[:::Ilmu:::] ~Bahagian 6~

by May 22, 2016 0 comments


Aisberg di lautan merupakan contoh yang baik untuk mencerminkan diri kita. Yang terzahir di permukaan adalah diibaratkan sebagai perbuatan yang dizahirkan. Namun sebahagian besar adalah terbenam di dalam air. Yang nyata adalah yang dapat dilihat oleh kebanyakan manusia, namun yang tersembunyi itu, tidak ramai yang dapat melihatnya.

Apa yang akan dibicarakan pada kali ini ialah tentang konsep pendidikan. Apakah yang layak dikatakan sebagai mendidik? Mengajar ilmu, dan/atau mendisiplinkan seseorang, masih belum layak dipanggil mendidik kerana tanpa penyemaian adab, akan terhasillah insan yang berilmu tetapi tiada adab, atau/dan insan yang berdisiplin, namun disiplinnya hanyalah jelmaan luaran yang tidak menggambarkan keselarian di dalam jiwa. Atau dengan kata lain, hanyala kepura-puraan, atau memakai topeng palsu semata-mata.

Ada yang memfokuskan untuk membentuk manusia hanya pada luaran semata-mata, diibaratkan hanya membetulkan bahagian yang jelas nyata di atas permukaan air. Namun, hakikat mendidik sebenarnya adalah fokusnya kepada yang tenggelam dalam air. Itulah yang sebenarnya yang akan mencerminkan luaran yang timbul. Pendidikan yang sebenar adalah mengubah yang aisberg yang tenggelam itu, lalu apabila yang dalam tidak ternampak oleh mata kasar itu diperbaiki, maka terjelma individu yang mempunyai adab, individu yang konsisten dengan perbuatannya dan ikhlas. Kita boleh katakan mereka itu insan adabi.

Yang tenggelam, tidak mudah kita nampak oleh pandangan luaran itu adalah pemikiran seseorang, apa yang bermain di jiwanya, serta yang paling penting ialah pandangan alamnya. Apakah pandangan alamnya itu adalah pandangan alam islam, ataupun telah bercampur aduk dan keliru dengan pandangan alam barat yang sememangnya bercampur, yang kalau diibaratkan seperti kepingan puzzle, setiap kepingan puzzle itu tidak dapat dicantumkan untuk membentuk sebuah gambar. Begitulah kelirunya pandangan alam barat. Lalu mereka membangunkan western civilisation yang berdasarkan pandangan alam yang keliru dan berkecamuk ini, maka hasilnya ianya pembangunan sains dan teknologi yang hilang arah tujuan, dan menjadikan sains dan teknologi, atau membangun itu sendiri sebagai tujuan akhir. Pendeknya tiada tujuan akhir.

Katakanlah mereka yang terpelajar dalam kalangan kaum ilmuan islam, mempunyai pandangan yang yang keliru, maka terhasilnya ilmuan-ilmuan muda yang semakin keliru, lalu mereka mengelirukan masyarakat. Yang lebih parah lagi, mereka tidak sedar kekeliruan mereka dan menganggap mereka itu terkedepan dan yang traditional itu sudah ketinggalan. Walhal, mereka tidak menyedari dan gagal menghayati permata hikmah ulama' muktabar zaman lampau yang masih kekal relevan hingga ke hari.

Pembetulan yang perlu dilakukan ialah pembetulan pandangan alam, dan sudah tentu ini memerlukan guru mursyid yang mengetahui tentang pandangan alam yang sebenar. Perlu kita tahu, tidaklahh perlu semua manusia termasuklah orang awam untuk memahami tentang pandangan alam ini. Tanggungjawab ini jatuh kepada kaum ilmuan, iaitu para mahasiswa mahasiswi yang menuntut di institut pengajian tinggi. Amanah itu adalah kepada mereka.

Kalau mereka yang dalam perjalanan menuntut ilmu pun tidak memahami, bak kata orang, mereka yang sepatutnya diharapkan pun tak boleh diharap, maka bagaimanakah dapat kita berjaya dalam membetulkan pandangan alam islam ini? Umat islam adalah diibaratkan sebagai cermin bidal tamsil yang memantulkan cahaya islam. Cermin yang berdebu akan gagal memancar cahaya sempurna islam. Maka cermin itu perlulah digilapkan. Menggilap cermin itulah adalah permisalan bagi proses kita membetulkan pandangan alam kita agar mempunyai pandangan alam islam.

Barulah lama-kelamaan ianya akan beransur-ansur turun ke bawah dan tersemat kemas dalam jiwa dan kefahaman masyarakat awam. Amat sukar untuk umat islam di seluruh dunia menjadi umat islam sejati, insan adabi yang jelas matlamat hidupnya serta berkelakuan di dunia ini sesuai dengan tujuannya diciptakan melainkan pandangan alam islam ini terjelma dalam pandangan batin umat islam.

Akhir kata, kita perlulah mengenali apakah masalah kaum muslim , cabaran2nya sama ada daripada dalam atau pun luar, serta langkah-langkah yang mujarab serta sistematik untuk mengubatinya. Saya sarankan kita berusaha sedaya-upaya kita untuk mengenali dan menghayati karya-karya unggul mujadid era ini yang telah beliau jelaskan dengan terperinci, penyakit umat islam di seluruh dunia, serta penawarnya. Beliau yang dimaksudkan ialah Yang Mulia Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Bagi yang belum pernah meneliti karyanya, saya sarankan membaca 3 buah karyanya dahulu iaitu, Risalah Untuk Kaum Muslimin, Islam and Secularism/Islam dan Sekularisme, dan karya terbarunya iaitu On Justice and The Nature of Man.


Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.