Lawatan Kerja Sekolah Massa ke Klasika Media - Akademi Jawi Malaysia

by June 03, 2013 0 comments
Tanggal 2 Mei 2013, pihak Sekolah Massa bersama 3 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak dan Kuantan telah mengadakan lawatan kerja ke Akademi Jawi Malaysia yang bertempat di Bangi, Selangor. Pihak Sekolah Massa diwakili oleh saudara Mohd Arif Syafiq Ridhwan Pang dan Ahmad Afif Mokhtari Yasim. Manakala, pelajar UIAM Gombak yang terlibat dalam lawatan ini ialah saudari Sarah Syafiqah Shaifuddin dan Hanan 'Aqilah Mohamed Yusoff. Saudari Sarah Syazwani Shaifuddin merupakan satu-satunya pelajar UIAM Kuantan yang turut serta di dalam lawatan ke Akademi Jawi Malaysia.

Pertemuan yang diaturkan oleh para pelajar UIAM yang turut serta dalam lawatan ini adalah hasil daripada perbincangan di status 'Facebook' berkenaan adab mencari penghidupan yang dibincangkan di dalam karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang bertajuk “Kitab Adab al-Kasb wa al-Ma 'ash” (The Book of the Properties of Earning and Living) dan karya karangan al-Imam Muhammad Ibn al-Hasan al-Shaybani yang bertajuk “Kitab al- Kasb” (The Book of Earning a Livelihood).Kedua-dua buku ini diterjemahkan oleh Dr. Adi Setia ke dalam bahasa Inggeris sebagai salah satu usaha untuk menyediakan kerangka faham ekonomi Ihsani (Islamic Gift Economy).

 
Wakil Sekolah Massa dan pelajar UIAM bersama pihak Klasika Media 



Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mempelajari selok-belok pengurusan entiti perniagaan yang dibina berasaskan faham ekonomi Islam yang dirangka melalui Pandangan Alam Islam ('worldview') yang digagaskan oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Selain itu, lawatan ini juga diadakan untuk menjalinkan ukhwah di antara pihak Sekolah Massa bersama pihak Klasika Media serta berkongsi pandangan tentang hala tuju pembinaan kerjaya masa depan generasi muda dalam menanggapi cabaran dan keperluan semasa.

Akademi Jawi Malaysia adalah sebuah institut yang dibangunkan oleh pihak syarikat Klasika Media untuk memulakan perencanaan mengembalikan semula kegemilangan tulisan Jawi sebagai tulisan utama yang mendasari perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban Melayu Nusantara. Akademi Jawi Malaysia memberi tumpuan kepada pengajian ilmiah Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu untuk memperkenal dan memartabatkan semula pusaka keilmuwan di Alam Melayu. Akademi Jawi Malaysia yang memulakan operasinya pada tahun 2011 menumpukan kepada penyelidikan dan penerbitan bahan-bahan lama khususnya dalam bidang Jawi.

Antara bidang penyelidikan utama yang dijalankan ialah berkenaan pandangan alam Islam, kemahiran dan kefasihan Jawi, pemahaman karya-karya Jawi dan khat serta kesenian Jawi. Akademi Jawi Malaysia berperanan aktif dalam menghasilkan transliterasi karya Jawi ke Rumi, menerbitkan buku elektronik hasil transliterasi, menganjurkan seminar dan pengajian ilmiah Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu serta menawarkan perkhidmatan pendigital bahan seperti buku, nadir dan manuskrip.
Pertemuan pertama pihak Sekolah Massa bersama Ketua Pengarah Klasika Media, Tuan Muhammad Syukri Rosli di pejabat Klasika Media - Akademi Jawi Malaysia disambut mesra bersama staf-staf kerja Klasika Media yang lain. Sesi pertama lawatan dimulakan dengan perkenalan di antara pihak Sekolah Massa dan para pelajar UIAM bersama pihak pengurusan dan staf Klasika Media. Di dalam sesi ini, Tuan Syukri memulakan perbincangan dengan penerangan tentang sejarah penubuhan Klasika Media yang diinspirasikan oleh beliau hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakan yang lain yang turut mempunyai cita-cita yang sama dalam membina landasan entiti perniagaan yang berasaskan faham ekonomi Islam serta kesedaran untuk mengangkat martabat tulisan Jawi pada masa kini.

Aspirasi yang bermula daripada faham dan kesedaran tentang keperluan membina kerangka ekonomi Islam yang diusahakan atas gagasan Ekonomi Ihsani (Islamic Gift Economy) yang giat diusahakan oleh Dr. Adi Setia dicerminkan ke dalam usaha praktikal di ruang sistem semasa melalui penubuhan entiti perniagaan ini. Dr. Adi Setia juga merupakan salah seorang anak murid kepada Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang giat mempelopori wacana ekonomi Islam berlandaskan kerangka Pandangan Alam Islam dalam mendepani cabaran sistem ekonomi semasa yang bersifat memusnah. 

Perbincangan berkenaan pembinaan kerjaya masa depan generasi muda


Perbincangan pertama di antara pihak Sekolah Massa bersama Klasika Media berkisar tentang pembinaan kerjaya masa depan generasi muda dalam mengharungi cabaran semasa dari sudut ekonomi, sosial dan politik. Persoalan yang ditimbulkan adalah berkenaan sejauh mana persiapan yang harus dilakukan oleh generasi muda dalam mempertahankan kerangka faham alam Islam yang dihayati dan difahami untuk berada di dalam dunia kerjaya yang semestinya merupakan salah satu mekanisma hegemoni paling utama dalam meneruskan kemandirian sistem semasa yang bertentangan dari sudut pandang alamnya bahkan telah mendatangkan begitu banyak kerosakan di muka bumi.

Sistem semasa yang berkiblatkan material semata-mata serta mengutamakan keperluan nafsu yang tiada had antara punca kemusnahan dan kerosakan pelbagai institusi dan tatacara hidup masyarakat yang dilandaskan pada kehidupan beragama. Kepincangan institusi keluarga yang lahir daripada kurangnya komunikasi dan sentuhan di antara ibubapa bersama anaknya yang terhasil daripada kurangnya waktu untuk bersama disebabkan kesibukan dan keutamaan paksaan yang harus diberi kepada kerjaya, merupakan satu manifestasi mudah tentang bagaimana sistem semasa secara sistematik menerobos segala institusi-institusi penting yang menjadi asas pembinaan kehidupan beragama secara bermasyarakat.

Keutamaan paksaan terhadap kerjaya bukan terjadi dengan mudah, ianya didorong oleh hal yang bersifat material yang telah dibina keperluan-keperluan hidup semasa untuk dipenuhi dalam kadar yang begitu tinggi. Kenaikan harga barang, kos rumah, kereta dan pinjaman pendidikan antara unsur yang mengikat setiap graduan yang mahu membina dan melayari kehidupan baru di dalam masyarakat. Keperluan yang tidak terelakkan ini di samping desakan hidup semasa yang mencengkam institusi kekeluargaan, mewujudkan satu lingkaran keabadian kepada pengukuhan sistem yang dibina yang terus-menerus menafi dan mencabut akar hidup bertawhid daripada kehidupan dunia.

Seolah-olahnya, pejuang Islam yang ada seharusnya juga nanti apabila tiba fasa membina kehidupan dan mencukupkan keperluan hidup material, wajib terserap ke dalam sistem arus perdana yang mengamalkan dualisme serta mengangkat faham humanisme yang akan membentuk keperluan kepada material berlebihan sehingga tertutup mata sedar kepada deria kemanusiaan dan hidup bertuhan. Semua ini akan berlaku tanpa disedari, hatta kepada yang memakai gelaran sebagai pejuang Islam.

Hakikatnya, mereka dan kita akan turut sama mengukuhkan sistem yang sedia ada walau warna baju apa sekalipun yang dipakai selagi mana asas mencari penghidupan kita disandarkan kepada komponen dan elemen sistem semasa di peringkat asas lagi. Justeru, hasil perbincangan panjang lebar berkenaan hal ini dengan pihak Klasika Media, seharusnya di dalam faham pandang alam Islam, individu-individu yang tersedar dan tercerah harus berjihad di dalam menyediakan alternatif kepada sistem baharu.

Penyediaan alternatif kepada sistem yang sedia ada bukanlah suatu tugas yang kecil, bahkan gagasan ini merupakan satu harapan yang sangat besar kerana sistem yang ada sekarang adalah sebuah sistem yang telah lama mengakar di dalam masyarakat dan strukturnya yang kompleks dan kreatif menyebabkan hampir mustahil untuk sebuah pembinaan sistem alternatif yang baru tidak mempunyai kebergantungan kepada sistem yang sedia ada. Namun, dengan panduan daripada ilmuwan yang sejati yang telah lama merenungi dan merencana sebuah penyelesaian kepada permasalahan kehidupan masyarakat semasa ke arah yang lebih harmoni dan sejahtera, jalan ke arahnya secara teoretikal sudah utuh untuk dijadikan peta pembinaan.

Di pihak Klasika Media, mereka membina model perniagaan mereka berasaskan prinsip-prinsip serta faham ilmu dalam pandang alam Islam yang dipandu oleh dua orang guru utama iaitu Dr. Farid Shahran serta Dr. Adi Setia. Membina sistem dan cara bermuamalat yang tepat pada kerangka pandang alam Islam harus bermula dari sekecil-kecil perkara lagi seperti penetapan kepada jenis perniagaan yang bagaimana, produk yang ditawarkan harus tidak bersifat memanipulasi, amal kerja di pejabat yang tidak bersifat menindas serta urusan pembinaan syarikat yang tidak bermula dengan modal pinjaman daripada institusi perbankan konvensional yang merupakan salah satu alat kemandirian sistem semasa.

Meletakkan tawaran produk yang bukan sahaja bertujuan untuk mengaut keuntungan, tetapi dalam masa yang sama bersifat mendidik dan dipakejkan bersama kepada suatu harapan dan cita-cita murni mengembalikan kesejahteraan faham masyarakat kepada pandang alam di dunia ini, merupakan satu contoh paling penting yang menjadi permulaan meletakkan asas yang betul hatta di peringkat permulaan yang melibatkan visi dan misi. Bahkan inilah merupakan keperluan utama yang perlu dijadikan panduan untuk setiap Muslim dengan mencerminkan adab dalam mencari penghidupan yang meletakkan keadilan kepada setiap sesuatu hatta di peringkat yang paling kecil dan asas.

Ini cerminan kejernihan dan keutuhan kerangka faham pandang alam Islam yang sudah sedia ada di pihak Klasika Media yang sebelum ini tidak disedari dan tidak mampu diamalkan bahkan dianggap remeh oleh kebanyakan profesional dan usahawan Muslim. Menghayati nilai keadilan, hidup bertawhid akan menggerak daya diri kita untuk membina kesatuan kehidupan agar sentiasa selaras dengan makna dan tujuan hidup beragama yang nikmat serta hasilnya adalah dalam bentuk kesejahteraan berkehidupan daripada peringkat individu sehingga masyarakat.

Apabila sesebuah perniagaan yang dimulakan dengan mengambil remeh jenis produk yang ditawarkan dan digunakan dalam melakukan urus niaga, maka di situ permulaan kepada kemandirian sistem semasa yang bersifat memusnah ini untuk terus dibina. Seorang Muslim yang sejati serta punya cerminan aqal dan hati yang disandarkan kepada faham pandang alam Islam yang jernih, sangat bersifat sensitif dalam pemilihan produk yang ingin dijual atas kesedaran berkenaan tanggungjawab sebagai Khalifah di muka bumi yang diamanahkan Allah kepada kita. Seharusnya urus tadbir kita membawa kepada kesejahteraan dan keharmonian dunia tanpa melakukan kerosakan terhadap amanah yang Allah berikan.


 
Ketua Pengarah Klasika Media, Tuan Syukri memberi penerangan tentang sejarah Jawi



Pihak Klasika Media juga menjelaskan kepada kami, penawaran produk mereka yang berasaskan Jawi, merupakan satu cita-cita panjang untuk membina semula jambatan yang dapat menghubungkan kembali kehidupan semasa dengan khazanah keilmuwan dan peradaban Melayu lama yang tulisan cerminan peradabannya adalah Jawi. Peradaban Melayu yang terdahulu mempunyai sebegitu banyak khazanah keilmuwan yang tinggi dan tidak ternilai harga sumbangannya kepada usaha membina kemajuan pemikiran dan Islam sebagai cara hidup yang sebenar sehingga mampu menjawab pelbagai persoalan semasa yang kompleks hatta yang bersifat falsafah untuk membina kehidupan bertunjangkan Tawhid.

Namun, realiti kini menunjukkan segala khazanah yang ada ini sudah tertimbus jauh di dalam sejarah sebagai bahan yang tidak lagi mampu difahami dan dikutip hikmahnya walau dari bangsa sendiri. Hal ini berlaku kerana sindrom 'buta Jawi' yang telah melanda kebanyakan masyarakat kita yang bergelar Melayu-Islam. Kadar celik Jawi yang rendah di kalangan masyarakat kita menyebabkan akses kepada khazanah keilmuwan Melayu-Islam sebagai sebuah peradaban terhalang.

Lalu, kefahaman murni yang seharusnya dimiliki oleh bangsa yang menduduki rantau ini dalam melaksanakan urus tadbir membina dan mencorakkan kembali peradaban Islam tidak dapat dilaksanakan bahkan kepincangan pemikiran dan doktrin yang bersifat asing mula meresap ke dalam gaya fikir bangsa di rantau ini. Kesan emperialisme sebuah tamadun besar menghilangkan jati diri yang seharusnya ada dan menjadi pakaian kepada bangsa rantau Nusantara ini yang sepatutnya khazanah warisan kegemilangan Islam terdahulu menjadi bekalan dan benteng menangkis penjajahan pemikiran Barat.

Membina akses khazanah keilmuwan Melayu lama kepada tamadun kini tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata. Ia usaha besar dan panjang yang sedang dipikul oleh Akademi Jawi Malaysia. Usaha mentransliterasi bahan-bahan Jawi ke dalam Rumi, menggiatkan usaha membina kesedaran tentang keperluan menguasai Jawi sebagai tulisan yang berupaya mengembalikan budaya ilmu dan peradaban tinggi Nusantara. Antara perkara yang ditekankan oleh pihak Klasika Media apabila berbicara soal kekuatan tulisan Jawi, mereka mengatakan bahawa kekuatan tulisan Jawi bukan semata-mata pada semangat kebangsaannya, bahkan sebenarnya pada khazanah tulisan ini terkandung tradisi keilmuwan yang besar dan hebat.

Justeru, tidak timbul soal kerelevanan tulisan Jawi ini untuk dikembalikan semula di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Bahkan, manfaat khazanah ilmu yang ditulis dalam Jawi yang dimiliki oleh peradaban terdahulu mampu menjadi asas yang kukuh untuk membina sebuah tamadun yang dapat bermandiri daripada kebergantungan kepada sistem semasa yang tidak membawa kepada jalan kesejahteraan.Begitu juga dari sudut pandangan alam Islam. Kejernihan pandangan alam Islam akan lebih jelas dikuasai dengan mempunyai tulisan Jawi sebagai asasnya. Kandungan perbahasan-perbahasan penting yang dinukilkan oleh ulama'-ulama' Nusantara suatu ketika dahulu hanya mampu dibaca dan difahami dengan menguasai tulisan Jawi.

Pada tulisan akan membawa makna yang akan menghubungkan suatu perkara kepada makna asalinya. Kegagalan menguasai dan memahami penulisan yang menjadi wadah keilmuwan akan merosakkan dan menggagalkan usaha memahami sesuatu penyampaian kepada makna sebenar dan hakikat yang ingin disampaikan. Cerminan kepada faham makna yang tulen ini hanya akan mampu difahami apabila kita mampu menguasai 'kenderaan' yang menghubungkan kita dari suatu makna kepada makna yang lain. 'Kenderaan' itu adalah tulisan. Mengambil mudah tentang penyampaian makna yang sebenar akan menjadi racun kepada pemikiran dan penaakulan yang akan kita lakukan selepas ini di dalam kehidupan seharian hasil daripada kerangka salah yang dibina melalui keciciran makna dalam membentuk fahamnya.

Mengikut Tuan Syukri, yang dimaksudkan dengan menguasai Jawi itu adalah fasih Jawi melalui kemahiran menulis dan membacanya dan bukan sekadar menghidupkan jalan. Oleh itu, di pihak Klasika Media, mereka menumpukan usaha kepada dua bentuk ini sebagai langkah mempromosikan kesedaran kepada masyarakat tentang kemahiran Jawi. Selain diberi penerangan tentang kepentingan menguasai dan mengangkat kembali martabat Jawi, kami juga diceritakan tentang sejarah perkembangan Jawi yang menjadikan mereka begitu optimis dalam mengembalikan semula kegemilangan Jawi di masa kini.

Mengikut penerangan yang diberikan, usia tulisan Jawi di zaman kegemilangannya dahulu adalah sekitar 1000 tahun. Kelahiran yang bermula sekitar 1000 atau 1303 Masihi sehingga kepada kelahiran tulisan rumi di rantau ini sekitar tahun 1900 Masihi. Jika dilakukan perbandingan, usia tulisan Rumi adalah jauh lebih pendek berbanding tulisan Jawi iaitu hanya berusia lingkungan 100 tahun sahaja sehingga kini. Hal ini bermakna, Jawi sebagai tulisan utama penduduk rantau ini terutama sebagai bahasa ilmu sudah jauh lama meresap dan mengakar kuat dan teguh di dalam membentuk citra dan jati diri sebagai seorang warga Nusantara. Sepatutnya, sejarah yang panjang yang pernah membentuk wajah dan jati diri bangsa ini tidak mudah untuk dilunturkan dan dicabut citranya sehingga menghilangkan identiti pemiliknya dalam masa yang singkat.

Atas keyakinan ini, pihak Klasika Media optimis, Jawi sebagai tulisan kepada bahasa Melayu mempunyai potensi besar untuk diterima dan sangat relevan dengan masyarakat di rantau ini sehingga kini kerana sejarahnya yang sangat dekat di hati dan citra bangsa. Melupakannya dan menolak kerelevanan Jawi sebagai satu khazanah yang dianggap kolot dan hanya dihayati seperti barangan antik adalah satu manifestasi kejahilan dan kezaliman tidak berperikemanusiaan kepada sejarah kelahiran yang menjadi ibu kepada berdirinya maruah bangsa rantau ini.

Bahkan, kami diterangkan oleh pihak Klasika Media bahawa khazanah tamadun ilmu yang dimiliki di dalam penulisan Jawi bukan merupakan perbahasan di peringkat rendah bahkan kebanyakannya menyantuni perbahasan tinggi yang merupakan cerminan keunggulan pemikiran sesuatu bangsa. Di dalam tempoh 1000 tahun itu, Jawi menjadi tulisan kepada penghasilan karya-karya besar yang membahaskan falsafah dan soal metafizik. Ini merupakan satu bukti kepada kemampuan tulisan Jawi diangkat sebagai bahasa ilmu yang potensinya jauh lebih hebat dan sudah terbukti kemampuannya.

Soalnya kini, kejahilan kita dalam memahami dan mengenali sejarah bangsa yang menyebabkan kita meruntuhkan segala tradisi lama yang kononnya dianggap tidak relevan serta kolot sedangkan kitalah yang cetek pengetahuannya dan dangkal kefahamannya dalam menerima prestij tamadun Barat semasa sehingga mewarnai gaya fikir kita. Tanpa sedar, kita sebenarnya sedang membunuh diri sendiri.Jawi sebagai warisan paling berharga dan mahal yang diwarisi oleh cendekiawan-cendekiawan hebat peradaban kita suatu masa dulu sebagai pedoman di masa depan, tidak mampu kita tanggapi dan fahami rantai khazanah tradisi keilmuwan agung yang pernah kita miliki. Bahkan dipandang rendah oleh bangsa sendiri. Kejahilan ini suatu lambang kemunduran bangsa yang terjajah.




Wakil Sekolah Massa bersama Ketua Pengarah Klasika Media


Akhir sekali, topik perbincangan yang menutup sesi lawatan kami ke Akademi Jawi Malaysia adalah berkenaan falsafah perniagaan yang dijalankan oleh pihak Klasika Media dalam menyediakan model perniagaan mengikut kerangka faham pandang alam Islam. Mengikut Ketua Pengarahnya, falsafah perniagaan yang dijalankan adalah berlandas kepada konsep 'adil dan ihsan. Konsep 'adil dan ihsan ini menjadi prinsip asas di dalam menjalankan transaksi perniagaan yang melibatkan pertukaran barangan.

Di dalam perniagaan yang dijalankan, keadilan dan ihsan diaplikasikan dalam menawarkan produk kepada pelanggan. Lingkaran transaksi yang melibatkan pertukaran wang ringgit dan barangan, pihak syarikat mengamalkan nilai ihsan dengan memberi 'khidmat' yang terbaik dan lebih daripada yang ditetapkan dalam memenuhi kehendak pelanggan. Ini selaras dengan konsep ihsan yang mendorong kita untuk bekerja dan beramal dengan sebaik mungkin sehingga kita mampu merasakan keberadaan dan kewujudan Allah di dalam setiap perkara yang kita lakukan. Bersikap sebegini adalah asas kepada Mukmin yang berjaya.

Manakala, dalam bersifat 'adil, mereka mengamalkan pelaksanaan timbangan yang mencukupi di dalam transaksi dan juga komponen-komponen lain perniagaan termasuk yang tidak bersifat tampak seperti yang dihuraikan pada awal perbincangan berkenaan menetapkan hala tuju dan produk yang ditawarkan dalam perniagaan. Bahkan, di dalam melaksanakan urusan timbangan, mereka juga menggunakan sekali prinsip ihsan iaitu dengan memberi lebihan daripada kepada apa yang dibayar. Ini amalan persaudaraan dan semangat tolong-menolong yang menjadi asas dalam pembentukan sistem ekonomi Islam.

Kerangka ekonomi semasa yang berpaksikan individu secara berlebihan tidak mempunyai elemen kebaikan sebegini atas prinsip utama mereka yang mengutamakan keuntungan maksima. Pemanduan nafsu dalam meletakkan kerangka ekonomi hari ini menimbulkan jurang kekayaan yang besar dan kezaliman serta penindasan dalam bentuk perangkap kemiskinan yang tidak berpenghujung lahir daripada asas ekonomi yang tidak mempunyai cerminan bertuhan dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan dunia. Ini berbeza dalam kerangka faham pandang alam Islam yang tujuan bermuamalat adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

Matlamat ini jelas terzahir di dalam syariat Islam yang meletakkan zakat sebagai satu kewajipan dan ia adalah salah satu rukun Islam. Konsep dosa pahala yang dikandung dalam agama menyebabkan manusia didorong melakukan kebaikan dengan penuh keikhlasan demi mencapai keredhaan Allah s.w.t dan bukan kerana mengharapkan pembalasan dan pujian manusia. Ini terserlah dalam konsep sedekah yang dianjurkan dalam Islam.

Perniagaan sebagai sebuah struktur institusi yang besar perlu disucikan melalui zakat dan sedekah sebagai mengimbangi dan meletakkan keadilan di dalam pengurusan duniawi yang neraca timbangan keadilan pada hakikatnya tidak mampu kita penuhi semua. Dengan iman, amalan-amalan tadi mampu meletakkan entiti perniagaan kita pada landasan yang betul dan murni. Kesannya adalah kepada individu itu sendiri serta masyarakat secara keseluruhannya tanpa mengurangkan atau mengambil hak pihak lain yang menjerumus kepada berlakunya kezaliman. Inilah indahnya konsep perniagaan yang dijalankan mengikut landasan faham pandangan alam Islam.


Mengakhiri pertemuan kami bersama pihak Klasika Media, kami diberikan pesanan-pesanan berharga selaku mahasiswa yang masih di peringkat pengajian dan persiapan bagaimana harus kami lakukan untuk menghadapi cabaran mendatang di dalam dunia realiti. Antaranya berkenaan tentang menggunakan peluang sebaik mungkin ketika berada di alam mahasiswa dengan menuntut ilmu sebanyak mungkin demi membina persiapan diri yang kukuh.

Tuan Syukri sekali lagi menerangkan tentang konsep dan adab dalam berguru yang beliau juga gunakan sebagai falsafah di dalam perniagaan yang dijalankan. Konsep itu adalah konsep 'khidmat' kepada guru. 'Khidmat' yang berasal daripada kata 'khadam' di dalam bahasa Arab adalah salah satu perkara penting untuk kita lakukan dalam mendapatkan ilmu daripada seorang guru. Hanya melalui 'khidmat' yang baik dari seorang murid kepada gurunya maka ilmu itu mampu sampai kepadanya yang membolehkannya mencapai makna makrifat sehingga membawa diri kepada pengenalan kepada makna ilmu dan Pemilik ilmu. Di kala itu, barulah ilmu itu mendatangkan manfaat yang besar kepada diri.

Kesimpulannya, lawatan ini merupakan satu lawatan yang sangat bermanfaat dan memberi pendedahan yang sebenar kepada pihak kami tentang bagaimana mahu mengamalkan faham pandang alam Islam dalam membina penghidupan. Tugas dan amanah sebagai mahasiswa dan penuntut ilmu amat besar, dan harus dilaksanakan sebaik mungkin demi membina kerangka faham yang jelas dan jernih sehingga diijazahkan nanti mampu turun ke lapangan sebenar masyarakat dalam membawa misi rahmatan lil 'alamin yang dapat mengeluarkan mereka daripada kebrobokan sistem semasa yang meruntuhkan makna kehidupan dan kemanusiaan kepada jalan hidup yang lebih sejahtera dan harmoni.

Sekian, terima kasih.


(Ahmad Afif Bin Ahmad Mokhtari Yasim)
Pengasas-Pengarah,
Sekolah Massa


Pemikirzaman

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.