Laporan Kelas Debat Sekolah Massa Siri 1

by June 04, 2013 0 comments
Debat adalah salah satu seni pengucapan yang penting untuk dikuasai.Kemahiran berdebat mampu membina dan menanam keyakinan diri kepada para pelajar serta melatih mereka dengan penguasaan isu semasa.Berdebat adalah suatu aktiviti yang melatih ketajaman akal untuk menguasai isu yang dibincangkan serta bersedia menerima hujahan balas pihak lawan yang tidak akan sama sekali bersetuju dengan pendirian yang dibawa.Debat melatih kita bersabar dan tetap dalam berpendirian.Memahami seni debat mampu membuatkan kita faham kepada banyak perkara yang berlaku di dalam dunia hasil komunikasi yang berlaku di antara dua entiti bernama manusia.

Poster Kelas Debat Sekolah Massa


Sebagai aktivis, kemahiran berdebat amat penting untuk dikuasai dalam memperjuangkan gagasan idea yang dibawa agar tidak mudah digugat ketetapan pendirian dalam perlawanan medan yang tidak mudah dijangka.Melalui latihan perdebatan juga, aktivis mampu dilatih untuk meningkatkan pengetahuan semasa dan cabang-cabang ilmu lain untuk memperkukuhkan hujah serta membina kerangka konsep perjuangan yang lebih kukuh.

Latihan perdebatan juga mampu membuka perspektif pelajar untuk memahami isu serta peristiwa penting dunia yang boleh direnungi daripada pelbagai sisi.Membuka aspek sisi pandang ini mampu memberi ruang kefahaman yang lebih luas dan mendalam kepada para aktivis dalam menghadami sesuatu isu sebelum melakukan timbang tara untuk menetapkan keputusan.Melalui perdebatan, aktivis didedahkan tentang penganalisaan isu secara lebih tuntas dan tidak bersifat permukaan.Lantas, mampu membantu aktivis-aktivis untuk menyantuni isu semasa yang timbul dalam lingkup yang lebih matang dan tepat.

Peserta Kelas Debat Sekolah Massa


Pada 2 Jun 2013, bersamaan hari Sabtu, Sekolah Massa telah menganjurkan satu program berkala yang dinamakan Kelas Debat untuk anak-anak muda yang berminat untuk mempelajari serta menerima pendedahan dalam dunia perdebatan sebagai kemahiran yang mampu mengasah keyakinan diri, ketajaman akal fikiran serta peningkatan penguasaan isu dan kemahiran pengucapan awam yang lebih berkesan.Kelas yang julung kalinya diadakan ini dianjurkan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.Pemilihan tempat ini dicadangkan sendiri oleh salah seorang peserta yang terlibat dalam kelas ini.

Penyertaan kepada kelas ini dibuka kepada semua anak muda daripada pelbagai latar belakang sebagai medium melakukan pembinaan diri serta sebagai wadah berkongsi idea sesama anak muda.Jumlah pelajar yang mendaftarkan diri adalah seramai 6 orang. Namun, untuk sesi pertama Sekolah Massa, hanya 3 orang pelajar yang berpeluang menghadirkan diri dan telah menjayakan sesi pertama ini bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 1.00 petang.3 orang pelajar tersebut adalah saudara Azuan Zain, mahasiswa jurusan pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur, saudara Harris Hanafi yang merupakan graduan lepasan Universiti Kuala Lumpur MIMET di dalam jurusan Pembinaan dan Penyelenggaraan Kapal dan akhir sekali saudara Muhd Helmi yang merupakan peserta termuda di dalam kelas ini yang akan melanjutkan pelajaran ke dalam bidang Ekonomi di pusat persediaan ke luar negara Kolej Mara Banting di bawah program International Baccalaureate (IB).

Sesi Penganalisaan Isu

Kesemua peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang telah memberi kekuatan serta nafas segar kepada penganjuran program Sekolah Massa pada kali ini yang meletakkan sasaran capaian akses gagasan Sekolah Massa ini kepada seramai mungkin anak muda di seluruh negara dalam memahami cita-cita penyediaan pendidikan alternatif kepada generasi muda akan datang demi membantu negara membina sistem pendidikan yang lebih komprehensif dan menepati dengan semangat falsafah pendidikan negara.

Kelas Debat dimulakan dengan sesi taaruf di kalangan peserta bersama jurulatih.Sesi pendahuluan Kelas Debat Sekolah Massa dimulakan dengan pembentangan pengenalan kepada maksud debat, format debat serta teknikaliti debat.Di dalam teknikaliti debat, para peserta diterangkan berkenaan peranan setiap pembahas bermula daripada pembahas pertama sehingga kepada peranan pembahas ketiga daripada kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Penerangan berkenaan elemen teknikal serta peranan setiap pembahas mengambil masa yang paling panjang dalam sesi kelas pertama debat kali ini disebabkan pendedahan awal kepada para peserta yang kebanyakan masih baru terhadap dunia debat.Namun, para peserta telah menunjukkan respon positif terhadap pemahaman mereka kepada elemen teknikal dan peranan pembahas dengan mengingati setiap daripada tugas-tugas yang dibawa oleh setiap pengucap.Langkah seterusnya adalah untuk mengaplikasikan faham peranan tadi ke dalam pengucapan sebenar yang akan dijalankan pada kelas kedua di masa akan datang.

Pendebat berbincang berkenaan kesimpulan terhadap proses analisa
 
Sesi kedua Kelas Debat Sekolah Massa diteruskan perbincangan berkenaan pembinaan konsep serta pemahaman secara mendalam kepada elemen-elemen penting pembentangan konsep seperti rasional, indikator dan beban bukti.Memahami pembinaan konsep mengambil sedikit masa berbanding perbincangan berkenaan pendefinisian secara literal.Hal ini kerana, pembinaan konsep harus didasarkan kepada kefahaman pendebat terhadap analisis usul yang diutarakan melalui kefahaman asas pendebat kepada matlamat perdebatan serta penguasaan kepada isu yang cuba dibawa di dalam tajuk perdebatan.Walau bagaimanapun, para peserta begitu aktif membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan pembinaan konsep melalui pelbagai pertanyaan dan perbincangan sesama mereka.Perkara ini merupakan suatu perkembangan yang baik sebagai menyediakan persiapan awal kepada pendebat untuk bersedia menerima tugasan berkumpulan dan melaksanakan pembinaan konsep secara berdikari.

Akhir sekali, sesi ketiga Kelas Debat membuka ruang kepada para peserta untuk menguji kefahaman mereka kepada pembelajaran terhadap teori-teori pembinaan konsep yang dilakukan tadi di dalam bentuk berkumpulan secara kendiri tanpa panduan jurulatih.Satu tajuk diberikan dan mereka diminta menganalisis usul tersebut sedalam mungkin serta menyediakan kerangka konsep bagi tajuk yang diberikan.Dalam masa 15 minit, para peserta diminta membentangkan hasil analisa mereka serta konsep yang dibina.Setiap peserta menunjukkan kemampuan dalam melakukan analisis usul daripada pelbagai sudut pandang dan berjaya membuka perspektif kotak pemikiran mereka kepada sisi yang lebih besar dan luas.Pencapaian ini sesuatu yang membanggakan untuk sesi pertama penganjuran Kelas Debat Sekolah Massa.

Kelas seterusnya akan dilangsungkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian mengikut kekosongan masa yang dimiliki jurulatih.Target Kelas Debat Sekolah Massa di dalam siri kelas kedua nanti adalah untuk melihat para peserta mempunyai keyakinan dan mampu menyampaikan ucapan secara individu mengikut tajuk yang dipilih oleh mereka sendiri.Di pihak penganjur, siri kelima Kelas Debat mensasarkan untuk setiap peserta sudah mampu membentuk sebuah kumpulan perdebatan yang mampu menyampaikan hujah-hujah mengikut format perdebatan yang dipelajari.

Sesi menghadam peranan pembahas dan elemen teknikal perdebatan

Sekalung tahniah dan setinggi terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang terlibat dalam mengorbankan masa hujung minggu demi menyertai kelas ini serta menunjukkan komitmen serta minat yang mendalam.Tidak dilupakan juga setinggi terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan berterusan dalam melaksanakan Kelas Debat ini sehingga berjaya dilaksanakan sebagai suatu program berkala dan mendapat perhatian ramai generasi muda yang ingin mendekati dan mempelajari dunia perdebatan.Doakan untuk kelangsungan berterusan dan perjalanan yang lancar untuk agenda Sekolah Massa yang seterusnya demi membina remaja atau aktivis yang berkualiti melalui Kelas Debat Sekolah Massa.

Harapan pihak penganjur, agar program sebegini dipandang positif tanpa sebarang prejudis dan tidak bersifat paranoid dalam usaha Sekolah Massa membawa perubahan yang lebih membina kepada aktivis yang berminat melalui pendedahan sebegini.Sesungguhnya, kebenaran dan keyakinan yang sebenar adalah sesuatu yang lebih mententeramkan berbanding berjiwa kelam yang menimbulkan kerisauan hasil pergolakan yang berlaku di sekeliling kita.Di sini, kami tidak menerima sebarang sikap prejudis yang tidak berasas yang akhirnya membantut pembinaan serta perkembangan optimum setiap penggerak dan pelajar.Bersandar kepada pendirian ini, Sekolah Massa akan terus menggunakan segala instrumen terbaik dalam menjayakan agenda memberi jasa dan bakti yang berterusan kepada generasi seterusnya untuk masa depan yang lebih cerah dan menjanjikan harapan kebahagiaan.


Yang benar,

(Ahmad Afif Bin Ahmad Mokhtari Yasim)
Pengasas-Pengarah,
Sekolah Massa

Pemikirzaman

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.