganlah pula kita berprasangka dengan mereka. Tiada jalan lain untuk memahami dan mengenali mereka melainkan kita bersosial dengan mereka. Jalinkan hubungan yang erat sesama komuniti dalam masyarakat agar kita dapat bersama-sama membentuk perpaduan yang kukuh  memelihara keharmonian masyarakat.





APENDIKS/RUJUKAN :
1. Shamsul Amri Baharuddin. (2014). Perpaduan, Kesepaduan, dan Penyatupaduan : Satu Negara, Satu Akar, Tiga Konsep Keramat. Dimuat turun pada 30 Oktober 2015 daripada

2. Wikipedia. (2015). Upin & Ipin. Dimuat turun pada 31 Oktober 2015 daripada

3. Wikia. (2015). Wiki Upin dan Ipin : Dugaan. Dimuat turun pada 31 Oktober 2015 daripada http://ms.upinipin.wikia.com/wiki/Dugaan

4. Wikia (2015). Wiki Upin dan Ipin : Jambatan Ilmu. Dimuat turun pada 1 November daripada http://ms.upinipin.wikia.com/wiki/Jambatan_Ilmu

5. Youtube. (2015). Upin Ipin Al-Kisah Hari Raya 2015 Musim 9 Episod 3. Dimuat turun pada 1 November 2015 daripada https://www.youtube.com/watch?v=GkNCtsjYhDk

6. Youtube. (2015). Upin Ipin Al-Kisah Malam Puasa Musim 9 2015 Episod 3. Dimuat turun pada 1 November 2015 daripada https://www.youtube.com/watch?v=rKaxIErfm7U

7.  Wei, C.. (2012)  Perpaduan dan Intergrasi National. Dimuat turun pada 31 Oktober 2015 daripada http://www.slideshare.net/ChinWei1/usaha-dan-strategi-yang-diambil-oleh-kerajaan-bagi-memantapkan-usaha-mencapai-perpaduan-dan-inter

8. Wikia. (2015). Wiki Upin dan Ipin : Senarai Watak Upin dan Ipin. Dimuat turun pada 1 November 2015 daripada


Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.