Laporan Aktiviti Lawatan Sambil Belajar ke Sultans of Science

by June 04, 2013 0 comments
Pada 1 Jun 2013, iaitu hari Sabtu yang lepas, Sekolah Massa telah mengadakan lawatan ke pameran 'Sultans of Science' yang dianjurkan di Petrosains, KLCC. Tujuan lawatan ke sini adalah untuk mengambil pelajaran dan pendedahan berkenaan keagungan dan kehebatan sarjana-sarjana sains Islam yang memberi sumbangan yang amat besar kepada perkembangan dunia sains sehingga kini. Di pihak Sekolah Massa, pengalaman, pendedahan dan pelajaran yang dipelajari di sini merupakan satu langkah awal untuk Sekolah Massa mengutip maklumat dan melakukan kajian bagi merangka penyediaan metodologi serta pedagogi terbaik dalam menyampaikan ilmu sains kepada generasi muda.

Selari dengan gagasan Sekolah Massa yang ingin menyediakan alternatif baru kepada sistem pendidikan yang sedia ada untuk lebih menghargai potensi dan kemampuan setiap individu dalam memahami serta menguasai ilmu-ilmu asas yang menjadi kurikulum pengajian di dalam sistem pendidikan kebangsaan, maka lawatan sebegini adalah penting untuk mendapatkan idea-idea terbaik dalam menyediakan teknik pengajaran yang menarik serta dapat menggalakkan penerokaan potensi diri pelajar secara kendiri pada tahap maksimum atas kesedaran dan dorongan yang membina keyakinan dan kepercayaan akan kemampuan aqal serta kebolehan pelbagai yang dimiliki oleh setiap individu bernama pelajar terutama untuk mereka yang berada di alam persekolahan dan juga mereka yang ingin mencari gali kembali minat serta kecintaan mereka pada dunia ilmu yang mengujakan serta menarik untuk diterokai setelah minat dan kecintaan itu dimatikan dalam perlumbaan mengejar sijil peperiksaan yang menjadi nadi sistem pendidikan semasa.

Penyelidik Sekolah Massa, Saudara Harris Hanafi sedang memerhatikan Armada Laksamana Cheng Ho yang lima kali ganda lebih besar daripada kapal Portugis yang dibina 50 tahun kemudiannya.


Wabak ini telah membunuh ramai pelajar di Malaysia dalam usaha mengembangkan segala potensi yang mereka ada bagi menguasai sesuatu bidang ilmu. Kekangan polisi, masa, persekitaran dan pelbagai lagi faktor negatif yang menghalang wujudnya sebuah persekitaran yang memberangsangkan di dalam ruang lingkup pembelajaran bilik darjah telah menjadi igauan ngeri bagi mimpi anak-anak muda yang masih punya citra murni dalam memahami dunia.

Justeru itu, Sekolah Massa pada kali ini, di awal peringkat penubuhannya secara serius untuk berjalan ke hadapan merealisasikan impian yang berjangka panjang untuk menyantuni sistem semasa yang masih kuat mengakar, akan menghantar para penggerak dan penyelidik ke pelbagai tempat dan ceruk sama ada di bandar dan di pedalaman untuk mengutip kembali hikmah-hikmah pengajaran serta erti pendidikan yang dapat disusun kembali serta digunakan di dalam praktikaliti mengajar di dalam bilik darjah mahupun di rumah bagi mengembalikan sebuah persekitaran pembelajaran yang menghargai kemampuan setiap individu untuk menguasai serta memahami ilmu-ilmu asas yang menjadi bekalan untuk menyediakan warganegara yang dapat membantu menggerakkan pembangunan negara secara holistik.

4 Struktur utama kejuruteraan sistem pengurusan bandar yang dibangunkan al-Jazari


Kegagalan sistem pendidikan kita menyediakan kondisi sebegini merupakan satu ratapan kesedihan berpanjangan yang kesannya terpaksa ditanggung oleh generasi muda yang punya bakat serta keupayaan terpendam hasil daripada sistem yang mengutamakan matlamat menghasilkan tenaga kerja bersifat 'homogeneous' seperti keluarnya produk-produk dari kilang tanpa mengambil kira keunikan manusia yang dianugerahkan Allah s.w.t. dengan pelbagai kebolehan dan kemampuan yang juga memerlukan peranan ruang dan masa.

Makna sebagai murabbi dalam menyampaikan ilmu semakin hilang. Lalu, ilmu sains yang diajarkan kini sifatnya tidak lebih tidak bukan hanya untuk membekalkan pelajar dengan persediaan menjawab kertas peperiksaan. Sepatutnya, disiplin sains itu mampu menyediakan dan membina karakter diri pelajar yang bersifat jujur dalam pencarian kebenaran alam. Hasilnya kini, kita terputus daripada menemui makna sebenar keindahan dan keagungan ciptaan Ilahi yang seharusnya pengenalan melalui ilmu-ilmu itu membawa kita semakin dekat dan mengenal diri serta siapa Pencipta kehidupan ini.


Faham teknologi dan pembangunan yang memberi kesejahteraan kepada masyarakat tanpa helah ekonomi dan paksi keuntungan material berlebihan adalah contoh semangat yang ditunjukkan Banu Musa bersaudara dalam menghasilkan ciptaan dan inovasi yang lestari.


 
Kebenaran yang dicari terhijab dalam penyediaan kurikulum yang berorientasikan memenuhi kehendak industri. Cita-cita, pemahaman serta sikap kita terhadap sains juga berubah tidak seperti ilmuwan Islam di zaman dahulu. Sains yang dianggap sebagai ilmu alat untuk menyediakan kehidupan yang lebih makmur dan sejahtera kepada masyarakat kini menjadi ilmu yang diperdagangkan demi mengejar strata material di dalam hierarki bermasyarakat.

Warisan pemahaman sebegini menyelaputi faham ramai para pelajar kita sehingga kehendak masyarakat untuk meletakkan mereka dalam kedudukan yang dihormati menjadi sebuah kehendak yang tidak lagi murni, bahkan menjadi bahana apabila memahaminya sebagai ruang yang penuh dengan perasaan riak, ujub, takabbur serta hilangnya nilai keikhlasan serta makna ihsan dalam diri. Deria kemanusiaan dibunuh lalu diganti dengan keinginan perlumbaan yang membolehkan matlamat dikejar walau dengan cara apa sekalipun.

Jurutera Islam yang tersohor, Al-Jazari


Demi memurnikan cita-cita mereka, ungkapan serta penghujahan syariat yang dimanipulasikan tanpa faham mendasar berkenaan kepincangan maha dahsyat yang berlaku dalam sains kini serta kejujuran kita pada semangat ilmu serta pendidikan yang sepatutnya membawa kita lebih mengenali diri dan hakikat kehidupan.

Semangat bidang perubatan yang diamalkan di zaman kegemilangan Islam yang lebih mengutamakan kerjaya ini sebagai pengamalan nilai kebaikan tertinggi dalam disiplin keilmuwan.Seharusnya para pengamal perubatan kini juga para pelajar yang sering dimomokkan dengan penyertaan kepada bidang ini sehingga membentuk dikotomi sains dan sastera harus diutarakan dan ditanam dengan faham kejernihan sebegini yang bebas daripada balutan perlumbaan mengejar material dan prestij.
 

Menutup laporan perjalanan ini, saya sertakan di sini kata-kata Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas terhadap kepincangan sains semasa dan bagaimana harusnya kita menghargai serta cuba mencari kembali makna prinsip serta ketinggian hormat kepada kecintaan ilmu yang sebenar yang dihayati oleh ilmuwan Islam silam berbanding pemanipulasian kita kini terhadap ilmu sains demi pencarian material yang bersifat kedudukan, pangkat serta prestij yang memenuhi hawa nafsu kita sehingga mencarik kesucian jiwa anak-anak yang mendambakan makna sebenar ilmu dan pendidikan.

Keharmonian faham sains dan seni sehingga menimbulkan penghayatan tertinggi terhadap mercu keunggulan ilmu serta penghormatannya.Contoh faham yang harus direnungi untuk membuang wabak dualisme di dalam faham ilmu dan pembangunan yang dimiliki kini.


"We know that no science is free of value; and to accept its presuppositions and general conclusions without being guided by genuine knowledge of our worldview which entails knowledge also of our history, out thought and civilization, our identity which will enable us to render correct judgements as to their validity or otherwise to our life, the change that would result in our way of life would simply be a change congenial with what is alien to our worldview. And we would neither call such change a 'development' nor a 'progress'."

Yang benar,

(Ahmad Afif Bin Ahmad Mohtari Yasim)
Pengasas-Pengarah,
Sekolah Massa

Pemikirzaman

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.