[:::Ilmu:::] ~Bahagian 7~

by May 26, 2016 0 comments





Saya fikir, kita sebagai umat islam, sudah tentu biasa mendengar ayat berilah amanah pada ahlinya.

Kalau kita tengok dan fikir betul-betul, kita akan dapati bahawa kemusnahan akan menimpa kita jika kita tidak beri amanah pada mereka yang berhak. Mungkin ada yang berusaha memberi tanggungjawab pada mereka yang layak,namun mereka tersalah penilaian. Maka umumnya akan ditanya pula, bagaimana mahu kenal siapa ahlinya agar amanah itu dapat diberi pada mereka?

Menurut Yang Mulia Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, apabila soalan itu ditanya, bermakna mereka dah tak kenal siapa ahlinya. Kita sepatutnya tahu siapa ahlinya. Yang kita diperintahkan oleh Allah ialah agar kita beri amanah itu pada mereka. Tambahan, semasa wahyu berilah amanah pada ahlinya diturunkan, para sahabat tidak bertanya siapa ahlinya. Hal ini disebabkan sudah diketahui dan mampu dinilai siapa ahlinya. Yang wajib dibuat ialah berlaku adil dengan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul. Dengan amanah itu ditanggung oleh ahlinya, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang betul, sesuai dengan pandangan alam islam. Mereka akan melaksanakan tugas dengan penuh adab, yang mana hasilnya ialah keadaan yang dipanggil adil, berlaku.

Kalau kita lihat bahawa masyarakat kita dalam kekeliruan, maka ketahuilah bahawa berlaku kekeliruan ilmu. Yang hasilnya membawa pada keruntuhan adab, yang sudah tentu, mereka yang runtuh adab, akan gagal memberikan amanah itu pada ahlinya.

Maknanya ilmu mereka sudah korup. Ilmu yang korup perlu ditentang. Dan caranya, tetaplah juga dengan jalan ilmu. Kita harus biarkan orang yang ahlinya melakukan tugas pendidikan semula ini agar terhasilnya mereka yang terdidik, juga bermaksud mereka yang beradab. Atau dikenali sebagai insan adabi.

Kita tahu bahawa kita perlu menuntut ilmu. Kita juga perlu tahu bahawa ilmu itu tidak neutral dan boleh dimaksudkan dengan faham-faham asing. Gabungan faham-faham asing ini, terjelma melalui cara melihat dan memahami kata kunci dan konsep-konsep penting, akan mencerminkan suatu pandangan alam yang mengelirukan.

Perlu diingatkan bahawa kekeliruan terhasil apabila benar dan palsu bercampur, terutamanya dalam pemikiran.

Oleh itu, kita perlulah mempunyai ilmu bayan. Ilmu bayan, menurut Yang Mulia Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah suatu ilmu yang membolehkan kita membezakan sesuatu yang berbeza, namun kelihatan amat mirip dan seakan-akan sama, yang boleh menyebabkan kita tersilap lalu menganggapnya sebagai benda yang sama.

Pada tahun 2016, dalam siri Saturday Night Lecture, beliau menambah, semasa menjelaskan tentang monograf terbarunya yang bertajuk On Justice and The Nature of Man, bahawa ilmu bayan ialah keupayaan menggunakan bahasa dengan cara yang betul agar sampai pada kebenaran.





Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.