[:::Ilmu:::] ~Bahagian 13~

by August 24, 2016 0 comments
Saya teringat bahawa pernah membaca status Prof. Khalif Muammar berkenaan perumpaan ilmu yang diibaratkan sebagai air. Ianya menceritakan bahawa air mengalir dari tempat tinggi ke tempat yang rendah. Maka, sebagai penuntut ilmu, kita perlulah merendah diri di hadapan guru yang mengajar kita dan juga merendah diri dengan ilmu yang kita perolehi, kerana ilmu yang ada pada kita, hakikatnya kurniaan daripada atas iaitu sumber tertinggi, sumber segala ilmu, Allah s.w.t.

Allah s.w.t mengurniakan ilmu kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Dia juga mengurniakan hikmah kepada sesiapa saja yang dipilihNya. Oleh itu, umat islam amat mementingkan ilmu. Dengan ilmulah manusia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Oleh disebabkan ilmu itu tidak bersifat neutral dan boleh dikandung dan dilahirkan agar sesuai dengan pandangan alam tertentu, iaitu pandangan tentang realiti dan kebenaran, maka dalam kita menuntut ilmu pada hari ini, kita harus peka tentang faham-faham asing yang telah menyerap masuk ke dalam fikiran.

Faham-faham asing, terutama yang bercanggah dengan pandangan alam islam, dapat kita ketahui dengan memerhatikan kepada makna bagi istilah-istilah yang digunakan. Faham2 asing  terkandung dalam penjelasan bagi kata-kata kunci penting seperti kebebasan, agama, hak, manusia, keadilan, kebenaran, ilmu.

Kebebasan bagi kita umat islam ialah bebas untuk memilih yang baik antara dua pilihan. Insan yang kembali kepada fitrah juga merupakan insan yang bebas, kerana mereka bebas daripada nafsu yang membuat manusia cenderung ke arah perbuatan2 yang buruk.

Ada pula yang berfahaman bebas sebagai bebas daripada kekangan agama. Maknanya dalam erti kebebasan ini, manusia bebas berkelakuan tanpa sekatan daripada undang-undang agama. Apabila disebut tentang larangan2 perbuatan2 tertentu dalam ajaran agama, ianya tidak akan diendahkan kerana agama dilihat sebagai membelenggu manusia daripada kebebasan dan menghalang manusia daripada maju ke hadapan. Soalnya maju ke mana? Dan apa tujuan akhir kemajuan itu?

Agama pula ada yang lihat agama sebagai kepercayaan karut dan ada juga melihat agama sebagai direka oleh para bijaksana untuk memastikan masyarakat itu teratur dan terkawal. Dan kita pula meskipun kita akui ada ajaran yang karut, dan yang direka, namun ajaran kita adalah ajaran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Hak pula ada yang menuntut bermacam perkara sebagai hak mereka. Dan hak bagi mereka adalah hak untuk hidup sesuai dengan citarasa mereka iaitu selaras dengan kehidupan moden yang berpaksikan faham sekularisme.

Sedangkan bagi kita umat islam, hak2 kita dinyatakan dengan jelas dalam ajaran islam yang meliputi keseluruhan aspek hidup kita, hak2 kita dan perkara2 yang melanggar batasan yang perlu dijauhi.

Manusia pula ada yang beranggapan manusia ini berevolusi daripada haiwan lain melalui proses yang dinamakan 'natural selection'. Ada juga yang beranggapan manusia merupakan hasil eksperimen saintis makhluk asing di luar angkasa.

Kita berpegang bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t, dan manusia pertama ialah Nabi Adam a.s. Kita pula keturunan daripada Nabi Adam a.s. Maknanya kita tidak melalui proses evolusi. Manusia yang mula2 muncul itu sudah berada dalam keadaan fizikal manusia. Dan manusia mempunyai fitrah, iaitu tujuannya diciptakan. Kembali kepada fitrah manusia bererti kembali memenuhi tujuan diciptakan. Manusia sekular semakin jauh dari fitrah mereka.

Keadilan pula begitu panjang huraiannya. Dan konsep keadilan inilah yang disalah erti oleh ramai orang bahkan umat islam sendiri sehingga menimbulkan kekelliruan. Saya sarankan membawa karya Yang Mulia Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang bertajuk On Justice and The Nature of Man.

Kebenaran dan ilmu pula ada yang mengatakan kebenaran itu terpulang kepada individu,ada yang berkata tiada kebenaran dan manusia tak dapat tahu tentang kebenaran. Kita yakin bahawa kebenaran itu ada dan jelas. Dan dengan cahaya petunjuk ilahi, manusia dapat mencapai keyakinan dan kebenaran.

Dan tentang ilmu pula, saya sarankan membaca karya Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud yang berjudul Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.