Makanan Yang Halal Lagi Baik

by August 09, 2015 0 comments

     Setiap dari kita memerlukan makanan untuk terus hidup. Itulah yang telah ditetapkan bahawa manusia yang tidak makan buat suatu masa tertentu akan mati kelaparan. Makanan dan minuman yang baik merupakan keperluan jasmani kita agar dapat berada dalam keadaan yang sihat. Sebagai umat islam, makanan dan minuman mempunyai nilai spiritual. Kita tidak hanya melihat makanan itu dari aspek keperluan jasmani semata-mata, bahkan apa yang dimakan itu, mempengaruhi ruhani dan jasmani kita, kedua-duanya sekaligus.

      Ringkasnya, makanan yang berkhasiat memberi manfaat kepada tubuh badan dan sebaliknya. Dalam al-Quran juga menyuruh kita mencari makanan yang halal lagi baik. Dari aspek spiritual pula, kita akan menyentuh sebagai permulaan, iaitu aspek halal dan haram. Ada ketika, makanan itu berkhasiat, tetapi diperolehi dengan cara yang haram seperti mencuri, maka makanan itu sungguhpun berkhasiat untuk badan, tetapi ia bukan lagi makanan yang baik.

Halal lagi baik. Sekiranya makanan itu berkhasiat, baik untuk tubuh badan, namun diperolehi melalui sumber yang haram, maka ianya akan merosakkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Hal ini dapat dilihat  dalam Hadis 40 Imam Nawawi iaitu :

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). (Surah al-Mukminun 23:51) Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).(Surah al-Baqarah 2:172) Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?"          

(Riwayat Ahmad no. 8348, Muslim no. 1015 dan al-Tirmizi no. 2922)

          Disini kita dapat lihat, bahawa seseorang yang mengambil makanan dari sumber yang haram, walau pun bermanfaat kepada jasmani, tetapi telah merosakkan hubungannya dengan Allah s.w.t.  Bukan saja sumber yang halal dan makanan yang baik, bahkan cara makanan itu dimakan pun terdapat pelbagai aspek spiritual yang dapat mendekatkan insan itu dengan Penciptanya. Contohnya ialah tidak makan sendirian dan makan makan dengan kawan-kawan. Dalam kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi, ada menyatakan bahawa Baginda s.a.w bersabda, "Berkumpullah ketika makan dan sebutlah nama Allah, nescaya kamu akan diberkati pada makanan itu". Dalam kitab Al-Azkar juga, Imam Nawawi memetik petikan dari Kitab al-Ihya karangan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali telah mengatakan bahawa, "Di antara adab makan adalah bercakap ketika menikmati makanan dengan pembicaraan yang baik dan berbincang tentang kisah orang-orang soleh dan sebagainya". Cara makan juga dititikberatkan. Contohnya, Nabi Muhammad s.a.w melihat seseorang makan dengan tangan kiri, lalu ditegur oleh Baginda s.a.w. Baginda berkata, "Makanlah dengan tangan kananmu!".

         Sebelum pergi lebih dalam, saya ingin memetik sebuah hadis dari Kitab Riyadus Solihin(Taman Orang-Orang Soleh), karangan Imam Nawawi iaitu :

             Dari Jabir r.a. berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang masuk rumahnya kemudian dia berzikir kepada Allah Ta'ala sewaktu masuk dan sewaktu makan, maka syaitan berkata(kepada temannya):"Kamu tidak boleh ikut masuk dan tidak boleh ikut makan. " Dan apabila seseorang tidak berzikir kepada Allah Ta'ala sewaktu makan maka syaitan berkata:"Kamu boleh ikut masuk rumah dan boleh ikut makan". (Hadis Riwayat Muslim).


        Sebagai seorang penganut agama islam. Kita perlu melihat dan memahami perkara ini dalam aspek yang lebih mendalam. Antara cara saya membawa para pembaca ialah dengan memberikan  contoh kisah Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat baginda dengan ringkas. Dalam soal takwa, takwa juga diertikan dengan sifat berhati-hati seperti yang dinyatakan dalam kitab Fadhail Amal, karangan Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullahi' alaih. Berikut merupakan dua kisah yang dinukilkan daripada kitab ini.


1. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w tidak dapat tidur sepanjang malam dan asyik membolak-balikkan lambungnya sahaja. Salah seorang isteri baginda s.a.w telah bertanya,"Ya Rasulullah, mengapa tuan tidak dapat tidur?" Baginda s.a.w menjawab,"Ada sebiji tamar terletak di satu tempat, saya telah mengambil tamar itu lalu memakannya supaya tidak membazir. Sekarang saya bimbang mungkin tamar itu ialah tamar sedekah".

Penjelasan : Kemungkinan besar tamar itu ialah kepunyaan Rasulullah s.a.w. sendiri. Oleh kerana harta sedekah pun dihantar ke rumah baginda s.a.w, maka kesangsian itu menyebabkan baginda tidak dapat tidur kerana bimbang tamar itu ialah tamar sedekah.

Info tambahan : Para pembaca boleh mencari bacaan tambahan berkenaan pemberian sedekah pada Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya, dan berkenaan Nabi Muhammad s.a.w tidak menerima sedekah untuk dirinya.


2. Pada suatu ketika Hazrat Umar r.a. telah meminum susu dan beliau mendapati rasanya lain daripada biasa. Beliau bertanya kepada orang yang membawa susu itu, "Bagaimana susu ini diperoleh?". Orang itu menjawab, "Di padang pasir sana ada sekumpulan unta zakat sedang digembala dan saya telah pergi ke sana. Pengembala-pengembala itu telah memerah susu unta-unta tersebut dan sebahagian telah diberikan kepada saya." Hazat Umar r.a. telah memasukkah jarinya ke dalam mulut dan memuntah kesemua susu itu.

Penjelasan : Para sahabat sentiasa berfikir supaya bahagian-bahagian anggota badan mereka tida terbentuk dari sumber yang syubhah.


        Kita dapat lihat dengan jelas hal-hal yang berkaitan dengan soal-soal  pemakanan. Makanan yang halal lagi baik, mempengaruhi ruh dan jasad kita. Gabungan ruh dan jasad inilah yang membentuk diri kita, iaitu insan. Manusia ialah gabungan antara ruh dan jasad. Itulah hakikat manusia. Maka, apa yang kita makan, daripada mana sumber makanan itu, cara kita makan, semuanya mempengaruhi kita secara keseluruhannya sebagai seorang manusia.

       Seterusnya kita pergi pada topik susu dan bayi. Para ulama telah membahaskan dengan terperinci soal susu bayi ini. Ringkasnya hak bayi ialah mendapat susu dari ibu selama dua tahun. Jika lebih, adalah harus, melihat pada tumbesaran bayi dan keperluannya. Dari aspek ini, si ibu lebih mengetahui berkenaan keperluan anaknya kepada susu tersebut. Jika ibu mengalami masalah memberikan susu, maka alternatif lain ialah mencari ibu susuan, iaitu wanita lain yang boleh menyusukan bayi tersebut. Ataupun dengan meminum susu-susu yang telah dijual dipasaran. Susu-susu formula yang dijual di pasaran, yang telah dibuktikan secara saintifik, mengandungi khasiat dan zat untuk tumbesaran fizikal bayi, boleh saja digunakan.  

Susu formula digunakan bagi ibu yang tidak mempunyai susu yang cukup untuk diberikan pada bayinya, atau si ibu bekerja yang menyukarkannya memberikan susu pada anaknya ataupun masalah-masalah lain, penggunaannya adalah harus. Setelah dibuktikan secara saintifik khasiat penggunaan susu formula sebagai alternatif, makan penggunaannya adalah harus.

Manakala susu ibu itu, khasiatnya adalah tiada bandingnya, tidak dapat ditandingi oleh susu formula. Oleh itu dalam al-Quran telah menyatakan perlunya ibu menyusukan bayinya jika mempunyai kemampuan untuk melakukan demikian. Saya akhiri penulisan ini dengan ayat al-Quran yang berikut.


2:233



Maksudnya :Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
(Surah al-Baqarah 2 : Ayat 233)


    Semoga penulisan ringkas ini memberi manfaat kepada para pembaca. Amiin.













Sumber Rujukan :

1. Imam Nawawi.(2011). Riyad as-Solihin min Kalam al-Mursalin. Kuala Lumpur : Pustaka al-Shafa.

2.Imam Nawawi,(2013). Al-Azkar, Al-Muntakhabah min Kalami Sayyidil-Abrar. Selangor : Al-Hidayah.

3. Imam Nawawi.(t.t). Arba'in An-Nawawi.

4. Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullahi' alaih.(2013). Kitab Fadhail Amal. Selangor : Al-Hidayah.

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.