[:::ILMU:::] ~Bahagian 16~

by December 17, 2016 0 comments
       Ideologi ringkasnya merupakan idea-idea yang menjadi pegangan seseorang, yang mempengaruhi cara seseorang itu bertindak, berfikir, berkelakuan dan berkata-kata. Ianya juga mempengaruhi cara seseorang itu melihat sesuatu realiti dan kebenaran. Realiti dan kebenaran, dilihat melalui prisma ideologi yang dipegang oleh seseorang itu. Seseorang yang mempunyai kekuatan berfikir secara abstrak, dan mempunyai pandangan alam islam, akan dapat menyemak dan menilai apakah sesuatu ideologi tersebut, selari dengan realiti dan kebenaran yang dianjurkan dalam islam mahupun tidak. Kita juga berkemungkinan mempunyai suatu pandangan atau ideologi-ideologi tertentu yang kita tidak sedari, dipegang oleh kita yang berkemungkinan bercanggah dengan sarwa pandang islam. Untuk tahu apakah aqal fikiran kita itu adakah berfikir selari dengan pegangan akidah islam, wajarlah kita mempelajari tentang pandangan alam islam. Ianya soal metafizik, ianya soal perkara abstrak. Dan tidak perlu bagi semua orang untuk mempelajari atau tahu tentang pandang alam islam ini. Menurut Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas, ianya tugas golongan yang terpelajar(the learned) untuk mempelajarinya. Dan lama kelamaan, kefahaman ini akan secara semula jadinya beransur-ansur turun ke bawah. 

            Seterusnya menyentuh tentang ilmu. Ilmu itu adalah ketibaan makna kepada diri, hasil daripada maklumat yang benar. Maka ilmu dalam erti yang sebenarnya adalah ilmu yang benar. Ilmu yang sesat, ilmu yang dimasukkan dengan faham-faham yang bukan sepatutnya hanyalah kelihatan seolah-olah ilmu, namun bukanlah ilmu dalam erti kata yang sebenarnya. Kerana dengan ilmu yang sebenar, manusia akan menemui kebenaran. Nilai tertinggi adalah kebenaran. Oleh sebab itu kita menuntut ilmu, agar kita bertemu dengan kebenaran, dan itulah juga seruan wahyu iqra' yang hakikatnya adalah suruhan kepada kita supaya menuntut ilmu. Bukan sebarang ilmu, tetapi ilmu yang bermanfaat. Bukan menuntut semua ilmu, kerana mustahil dituntut dengan usia yang singkat, namun harus mengenali diri, dan meletakkan prioriti dalam menuntut ilmu, agar kita berada dalam golongan mereka yang selamat, agar kita berada di jalan yang benar, agar kita berkelakuan selari dengan kebenaran yang kita pegangi. Itulah hikmah pembahagian ilmu kepada kategori ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.

                   Saya teringat tentang persoalan yang meragukan aqal, mungkin pernah saya tulis tentangnya sebelum ini. Ianya tentang kisah tuhan dan batu. Bolehkah tuhan menciptakan batu yang dia sendiri tak boleh musnahkan? Kalau tak boleh bermakna dia tak hebat. Kalau boleh,dia pun tak hebat, sebab dia tak boleh musnahkan ciptaan dia. Maka jawapan yang benar bagi soalan ini ialah tidak boleh. Allah s.w.t tidak boleh berkelakuan dengan kelakuan yang bercanggah dengan sifatNya. Sebab itu kita belajar sifat wajib dan sifat mustahil bagi Allah. Allah itu Maha Mengetahui. Itu sifat wajib bagiNya. Maka sifat mustahil bagiNya ialah Allah itu bodoh. Maka bagi yang tidak mengetahui tentang ilmu sifat2 Allah, akan menanyakan, bolehkan Allah menjadi bodoh? Kalau tak boleh,bermakna dia tak hebat. Maka jawapannya yang sebenar, ialah tidak boleh Allah menjadi bodoh. Dia tidak boleh berkelakuan dengan perkara-perkara yang mustahil bagiNya. Dan perkara yang mustahil  baginya itu tidak menjadi bukti bagi kelemahannya bahkan kemustahilan itulah bukti kekuatanNya. Kerana Allah tidak berubah. Bolehkah Allah berubah sifatNya? Jawapannya tidak boleh. Kalau Allah berubah sifatnya bermakna dia baharu. Segala yang baharu itu adalah makhluk. Ini pun sudah menafikan Allah itu boleh berubah sifatNya, kerana Dia adalah Pencipta, bukannya makhluk. Maka kedudukannya sebagai pencipta juga merupakan bukti itu adalah mustahil bagiNya untuk berubah. Hanya Pencipta yang mengubah segala sesuatu, dan Pencipta tidak berubah sifatNya. 

                 Penjelasan yang lebih baik daripada ini, bolehlah belajar daripada guru yang benar ilmunya. Ianya terdapat dalam ilmu sifat 20. Juga dinamakan ilmu kalam. Juga dinamakan ilmu usuluddin. Maka perbahasan ilmu sifat 20 perlulah didalami bagi kita agar dapat menghilangkan kekeliruan dan keraguan di jiwa. Bagi mereka yang tidak mendalami ilmu ini, bolehlah mereka mendapatkan ilmu tentangnya sekadar menghilangkan keraguan di jiwa. Ilmu itu membawa kepada keyakinan. Ilmu yang membawa kepada keraguan bukanlah ilmu, namun hanya terlihat sebagai ilmu,ibarat suatu ilusi, yang hanya membawa kepada lembah kesesatan dan kekeliruan jiwa yang amat dasyat. Kesengsaraan batin dapat dirasai oleh mereka yang dalam jiwanya penuh dengan keraguan. Semoga Allah s.w.t memelihara kita daripada kesengsaraan batin ini.

      

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.