Konsep Wang dalam Islam dan Wang Fiat

by August 01, 2016 0 comments
1.0 PENGENALAN

            Penulisan ini akan membicarakan tentang mata wang. Wang merupakan suatu alat yang mempunyai nilai yang kita gunakan dalam urusan seharian kita iaitu dalam urusan jual beli, bagi mendapatkan apa yang dikehendaki. Ada yang menjual barangan bagi mendapatkan wang, dan ada yang membeli dengan menggunakan wang bagi mendapatkan barangan. Pernahkah kita terfikir tentang asal usul wang? Apakah itu wang? Apakah manusia memang sentiasa menggunakan wang kertas sebagai wang? Jika tidak apakah yang digunakan sebagai wang? Dan yang paling penting ialah sebagai seorang muslim, apakah wang dari perspektif islam? Maka, bagi menjawa sedikit sebanyak tentang persoalan berikut, maka saya akan membicarakan tentang perbezaaan wang dari perspektif islam dengan mata wang fiat. Apa itu wang fiat? Apa bezanya dengan wang yang sepatutnya digunakan sebagai wang oleh kita?

            Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa sebelum wang fiat digunakan, manusia menggunakan emas dan perak sebagai wang yang dinamakan sebagai dinar dan dirhaam. Keistimewaannya sebagai wang juga akan saya perincikan dan sertakan dengan dalil dari al-Quran sebagai menunjukkan keistimewaannya.

            Seterusnya ialah tentang kestabilan wang. Dalam perincian penulisan ini, akan saya jelaskan secara serba ringkas tentang kestabilan yang akan berlalku hasil daripada menggunakan dinar sebagai matawang bagi menggantikan wang fiat.

            Seterusnya ialah tentang pelbagai halangan yang akan dialami sekirnaya berusaha untuk mengembalikan dinar dan dirham sebagai wang. Dan akan juga diselitkan nanti tentang mengapa mereka begitu berpegang kepada wang fiat sebagai sistem, namun pada masa yang sama, mereka mempunyai simpanan emas bagi menjadi kekayaan mereka.




2.0 KONSEP WANG DALAM ISLAM DAN WANG FIAT

          Wang dalam islam atau dengan kata lain ialah, wang yang jika digunakan, adalah dikira sebagai wang sunnah, kerana penggunaannya juga turut disebut di dalam wahyu agung al-Quran, iaitu sumber tertinggi rujukan dalam memahami agama islam. Apakah benar ada dalil-dalilnya tentang dinar dan dirham dalam al-Quran? Benar, ianya disebut dalam al-Quran, yang saya akan kupas pada perenggan berikutnya. Menurut Imran Nazar Hossein, iaitu seorang ilmuan islam yang mengkaji asal usul sistem wang masa kini dan wang yang asalnya digunakan oleh manusia, beliau menyatakan dalam bukunya yang bertajuk Islam and The Future of Money, dengan menggunakan beberapa hadis, untuk memberikan ciri-ciri tentang wang dalam islam.

            Hadis yang pertama yang beliau pilih dalam menjelaskan tentang wang dalam islam  ialah :



Abu Said al-Khudari menceritakan,’Bilal datang kepada Nabi Muhammad dengan membawa kurma kualiti Barni iaitu yang berkualiti baik. Lalu Nabi Muhammad bertanya kepadanya, ’dari mana kamu mendapat kurma itu?’Bilal menjawab,’saya mempunyai  kurma yang berkualiti rendah lalu saya tukarkannya sebanyak dua Sa’s  dengan satu Sa’s kurma ini’. Nabi Muhammad bersabda,”inilah inti kepada riba!,inti kepada riba! Jangan lakukan perbuatan ini.Tetapi apabila hendak membeli, jualkan kurma(yang berkualiti rendah) ini dalam transaksi yang berbeza dan belilah dengan apa yang kamu dapat.(hasil dari penjualan)”.
(Bukhari,Muslim).



                       

2.1 Penjelasan daripada hadis pertama :

a. Penukaran kurma yang tidak sama nilainya/kualiti iaitu jenis kurma adalah riba.

b.Jika hendak membeli kurma yang lain, kurma yang ada tidak boleh ditukar untuk mendapatkan kurma yang lain.Sebaliknya ianya perlulah dijual, dan hasil jualan itu iaitu dirham/dinar pada ketika itu, digunakan untuk membeli kurma yang lain.

c.Ianya memberi analogi iaitu kalau dalam konteks ini, ialah Rm 100 , ditukar dengan Rm 150  contohnya. Ini memberi analogi larangan kepada riba, iaitu bunga. Contohnya ialah saya meminjam sebanyak Rm 10 ribu daripada bank, namun saya perlu membayar Rm 15 ribu kepada bank. Perbezaan nilai tukaran itulah yang dikatakan sebagai riba.



           

Hadis yang kedua dipilih beliau pula ialah :

Yahya menyampaikan kepadaku dari Malik dari Naf’I bahwa Abdullah bin Umar membeli (menukar) seekor unta tunggangan betina dengan empat ekor unta lain dan dia berjanji untuk memberikan unta-unta tersebut kepada pembeli di ar-Rabadha.
(Muwatta, Imam Malik)







2.2 Penjelasan daripada hadis kedua :

a. Abdullah Ibn Umar mendapatkan seekor unta betina. Caranya ialah dengan memberikan 4 ekor unta miliknya kepada penjual seekor unta betina tersebut.
b. Pertukaran nilai yang tidak sama antara haiwan, tidak dilarang dan tidak dianggap sebagai riba kerana unta adalah haiwan, dan haiwan tidak dikategorikan sebagai wang.
c. Haiwan boleh jatuh sakit, maka haiwan tidak layak dijadikan sebagai wang.

            Hadi yang ketiga yang dipilih oleh beliau ialah :

            Abu Said al-Khudri melaporkan bahawa pesuruh Allah(Nabi Muhammad) bersabda, ”emas dengan(ditukar) emas, perak dengan perak, gandun dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam. Apabila transaksi adalah sama(seperti emas dengan emas), bayaran dibuat pada ketika itu juga, maka sesiapa yang memberi lebih atau meminta lebih(selepas selesai transaksi),maka dia terlibat dalam riba, penerima dan pemberi, kedua-duanya sama bersalah”.
(Sahih Muslim)

2.3 Penjelasan bagi hadis yang ketiga :

a. Sekiranya emas,perak dan komoditi-komoditi diatas ditukar, nilainya perlulah sama.
b.Sebarang manfaat yang diberi atau diterima setelah berlakunya transaksi tersebut, dan manfaat itu timbul dari berlakunya transaksi itu, maka itu adalah riba. Pemberi dan penerimanya dikira sebagai melakukan riba. Analogi ini jika kita faham dalam konteks kini ialah, peminjam adalah sebagai pemberi manfaat kepada bank, dan bank menerima manfaat daripada kita. Manfaat yang dimaksudkan ialah bunga atau kadar faedah.



           

2.4  Berdasarkan dari beberapa hadis ini, beliau rumuskan ciri-ciri wang dalam islam iaitu :


1. Wang dalam islam ialah sama ada besi yang bernilai iaitu emas dan perak atau komoditi seperti gandum, barli, kurma dan garam. Komoditi ini mempunyai ciri-ciri seperti digunakan sebagai makanan dan mempunyai jangka hayat.

2. Wang dalam islam mempunyai nilai intrinsik. Nilai intrinsik bermakna wang itu sendiri mempunyai nilai pada dirinya. Emas, perak dan barang komoditi yang mempunyai jangka hayat, kesemuanya mempunyai satu persamaan, iaitu mempunyai nilai intrinsik.

3.Wang merupakan ciptaan Allah. Penjelasannya ialah objek2 yang mempunyai nilai intrinsik yang melayakkannya menjadi wang juga merupakan objek material yang diciptakan oleh Allah dan sebagai penjelmaan kepada sifat Allah yang maha kaya. Emas, perak dan bahan komoditi tidak boleh dicetak seperti wang kertas, kerana ianya adalah kurniaan rezeki daripadaNya.



            Sebagai penutup kepada ciri-ciri wang dalam islam, saya sertakan satu ayat al-Quran bagi menunjukkan bahawan emas dan perak yang digunakan sebagai wang, mempunyai nilai intrinsik, dan diiktiraf dalam al-Quran itu sendiri sebagai mempunyai nilai, serta perlu dibelanjakan dan diuruskan agar sesuai dengan syariat islam.




Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah at-Taubah 9 : ayat 34).



            Begitulah sedikit penerangan tentang wang dalam perspektif islam.Manakala wang fiat pula merupakan wang yang diterima dalam sesuatu kerajaan sebagai, legal tender, iaitu wang yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai wang yang sah untuk digunakan dalam urusan jual beli. Wang fiat tidak disandarkan dengan komoditi fizikal. Nilai wang fiat pula bergantung kepada permintaan dan bekalan wang tersebut. Dengan kata lain, nilai wang tersebut tidak bergantung kepada material yang digunakan untuk menghasilkan wang tersebut. Wang fiat bergantung kepada keyakinan pengguna terhadap wang tersebut.

            Berbeza dengan emas dan perak yang mempunyai nilai intrinsik, iaitu nilai wang tersebut bergantung kepada wang tersebut. Kalau kita lihat sejarah secara umum, dapat kita ketahui bahawa wang pada kebiasaannya disandarkan kepada komoditi fizikal seperti wang dan emas. Mata wang juga pernah disandarkan kepada minyak, yang dipanggil sebagai petrodollar. Beza ketara dengan wang fiat ialah wang fiat hanya berdasarkan KEPERCAYAAN atau KEYAKINAN. Sekiranya pengguna hilang kepercayaan terhadap mata wang tersebut, maka mereka tidak akan menggunakan mata wang tersebut. Hasilnya nilai wang tersebut akan susut.  Fiat merupaka perkataan daripada bahasa latin yang membawa maksud ia akan jadi atau it shall be.


            Dengan hanya spekulasi, atau khabar berita tentang korupsi sesuatu negara, atau pun sesebuah negara itu dilihat sebagai tidak aman, maka berita-berita sebegini dapat menjatuhkan nilai mata wang sesebuah negara. Dalam bahasa mudah, dalam sistem wang fiat, nilai wang itu boleh hilang daripada wang tersebut apabila pengguna berasa tidak yakin dan percaya pada kestabilan wang itu. Apabila nilai wang itu jatuh, maka pada pandangan pengguna, kita akan lihatnya sebagai harga barang meningkat. Sebenarnya, pada hakikatnya, bukanlah harga barang yang meingkat namun, nilai mata wang yang turun.

            Kita dapat yakin dengan pasti, apabila kita daripada Malaysia, melancong ke negara yang mempunyai nilai mata wang rendah berbanding negara kita, contohnya Indonesia. Dengan membawa sejumlah wang kita, dan ditukarkan kepada mata wang rasmi negara indonesia, kita dapat rasakan bahawa kita seolah-olah menjadi kaya dan dapat menikmati pelbagai kemudahan seperti hotel, pusat peranginan, restoran dan pengangkutan dengan harga yang amat murah jika dibandingkan dengan nilai wang kita. Sebaliknya jika kita pergi ke negara yang mempunyai nilai mata wang yang lebih tinggi berbanding nilai mata wang negara kita, contohnya Australia, kita akan berasakan bahawa barang-barang di sana agak mahal. Sekali lagi harus diingatkan, bahawa bukanlah harga barang yang naik, tetapi nilai wang yang turun.

            Inilah perbezaan ketara antara wang daai perspektif islam, yang mempunyai nilai intrinsik, dengan wang fiat yang tidak mempunyai sebarang nilai padanya, yang hanya nilaunya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadapnuya. Bagi wang yang mempunyai nilai intrinsik seperti emas dan perak, atau juga dipanggil dinar dan dirham, walaupun nilainya juga ada naik turun, tetapi wang itu sendiri secara fizikalnya bernilai, dan nilai itu tersimpan dalam wang itu sendiri.

           
           

            Saya berikan satu contoh. Ada dua orang manusia yang ingin menyimpan hartanya dalam peti keselamatan selama 10 tahun. Keduanya ingin menyimpan harta yang bernilai Rm 10 ribu.  Manusia A menyimpannya hartanya yang bernilai Rm 10 dalam bentuk wang kertas dalam peti keselamatannya. Manusia B menyimpan hartanya yang bernilai Rm 10 ribu dalam bentuk kepingan emas dan perak. Setelah 10 tahun berlalu, siapakah yang dapat memegang dan menyimpan nilai itu dengan selamat? Jawapannya ialah Manusia B. Hal ini disebabkan nilai wang kertas akan semakin susut dan terdapat kemungkinan bahawa nilai wang fiat itu sendiri sudah tidak digunakan lagi 10 tahun kemudian dan digantikan dengan mata wang baru. Walau bagaimanpun, emas dan perak tetapi bernilai 10 tahun kemudian. Bahkan emas dan perak akan tetap bernilai selama-lamanya.



3.0 APLIKASI DINAR EMAS BAGI MENJAMIN KESTABILAN MATA WANG

3.1 Menyandarkan Mata Wang dengan Emas.

            Pertama ialah menyandarkan wang kertas pada emas. Ini sudah tentu bertentangan wang fiat. Apabila wang kertas disandarkan pada emas, maka bank tidak lagi dapat mencetak wang sewenang-wenangnya dan tidak dapat mencipta lebih banyak hutang. Dengan menggunakan kaedah sandaran pada emas ini, wang kertas akan berfungsi seperti cek. Dan kita dapat menukarkannya semula dengan emas pada bila-bila masa. Nilai wang juga akan terpelihara. Katakanlah sebagai contoh, ada spekulasi yang berlaku untuk menghilangkan kepercayaan terhadap mata wang ini, nilai mata wang ini tidak akan jatuh seperti wang fiat, kerana nilai wang kertas yang disandar pada emas, adalah tersimpan dalam emas itu sendiri, bukan bergantung kepada kepercayaan atau keyakinan orang terhadapnya seperti wang fiat yang kini digunakan.

3.2 Kerajaan Memiliki Simpanan Emas.

            Sesebuah kerajaan yang memiliki simpanan emas yang banyak, akan dapat menyelamatkan negaranya yang dilanda krisis, iaitu dengan menggunakan simpanan emas yang ada untuk menstabilkan mata wang. Antara caranya ialah dengan membayar hutang negara pada ketika nilai emas melonjak naik. Jual beli emas yang dilakukan dengan bijak oleh kerajaan akan dapat menstabilkan nilai mata wang negara dan meningkatkan lagi simpanan emas negara yang akan digunakan bagi membangunkan ekonomi negara selain dari sebagai persediaan bagi menghadapi krisis ekonomi dunia yang bole melanda pada bila-bila masa dalam sistem wang fiat pada masa kini.
           



3.3 Menggunakan Dinar Emas dalam Ekonomi Mikro.

            Kita boleh menstabilkan mata wang negara dengan cara kita sering berurus niaga dalam urusan jual beli emas. Walaupun emas tidak diiktiraf sebagai wang oleh kerajaan sebagai legal tender, namun emas tetap mempunyai nilainya. Ianya boleh digunakan dalam urusan perkahwinan sebagai mas kahwin, dan juga kerjasama dengan kedai-kedai dan syarikat-syarikat boleh dilakukan iaitu bagi urusan mendapatkan perkhidmatan atau jual beli barangan tertentu, dinar emas boleh digunakan sebagai alternatif kepada wang fiat. Selain dari memberi pendedahan kepada masyarakat tentang penggunaan dinar emas sebagai wang, aktiviti penggunaan wang fiat yang dikaitkan dengan jual beli emas akan menambahkan lagi keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap nilai wang fiat rasmi sesuatu negara. Secara keseluruhannya, mata wang fiat ringgit akan semakin stabil.
           

           
3.4 Menyimpan Nilai Wang dalam Dinar Emas.

            Seterusnya ialah menyimpan wang yang kita ada dalam bentuk emas. Katakanlah kita mempunyai wang simpanan sebanyak Rm 20 ribu, kita gunakannya untuk membeli emas, dan simpan. Apabila wang fiat negara kita mengalami kejatuhan, kita dapat menggunakan dinar emas untuk ditukar kembali kepada wang fiat. Sekiranya ini berlaku dalam skala besar di negara kita, iaitu penukaran dinar emas kepada wang fiat ketika nilai mata wang negara kita susut, ia akan memberikan mata wang negara kita kestabilan dan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan terhadap mata wang negara kita.




4.0 CABARAN PENGGUNAAN DINAR SEBAGAI MATA WANG DI MALAYSIA

4.1  Jual Beli secara Atas Talian(Online).
           
            Hari ini, urusan jual beli secara atas talian merupakan suatu perkara biasa. Membeli buku, kenderaan, pakaian dan pelbagai macam perkhidmatan dan kemudahan. Maka sekiranya kita menggunakan dinar emas sebagai mata wang, maka bagaimana harus kita sesuaikan ia dengan penggunaan sistem jual beli secara atas talian yang berlaku secara antarabangsa? Kita dapat lihat bahawa, urusniaga membeli barangan daripada luar negara merupakan perkara yang amat mudah pada hari ini. Kita hanya perlu pindahkan wang secara atas talian, dan barangan akan diposkan kepada kita.

            Jadi persoalannya bagaimana dengan adanya sistem jua beli atas talian, kita hendak harmonikan dengan dinar emas agar kita tidak dilihat sebagai gagal memberikan alternatif kepada perkembangan semasa dan sistem muamalat islam akan dilihat sebagai menyusahkan, serta tidak mampu menghadapai cabaran semasa? Ajaran islam bersifat universal maka sudah tentu sistem mualamatnya juga begitu. Maka, perlulah pakar ekonomi islam memikirkannya. Sekiranya masalah ini tak dapat diselesaikan maka penggunaan dinar emas sebagai mata wang adalah mustahil di negara ini.






4.2 Kepercayaan dan Keyakinan Terhadap Wang Fiat

            Penukaran mata wang merupakan perkara yang besar, apa lagi perubahan daripada penggunaan wang fiat kepada wang yang mempunyai nilai intrinsik. Umumnya kita sudah biasa munggunakan wang fiat, maka kita lihat wang fiat sebagai lebih mudah diterima oleh semua orang dan merupakan sistem terbaik pada masa kini bagi mereka. Ada juga yang mengatakan sekiranya menggunakan dinar emas, maka dompet juga akan berubah menjadi karung seperti zaman lampau. Maka emas itu berat untuk dibawa ke mana-mana dan menyusahkan. Oleh itu wang fiat masih lagi merupakan jawapan yang terbaik baik mereka. Ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.



4.3 Halangan daripada Bank.

            Bank tidak menerima emas sebagai wang. Maka menyimpan emas di bank tidak dikiran sebagai menyimpan wang. Maka selagi dinar emas tidak diiktiraf sebagai wang oleh pihak bank, iaitu pihak yang menguruskan wang di seluruh dunia, maka selagi itulah wang  dinar emas tidak akan diiktiraf  sebagai mata wang secara global, apa lagi di Malaysia. Maka pengiktirafan dinar emas sebagai wang perlulah diperolehi daripada institusi yang menguruskan wang, terutamanya perbankan islam. Pada masa kini, saya tidak lagi nampak ada bank yang mengiktiraf dinar emas sebagai mata wang. Mereka masih berpegang teguh kepada wang fiat sebagai wang yang sah.



4. Penggunaan YangTerhad

            Dalam penggunaan harian, masyarakat pastinya akan tertanya-tanya cara menggunakannya dan had penggunaannya. Kalau pun ada individu yang mempunyai dinar emas, maka bagaimana mereka ingin menggunakannya untuk membeli ayam, atau membeli belah di pasaraya? Seterusnya ialah dalam meneruskan kelangsungan hidup, kita perlu mendapatkan pelbagai keperluan dan menyelesaikan pelbagai hutang. Sekiranya perkhidmatan untuk berurus niaga dalam bentuk wang dinar emas tidak disediakan secara meluas, selagi itu masyarakat tidak dapat mula menggunakannya. Dan penggunaannya akan menjadi terhad. Tambahan pula, siapa dan berapa dalam kalangan masyarakat di negara kita yang mampu mempunyai dinar emas? Apa lagi ingin menggunakannya untuk urusan jual beli. Harga emas yang begitu mahal, membuatkan ramai yang tidak mampu mendapatkannya. Mendapatkan emas pun kaum muslimin rata-ratanya masih tidak berkemampuan, maka bagaimana ingin menggunakannya? Kalau saya ringkaskan, nak mempunyai wang fiat untuk memiliki wang dinar emas pun tak mampu, maka bagaimana nak guna dinar emas sebagai mata wang untuk menggantikannya? Dan bagaimana pula dengan cara pembayaran gaji penjawat awam dan swasta serta pekerja dometik? Bagaimana ingin selesaikan pertembungan wang fiat dengan wang dinar emas? Ini merupakan satu hal rumit yang di luar pengetahuan saya, dan  saya fikir, masih belum ada alternatif yang baik bagi menyelesaikannya.  



5.0 KESIMPULAN

            Dalam kehidupan seharian, sememangnya kita tidak dapat lari dari urusan jual beli dan pertukaran barangan bagi mendapatkan apa yang kita hendak dan apa yang kita perlu. Maka itulah antara tujuan sistem wang ini wujud. Sistem wang digunakan bagi urusan jual beli. Sepanjang sejarah manusia, kita menggunakan emas dan perak sebagai wang dan juga apabila berlaku kekurangan emas dan perak dalam pasaran, komoditi yang mempunyai jangka hayat akan digunakan bagi menggantikan emas dan perak. Perbezaan jelas dalam sistem wang dari perspektif islam dapat diihat dengan jelas jika kita bandingkannya dengan sistem wang fiat.

            Sebelum wang fiat diperkenal oleh kuasa barat, umat islam menerima dan menggunakannya sebagai wang. Hasil daripada mereka mencetak terlalu banyak wang kertas, dan mereka gagal  untuk menukarkannya semula kepada emas apabila dituntut, maka mereka telah menolak sistem wang yang disandarkan pada emas dan mula menggunakan wang fiat. Nilai wang fiat akan jatuh apabila pengguna hilang kepercayaan terhadapnya dan nilai akan naik apabila bertambah kepercayaan terhadap wang tersebut. Wang fiat itu sendiri tidak mempunyai nilai. Maka wang kertas gagal memegang nilai secara tetap, manakala dinar emas, sentiasa berjaya memegang nilai. Dan dinar emas akan sentiasa bernilai.

            Terdapat pelbagai cabaran dan cabaran yang paling besar ialah cabaran ilmu. Masyarakat perlu diberi ilmu pengetahuan tentang asal usul wang dan penggunaannya sepanjang sejarah tamadun manusia. Mereka juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang krisis kewangan, kelahiran sistem wang fiat, dan yang paling utama ialah, mereka perlu tahu dengan pasti, tentang hujah-hujah mengapa dinar emas adalah sistem mata wang terbaik bahkan ianya jauh mengatasi sistem wang fiat. Sebagaimana kata hikmah dari ilmuan iaitu, ”faham dahulu amal boleh menyusul”. Mereka perlulah dididik tentang sistem matawang dinar emas ini dengan baik terlebih dahulu.




RUJUKAN / REFERENSI

1. Imran Nazar Hossein.(2007). The Gold Dinar and Silver Dirham  Islam and The Future of Money. San Fernando : Majis Jami’ah.
2. Imran Nazar Hossein.(1997). The Prohibition of Riba in The Quran & Sunnah. New York : Masjid Darul Qur’an.
3. Investopedia.(2016). Fiat Money. Dimuat turun pada 10 Julai 2016 daripada
4.Financial Times.(n.d). Definition of Fiat Money. Dimuat turun pada 10 Julai 2016 daripada http://lexicon.ft.com/Term?term=fiat-money
5. Jack, S.(2012). Gold vs. Paper Money : Which Should We Trust More. Dimuat turun pada 11 Julai 2016 daripada http://www.bbc.com/news/business-18644230
6. Lewis, N.(n.d). Gold is Stable Money. Dimuat turun pada 11 Julai 2016 daripada

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.