[:::Ilmu:::] ~Bahagian 12~

by August 21, 2016 0 comments

Semua orang berbangga jika dipuji berilmu, terutamanya saya lihat belia-belia memuji rakan-rakan yang memberi nasihat-nasihat yang berguna, lebih-lebih lagi tentang melayari kehidupan dengan baik sebagai seorang muslim, akan dipuji sebagai banyak ilmu, atau ilmu tinggi. Ianya pada hemat saya adalah sebagai penghargaan yang tinggi  dan kemuliaan yang diberi atas manfaat nasihat-nasihat yang diperolehi. Oleh itu dapatlah kita lihat bahawa ilmu itu suatu keperluan dalam kehidupan kita.

Kadang-kadang bagi yang baru berasa dipuji berilmu, dirinya sudah berasa agak tinggi, dan melihat dirinya sendiri lebih mulia dari orang lain. Kadang-kala kekaguman terhadap ilmu sendiri boleh merosakkan jiwa kita. Kita akan mula melihat bahawa manusia-manusia sekeliling semuanya memerlukan nasihat kita, kerana kitalah yang berhak menasihati mereka, kita lupa pada diri kita sendiri, lupa kepada memperbaiki diri sendiri dan menasihati diri kita.

Pertamanya kita harus tahu dan benar-benar insaf bahawa ilmu itu kurniaan Allah s.w.t. Dan atas kurniaan ilmu daripaNya kepada kita, kita seharusnya makin bertambah kesyukuran kita dan semakin rendah diri kerana nikmat mengetahu sesuatu yang bermanfaat ialah nikmat yang cukup besar. Yang lebih utama adalah ke atas diri kita. Itu yang perlu kita perhatikan dan utamakan. Yang selain dari itu akan menyusul dengan sendirinya sesuai dengan keupayaan kita memikul amanah-amanah yang berikut.

Manfaat pula, ada yang bermanfaat hanya untuk kegunaan bagi kelangsungan hidup di dunia semata-mata dan ada yang bertujuan memenuhi tujuan kita diciptakan. Ilmu yang memenuhi tujuan kita diciptakan inilah yang lebih utama dituntut meskipun ianya tak semestinya memberikan keuntungan material atau kemewahan hidup di dunia.

Bila menyebut tentang kesenangan dan kemewahan, maknanya kita bercakap tentang kebahagiaan hidup Kebahagiaan  yang hakiki bukanlah terhad kepada perkara yang bersifat material, perasaan atau pun bersifat psikologikal.Menurut Yang Mulia Tan Sri Prof.Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kebahagiaan ialah suatu kesedaran dan keyakinan tentang kebenaran.

Maka itulah kebahagiaan sebenar yang perlu kita cari, dan itulah kebahagiaan yang sebenarnya sesuai dengan fitrah kita. Kebahagiaan ini bersifat kekal. Dan kita boleh tahu dan menikmati kebahagiaan ini semasa kita masi berada di dunia ini lagi. Ianya tidak berhubung terus dengan kekayaan dan kesenangan hidup. Tambahan beliau lagi, sungguh ada nabi yang hidupnya menderita, tetapi mereka tidak sengsara.Kesengsaraan itu adalah mereka yang tidak bahagia.

Mereka yang menderita tidak semestinya tidak bahagia, dalam erti bahagia yang disebutkan ini, iaitu suatu kesedaran dan keyakinan tentang kebenaran. Bila kita tahu tentang kebenaran sesuatu maka kita berkelakuan sesuai dengan kebenaran yang kita percaya dengan bersungguh-sungguh itu. Maka itulah iman. Iman bukan sahaja percaya tetapi berkelakuan sesuai dengan kepercayaan kita tentang kebenaran tersebut.

Saya teringat ada dinyatakan dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin karya Yang Mulia Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa, tiada ubat tentang ketiadaan iman melainkan ubatnya itu iman jua. Begitulah lebih kurang apa yang dinyatakan dalam karya tersebut.

Akhir kata, hanya mereka yang benar-benar beriman akan mencapai nikmat kebahagiaan.


Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.