Zakat Fitrah

by August 21, 2015 0 comments
1.0 PENGENALAN

            Zakat adalah harta yang diambil daripada penganut islam, yang merupakan satu ibadat yang diwajibkan ke atas kaum muslimin. Ini termasuk dalam salah satu daripada 5 rukun islam yang perlu dipenuhi sebagai seorang penganut agama islam.  Umumnya, zakat diambil daripada harta umat islam yang dalam kalangan mereka yang berada, mempunyai pendapatan yang melebihi keperluan diri dan keluarga. Sebagai pengetahuan umum, kadar pembayaran zakat adalah mengikut jumlah hasil pendapatan dan harta-harta kekayaan yang disimpan apabila mencapai kadar-kadar yang tertentu.

            Nisab adalah perkataan yang digunakan bagi kadar tersebut. Bagi mereka yang tidak mencapai kadar yang ditentukan, ataupun dinamakan sebagai nisab, zakat tidak diwajibkan ke atas mereka. Kita juga harus jelas bahawa zakat hanya dikutip daripada penganut agama islam sahaja, kerana ianya termasuk dalam ibadat umat islam.

            Inti penulisan ini adalah berkisar tentang salah satu daripada zakat iaiatu zakat fitrah. Apakah yang dimaksudkan dengan zakat fitrah? Apakah hikmah di sebalik zakat fitrah serta dalil berkenaan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah serta peranan zakat fitrah dalam membantu masyarakar muslim dijelaskan dengan sebaik mungkin.

            Beberapa karya-karya ilmuan islam dijadikan rujukan dalam melakukan penulisan ini dan bahan-bahan diambil daripada sumber yang berautoriti seperti kitab Fathul Qarib Al-Mujib fi Syarhi Alfaz al-taqrib karya Ibnu Qasim al-Ghazi , Kita Fiqh Siyasah Khulafa Ar-Rasyidin karya Abdul Hadi Awang dan beberapa karya-karya yang lain.


            Abdul Hadi Awang(2013) berkata, sistem zakat menunjukkan wasatiyah islam yang berbeza dengan sistem kapitalis yang bebas memiliki harta, tanpa batas yang saksama sehingga cuai menunaikan kewajipan bermasyarakat, berbeza dengan komunis dan sosialis yang mengongkong kebebasan individu dengan menadikan hak dan kebebasan milik dan bekerja, kerana kawalan kerajaan, sehingga membekukan kegiatan ekonomi.

            Kita juga akan melihat apakah dalil-dalil serta bentuk zakat fitrah yang dikeluarkan oleh masyarakat islam, serta pembayaran dan keberkesananya di beberapa negeri di malaysia dengan melihat pada rekod-rekod lampau melalui sumber daripada pihak yang berwajib dan melalui berita rasmi seperti surat khabar.

            Jika kita menelusuri sejarah, pada zaman Rasulullah dan zaman Khalifah Abu Bakar, zakat yang dikeluarkan adalah daripada pertaninan, ternakan, simpanan harta seperti emas dan perak serta hasil kekayaan daripada perniagaan yang dijalankan, serta beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar kemudiannya berkenaan zakat.

            Seterusnya, dengan terhasilnya penulisan ini, adalah bertujuan untuk memberi penjelasan berkenaan pelbagai aspek serta maklumat yang wajar diketahui oleh kita sebagai umat islam berkenaan selok-belok zakat fitrah di negara kita, hikmah pemberian zakat fitrah serta keberkesanan pembayarannya di beberapa buah negeri turut akan dijelaskan dengan serba ringkas.




2.0 PENGERTIAN ZAKAT FITRAH

            Dalam membicarakan soal zakat fitrah, terlebih dahulu kita perlu mengetahui berkenaan dalil berkenaan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah. Dalil ini dipetik dari kitab Sahih Bukhari. Dengan mengetahui dalilnya, kita akan lebih jelas berkenaan kewajipan ini sebagai umat islam. Dalilnya adalah seperti berikut :

            Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin al-Sakkan telah menceritakan kepada kami Muhammad bin  Jahdham telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ja’far dari Umar bin Nafi’ dari bapanya dari Abdullah bin Umar Radhiallahu ’anhuma berkata : ”Rasululah sallallahu ’alaihi wasallam mewajibkan zakat fitri satu sha’ dari kurma atau sha’ dari gandum bagi setiap hamba sahaya(budak) mahupun yang merdeka, lelaki mahupun perempuan,kecil mahupun besar dari kaum Muslimin. Dan baginda memerintahkan agar menunaikannya sebelum orang-orang berangkat sebelum solat (’Ied).”

                                                                                                         (Sahih Bukhari)

           
2.1 Makna Zakat Fitrah
            Seterusnya kita pergi kepada memahami erti fitrah. Apakah itu fitrah ? Perkataan ini membawa maksud sifat asal, bakat, pembawaan sifat semulajadi manusia yang suci dan bersih daripada dosa dan noda. Manakala zakat fitrah bermaksud sedekah wajib menjelang hari raya aidilfitri dengan beberapa ketentuan dan syarat-syaratnya. Zakat fitrah juga dimaknakan dengan zakat badan. Setiap mukallaf diwajibkan mengeluarkan zakat bagi diri sendiri, dan bagi bagi orang yang wajib ditanggungnya daripada isi rumahnya dengan kadar yang ditetapkan oleh syarak.



2.2 Syarat-syarat Kewajipan Mengeluarkan Zakat Fitrah.

a. Seseorang itu wajib seorang islam. Hal ini membawa maksud tidak wajib bagi bukan islam.

b. Seseorang itu ada ketika mulai terbenamnya matahari pada hari akhir daripada bulan Ramadhan. Hal ini bermakna seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari, wajib dikeluarkan zakat fitrah ke atasnya. Manakala bagi bayi yang lahir sesudah terbenam matahari, zakat fitrah tidak perlu dikeluarkan bagi bayi tersebut.

c. Seseorang itu mempunyai kelebihan. Kelebihan ini membawa maksud seseorang itu mempunyai lebihan makanan pokok untuk dirinya dan seluruh anggota keluarga untuk dimakan pada Hari Raya sehari semalam.

            Sebagai makluman, seseorang itu wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan orang-orang yang masih menjadi tanggungan memberikan nafkah(keluarga).


2.3  Lapan Golongan yang wajib diberikan zakat


Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
                                                                                                  (Surah At-Tawbah 9 : 60)


Berdasarkan ayat al-Quran di atas, golongan yang wajib diberikan zakat ialah :

1. Golongan fakir.
2.Golongan miskin.
3. Amil (pelaksana)
4.Baru memeluk islam.
5.Mempunyai hutang.
6.Hamba
7.Memperjuangkan agama Allah.
8.Orang yang dalam keadaan musafir.



           
3.0  Kelebihan Mengeluarkan Zakat Fitrah

3.1. Kembali pada fitrah.
            Sebagai seorang manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t, kita diberi fitrah, iaitu sesuatu pemberian yang sudah sedia ada pada diri manusia. Antaranya ialah apabila kita melihat dalam kalangan masyarakat, manusia yang mengalami kesusahan hidup, suatu rasa simpati timbul dalam diri. Perasaan yang terdetik dalam hati ini membuatkan kita ingin melakukan sesuatu untuk membantu mereka. Perasaan ini perlulah sentiasa dikuatkan agar secara keseluruhannya, keadaan masyarakat yang hidup saling bantu-membantu dan menyayangi antara satu sama lain dapat dihasilkan.

            Dari aspek inilah antara tujuan zakat fitrah diwajibkan ke atas umat islam bagi memupuk sifat-sifat mahmudah dalam diri umat islam. Perasaan seperti merasa belas kasihan, simpati, berkasih sayang dapat disemai ke dalam jiwa sebagai satu daripada pembentukan untuk menjadi insan kamil. Bagi penerima zakat fitrah pula, hati mereka menjadi terhibur, kerana mereka turut dapat menikmati kegemberiaan di hari raya. Ini menunjukkan bahawa semua penganut agama islam tanpa mengira darjat turut dapat bergembira menyambut hari raya yang mulia ini.

            Selepas sebulan berpuasa, umat islam dapat merasai bagaimana perasaan lapar buat sementara waktu, agar mereka dapat memahami sedikit sebanyak perasaan golongan mereka yang serba tidak cukup terutamanya makanan. Ini menghidupkan hati mereka dan melalui zakat fitrah mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mereka membantu umat islam yang sentiasa berada  dalam kesempitan hidup.





3.2  Pembersihan Hati

            Umumnya dalam masyarakat masa kini yang bersifat materialis, rata-ratanya mementingkan diri sendiri. Ketamakan yang menyelubungi hati mereka membuatkan diri enggan membantu orang lain yang dalam kesusahan. Bahkan merendahkan mereka dan menganggap bahawa ini semua akibat golongan susah itu malas berusaha. Walhal, mereka sudah tentunya mempunyai pelbagai masalah tersendiri yang tidak kita ketahui seperti akibat masalah rumah tangga, ditipu, dibuang dan dipinggirkan, serta terdapat juuga dalam kalangan mereka golongan kurang upaya yang tidak dapat mencari pekerjaan akibat syarikat-syarikat tidak mengkehendaki golongan seperti mereka.

            Sebagai seorang muslim, kita harus sedar bahawa manusia diuji sesuai dengan kemampuan mereka. Maka, bagi yang mempunyai harta yang cuku syarat-syaratnya, sudah menjadi tanggungjawab kita melaksanakan ujian kita dalam kemampuan kita, iaitu mengeluarkan zakat fitrah agar mereka dapat dibantu sewajarnya.

            Golongan-golongan peminta sedekah yang semakin hari semakin banyak, seperti tidak diendahkan dan tidak dilayan. Walhal bagi mereka yang bersih hatinya sudah tentu akan memberi sedikit sebanyak bantuan kepada mereka. Dengan itu, zakat fitrah merupakan suatu kewajipan agar pihak berwajib dapat mengumpul segala kutipan dari umat islam yang cukup syarat-syaratnya dan membahagikannya kepada 8 golongan yang wajib menerima zakat tersebut seperti dinyatakan dalam surah at-Tawbah ayat 60.




3.3  Pemberian yang berharga

            Sebagai penerima zakat fitrah, walaupun pemberian itu tidaklah banyak, namun jika diberikan tepat pada orangya, ianya merupakan suata pemberian yang sangat berharga. Mereka yang menerimanya akan bersyukur kepada Allah s.w.t atas pemberian yang diterima. Hal ini dapat meningkatkan lagi keimanan golongan-golongan yang serba kekurangan dan mendidik pemberi dan penerima zakat menjadi insan yang bertakwa.

            Sebagai umat islam yang berpuasa di bulan Ramadan, sudah tentu hari raya merupakan hari pentin yang disambut. Maka pemberian ini memberi mereka ruang untuk menyambut hari raya mengikut kemampuan mereka. Perkara ini sudah pasti dapat menguatkan ikatan kasih-sayang sesama umat islam dan kita dapat lebih memahami antara satu sama lain. Bagi pengeluar zakat, dalam diri mereka, mereka sedar bahawa ada yang bersedih di hari raya sekiranya tidak dibantu, maka dengan ikhlas dalam hati mereka menunaikan tanggungjawab mereka.





4.0  Pandangan Mazhab  berkenaan Zakat Fitrah dan Fatwa di Malaysia

4.1 Pandangan Mazhab Syafie

1. Merujuk kepada penerangan daripada Ibnu Qasim al-Ghazi, yang mesyarahkan kitab yang ditulis oleh ulama besar mazhab Syafie iaitu Syeikh al-’Alim  al-Allamah al-Imam Syihab al-Dunya wa al-Din,Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Asfahani al-Syafie Rahimaullah atau juga dikenali sebagai Qadi Abu Syuja’ yang berjudul Fathul Qarib al-Mujib fi Syarhi Alfaz al-Taqrib.Bentuk zakat fitrah adalah daripada makanan pokok negeri tempat tersebut :

  ”Hendaknya orang tersebut mengeluarkan satu sa’(2172 gram) daripada makanan pokok negerinya, jika memang dia itu berada di suatu negeri. Apabila di suatu negeri itu terdapat beberapa  macam makanan pokok, sedang yang berlaku adalah sebahagiannya sahaja, maka hendaklah mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan yang berlaku daripada sebahagian tadi. Seandainya seseorang itu berada di suatu tanah pergunungan yang di situ tidak ada makanan pokok penduduknya, maka hendaklah dia mengeluarkan zakat fitrah dengan menggunakan makanan pokok negeri yang berdekatan dengannya. Barangsiapa yang tidak mampu  mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sa’ , maka dia wajib mengeluarkan setengah sa’ sahaja. ”



4.1.1 Dalil Zakat Fitri dengan satu sa’ makanan

            Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengkhabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari ’Iyadh bin Abdullah bin Sa’ad bin Abu Sarhi al-’Amiriy bahawa dia mendengar Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahu ’anhu berkata : ”Kami mengeluarkan zakat fitri satu sha’ dari makanan atau satu sha’ dari kurma atau satu sha’ dari keju(mentega) atau satu sha’ dari kismis(anggur kering).”
                                                                                                                  (Sahih Bukhari)

           
4.2 Pandangan Mazhab Hanafi :

            Imam Hanafi berpendapat bahawa zakat fitrah dalam bentuk wang adalah dibolehkan. Ini adalah berdasarkan dalil bahawa pada zaman tabi’in, ketika era ’Umar ibn ’Abdul ’Aziz  lagi zakat sudah dibenarkan dalam bentuk wang.(Musannaf, 4/37-38). Dalil daripada ayat al-Quran juga membolehkannya iaitu :


  ”Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.......”
                                                                                     (surah Al-Baqarah 2 : 286) ,

dan juga ayat ,


 ”Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.....”
                                                                                     (surah At-Taghabun 64 : 16).


serta daripada hadis,


Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu ,dia berkata: "Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,'Apa saja yang aku larang terhadap kalian, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian. Sesungguhnya apa yang membinasakan umat sebelum kalian hanyalah karena mereka banyak bertanya dan menyelisihi Nabi-nabi mereka'."

                                                                     [Diriwayatkan oleh al-Bukhâri dan Muslim].


4.3 Fatwa-fatwa berkenaan pembayaran zakat fitrah di  negara Malaysia.

1. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 11 November 1989 telah membincangkan mengenai Pembayaran Zakat Fitrah Dengan Wang. Mesyuarat berpendapat adalah harus kaum muslimin di negeri ini mengeluarkan zakat fitrah yang wajib ke atas mereka dengan harga makanan yang biasa dimakan (beras).

Hujah : Taqlid kepada Mazhab Imam Abu Hanifah.

2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan Penentuan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa
1).Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.
 
2.)Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Hujah : Amalan pelaksanaan zakat fitrah di negara ini ditunaikan dengan nilai mata wang bagi menggantikan satu gantang beras bagi setiap orang Islam yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Keadaan ini memperlihatkan wujud perbezaan kadarnya di negeri-negeri disebabkan penetapan asas timbangan bagi satu gantang beras dan jenis beras yang ditentukan. Selain itu, harga beras tempatan di Semenanjung Malaysia dikawal dan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) tetapi tidak melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.



5.0 Kaedah Pembayaran Zakat dan Keberkesanannya

5.1 JOHOR

Bagi kutipan zakat fitrah untuk tahun 2015, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah :

a.Menetapkan dua harga bayaran iaitu :

i..Harga Fitrah RM 5.00

Umat Islam  yang makan beras super tempatan 15% hancur yang berharga RM1.80 sekilogram.[Beras Bational]

ii.Harga Fitrah RM 8.00

Umat Islam yang makan beras selain daripada beras super tempatan 15% hancur .
[Beras Nasional].

b. Memberi garis panduan  :

a.Umat Islam yang bermukim di Johor wajib menunaikan zakat fitrah di Johor.

b.Bayaran fitrah hendaklah dibayar kepada amil bertauliah yang mempunyai kad kuasa daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

b.Pastikan setiap bayaran mendapat resit rasmi Majlis Agama Islam Negeri Johor.

c.Disarankan mengeluarkan Zakat Fitrah pada awal Ramadhan agar agihan kepada fakir dan miskin dapat diberi sebelum Hari Raya.





5.2 KELANTAN

Bagi kutipan zakat fitrah untuk tahun 2015 Majlis Agama Islam Negeri Kelantan(MAIK) telah :

a. Menetapkan bayaran sebanyak Rm 7.00.

b.Melantik 640 orang amil iaitu daripada kalangan imam masjid mukim, pegawai-pegawai agama di kem tentera, balai polis dan di pusat tahanan.

c. Bayaran boleh dibuat melalui institusi bank yang telah dilantik iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, Rhb , Am Bank , Malayan Banking, Bank Rakyat, Affin Islamic Bank, dan juga Stantard Chartered.

5.3 PAHANG

Bagi kutipan zakat fitrah untuk tahun 2015, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang(MUIP) telah :

a.Menetapkan bayaran sebanyak Rm 7.00.

b. 945 amil telah dilantik.





KEBERKESANAN KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT FITRAH :

1. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang(MUIP)  telah :

a.memberikan bantuan hari raya kepada asnaf fakir dan miskin sebanyak Rm 3,466,250.00 daripada senarai yang dipilih oleh amil fitrah.
b.memberikan bantuan kepada penerima bantuan bulanan sebanyak Rm 1,268,000.00.
c.memberikan bantuan kepada golongan muallaf sebanyak Rm 2,452,550.00.
d. Rm 124,900.00 diberikan kepada saudara baru daerah pekan. Terdiri daripada Muallaf Asli,Muallaf selain Asli dan fakir miskin Asli.
e. Sejumlah Rm 122,400.00 Dermasiswa yang kemudiannya diagihkan kepada 51 orang pelajar PETAMA.(seorang menerima Rm 2,400).
f. Seramai 15 orang pelajar lanjutan dan 35 pelajar persediaan menerima bantuan. Jumlah keseluruhan ialah Rm 16,600. Antaranya ialah duit poket Rm 200.00 seorang dan kain pasang bagi lelaki dan perempuan.


2. Majlis Agama Islam Negeri Johor telah :

a.Memberi bantuan sara hidup bulanan sebanyak Rm 800.00 kepada keluarga yang memerlukan melalui Bahagian Ukhuwah(saudara kita).
b.Mengadakan Program Belanja Baju Raya 2015.
            i.1000 orang anak-anak asnaf mendapat baju raya dan keperluan lain bernilai
              Rm 200.00 bagi setiap orang.
            ii. 53,000 orang  asnaf menerima bantuan hari raya.
c. 59 orang pelajar kelahiran johor  ditaja tiket penerbangan ke Jordan dan Mesir serta diberi hadiah saguhati, sebagai persiapan sebelum berangkat untuk melanjutkan pelajaran mereka.
d. 80 orang anak-anak asnaf daerah Pontian diberikan baju raya.




3.Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) telah :

a.Memberi sumbangan cek sebanyak Rm 1 Juta kepada Menteri Besar Kelantan untuk Yayasan Islam Kelantan(YIK).
b. 11 orang mangsa banjir menerima kunci rumah iaitu 3 orang dari Jajahan Machang, 2 orang dari Jajahan Kota Bharu, seorang dari Jajahan Tumpat dan 5 orang dari Jajahan Kuala Krai.
c. Jumlah kutipan zakat semasa sehingga 10/7/2015 ialah Rm 100,954,116.17 manakala jumlah agihan zakat semasa ialah Rm 83,349,677.23.


            Pemberian zakat dan agihannya berdasarkan kutipan maklumat daripada berita rasmi terkini tahun 2015 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama bagi setiap negeri menunjukkan pengagihan yang berkesan. Golongan yang berhak mendapat hak yang sepatutnya.




6.0 KESIMPULAN

          Secara keseluruannya kita dapat melihat kaedah pembayaran dan bentuk pembayaran zakat fitrah di negara kita, Malaysia. Setiap negeri mempunyai kadarnya masing-masing yang ditetapkan berdasarkan kiraan yang berpandukan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syarak.

            Pembayaran zakat fitrah di negara kita adalah bentuk wang dan diakadkan sebagai menggantikan makanan kerana kita adalah mazhab syafii, namun dalam soal pembayaran zakat, fatwa-fatwa telah dikeluarkan sesuai dengan keperluan maslahat masyarakat islam di Malaysia secara keseluruhannya.

            Kutipan zakat fitrah akan diagihkan kepada 8 golongan asnaf seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Sebagai tambahan, sebagai umat islam, bagi yang mencukupi syarat2nya kita perlulah melaksanakan kewajipan kita. Seterusnya, sekiranya kita mengetahui terdapat golongan asnaf di mukim kita atau di tempat yang tertentu di negara kita, maka kita disarankan melaporkannya kepada pihak Majlis Agama negeri tersebut agar bantuan zakat fitrah dapat disalurkan kepada mereka.

            Akhir sekali, setiap pembahagian zakat fitrah dicadangkan agar dikeluarkan sebagai berita rasmi melalui laman sesawang Majlis Agama negeri masing-masing agar masyarakat dapat melihat,menilai dan memberi cadangan yang relevan bagi meningkatkan keberkesanan kutipan dan agihan zakat, agar mereka yang bertanggungjawab dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan mereka yang wajib menerima zakat fitrah, menerimanya sesuai dengan hak mereka seperti yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.




RUJUKAN :

1. Abdul Hadi Awang.(2013), Fiqh Siasah Khulafa Ar-Rasyidin Amirul Mukminin Umar ibn AlKhatab r.a.. Terengganu : MDQ.

2. Ibnu Qasim Al-Ghazi.(2013), Fathul Qarib Al-Mujib fi Syarhi Alfaz al-Taqribi. Selangor : Al-Hidayah..

3. Imam al-Bukhari.(2013), Mukhtasar Sahih al-Bukhari. Selangor : Pustaka al-Ehsan.

4. Abdullah.(2009), Panduan Menyempurnakan Zakat. Johor Bahru : Jahabersa.

5. Yusuf al-Qaradawi.(2014), The Legitimacy of Paying Zakat al-Fitr in Cash. Dimuat turun pada 1 Julai 2015 daripada

6. Jakim.(1989), Pembayaran Zakat Fitrah Dengan Wang. Dimuat turun pada 3 Julai 2015 daripada

7. Jakim.(2003), Penentuan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia. Dimuat turun pada 3 Julai 2015 daripada

8. MAINJ.(2015), Pengumumam Zakat Fitrah 1436 H/ 2015 M. Dimuat turun pada 4 Julai 2015 daripada


9. MAIK.(2015), MAIK Lantik 640 Amil Kutip Zakat Tahun Ini. Dimuat turun pada 5 Julai 2015 daripada

10. MUIP.(2015). Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1436 H/ 2015 M. Dimuat turun pada 5 Julai 2015 daripada

11. MAINJ.(2015), MAINJ Ziarah Keluarga yang Menjadi Viral di Media Sosial. Dimuat turun pada 6 Julai 2015 daripada

12.MAINJ.(2015), 1000 Orang Anak-anak Asnaf diraikan dalam Program Belanja Baju Raya MAINJ 2015. Dimuat turun pada 6 Julai 2015 daripada

13. MAINJ.(2015). 59 Bakal Mahasiswa Johor ke Mesir dan Jordan Diraikan. Dimuat turun pada 9 Julai 2015 daripada

14. MAIK.(2015), Program Solat Jumaat, Pengurniaan Sumbangan Tahunan Pengurusan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Penyerahan Kunci Rumah MAIK kepada Mangsa Banjir di Jajahan Machang oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.  Dimuat turun pada 9 Julai 2015 daripada




15. MAIK.(2015), Jumlah Kutipan dan Agihan Zakat. Dimuat turun ada 11 Julai 2015 daripada

16. MUIP.(2015), Bantuan Zakat Sempena Ramadhan 1436 H/ 2015 M . Dimuat turun pada 10 Julai 2015 daripada


















Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.