[::ILMU:::] ~Bahagian 15~

by December 15, 2016 0 comments

             Semasa membaca karya Prof.Syed Hussein Alatas, yang bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun, saya tertarik dengan soal perlunya Kepimpinan Intelektual yang memikirkan perkara-perkara abstrak. Mencari penyelesaian soal-soal abstrak, belenggu pemikiran, atau beliau sebutkan sebagai masalah minda yang dialami oleh kita iaitu minda tertawan atau "the captive mind". Ringkasnya ia bermaksud kita melihat perkara-perkara dunia ini dari sudut pandang barat. Dari sudut faham dan falsafah mereka. Dari cara mereka melihat realiti dan kebenaran segala sesuatu. Beliau gunakan terma jadong bagi merujuk kepada sejenis pemimpin yang buruk iaitu membawa maksud jahat,bodoh dan sombong. Gabungan ketiga-tiga perkataan menghasilkan perkataan jadong. 

                 Ia membawa saya kepada berfikir tentang kepimpinan kita kepada suatu kerajaan yang kita telah diamanahkan untuk memimpinnya dengan adil, iaitu kerajaan diri. Memimpin diri agar tidak tunduk kepada kehendak nafsu haiwani agar tidak melakukan perkara yang terlarang, bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain daripada perbuatan jahat yang nampak jelas secara zahir, terdapat juga perbuatan jahat yang tersembunyi di dalam hati kita. Hati yang sentiasa bersangka buruk kepada orang lain, berharap agar mereka menderita, tidak senang dengan kelebihan yang orang lain ada serta berharap agar nikmat itu ditarik daripadanya, kagum dengan diri sendiri, takbut dengan kebolehan diri antara beberapa perkara yang disebut, sekiranya ia ada pada diri kita, merupakan tanda-tanda kerajaan diri kita korup. Memperbaiki kerajaan diri ke arah yang lebih baik adalah dengan jalan ilmu.

                Maka, ilmu apakah yang diperlukan itu? Ianya adalah ilmu tentang penyucian hati. Ilmu tentang sifat-sifat mahmudah dan sifat-sifat mazmumah, dan cara membersihkan hati daripada perkara-perkara keji yang berada dalam hati kita. Ini semua kita pelajari daripada ulama akhirat. Mereka menulis karya tentang perkara penyucian hati ini dan mengajar manusia tentangnya serta dapat dilihat pada diri mereka juga tercermin akhlak yang mulia,  insan adabi. Tokoh yang dimaksudkan ialah Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, Ibn Arabi, Hamzah Fansuri, Nuruddin Raniri dan ramai lagi.

                 Saya pernah terbaca beberapa hari lepas di laman sosial tentang apa yang dinyatakan oleh En.Mohd Asham tentang pandangan alam islam. Dia menyebut tentang perbezaan pandangan alam islam dan pandangan alam sekular. Pandangan alam islam berpunca dari wujud, manakala pandangan alam sekular berpunca dari mawjud. Wujud yang dimaksudkan ialah Allah s.w.t. Maka mereka yang mempunyai pandangan alam islam, segala cinta mereka akan tertumpu kepada puncanya iaitu Allah s.w.t dan berusaha untuk mendekatkan diri denganNya.  Mawjud pula merujuk kepada benda2 yang diciptakan iaitu dengan kata lain makhluk, iaitu perkara-perkara material. Maka mereka yang mempunyai pandangan alam sekular, segala cinta dan hala tujunya adalah kepada perkara-perkara mawjud, yakni perkara-perkara keduniaan yang kewujudannya hanyalah bersifat sementara sahaja. Karya besar yang membawa kita kepada pandangan alam islam dengan terperinci ialah karya karangan Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas yang bertajuk Prolegomena to The Metapysics of Islam : An Exposition of The Fundamental Worldview of Islam. Sama-samalah kita sambut seruan wahyu Iqra',  membaca karya agung ini, menekuni dan cuba memahaminya. Semoga kita mendapat petunjuk ke arah kebenaran, dan dibimbing oleh Allah s.w.t ke jalan keselamatan.

                          

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.