Sebagai seorang hamba,yang sudah tentunya
menyedari bahawa dia tidak mempunyai apa-apa untuk membayar hutangnya,iaitu
hamba itu berhutang berkenaan dirinya itu diciptakan.Maka,yang ada pada dirinya
itu hanyalah kesedarannya,bahawa dirinya itulah hutang yang dimaksudkan
itu,maka perlulah dia membayar dengan dirinya sendiri.
Bayaran yang perlu dilakukan olehnya adalah
menyerah dirinya dalam bentuk berkhidmat,kepada tuannya.Berdasarkan perkara
ini,kita jelas bahawa mereka yang sedar hakikat ini,akan jujur dan ikhlas
memperhambakan dirinya,dengan cara memenuhi segala tuntutan,iaitu melakukan apa
yang disuruh,serta meninggalkan apa yang dilarang.
Dalam berbicara berkenaan hamba yang melaksanakan
tanggungjawabnya, sudah jelas kepada kita bahawa kewajipan hamba untuk menurut
perintah Allah s.w.t adalah perkara normal kerana perkara ini adalah
kecenderunga yang wajar sebagai makhluk yang diciptakan.Kecenderunga biasa
seorang hamba untuk menurut perintah serta menyembah Allah ini dinamakan
sebagai din,atau juga dipanggil fitrah.Secara faktanya, din juga bermaksud
fitrah,Al-Attas(1976).
Sebagai hamba Allah,manusia diberi amanah yang
besar,iaitu sebagai khalifah di muka bumi.Dengan melaksanakan amanah yang
diberi sebagai seorang khalifah juga memberi makna yang sama dengan
melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba.
Seorang khalifah Allah,diberi amanah,iaitu
tanggungjawab untuk memerintah menurut kehendak Allah.Bila menyebut soal memerintah,ianya
bukan sahaja terhad kepada skop memerintah dalah erti kata sosio-politik,tetapi
membawa maksud yang lebih asas iaitu memerintah,diri sendiri.Manusia diberi
kebebasan untuk mengambil tindakan,namun setiap tindakan yang diambil akan
dinilai oleh Allah.Maka,sebagai seorang pemerintah yang memerintah kerajaan
dirinya,dia perlu membuat keputusan,memilih tindakan,serta melakukan
perkara-perkara yang sesuai,dalam erti kata lain,berlaku adil kepada diri
sendiri.
Menurut Al-Attas(1976),sebagaimana seorang muslim
adalah khalifah tuhannya di muka bumi,seorang muslim itu juga merupakan
hambaNya,yang berusaha menyempurnakan khidmat yang diwajibkan ke
atasnya,menyempurnakan ibadahnya dalam cara yang diarahkan oleh tuhannya.
Sebagai tambahan Al-Attas(1993) juga berkata dalam
magnum opusnya,iaitu Islam and Secularism
,bahawa manusia diberi keupayaan intelektual untuk membezakan antara benar
dan salah,juga keupayaan untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.Antara
hadis yang masyur dari ibn Abbas,menyatakan bahawa manusia dipanggil
insan,kerana sesudah melakukan perjanjian pada hari itu(surah Al- ’A’raf 7:172)
yang disebut oleh Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kuliahnya
iaitu Saturday Night Lecture, yang berlangsung di UTM Jalan Semarak,Kuala Lumpur,bahawa
hari itu juga dipanggil ’hari alastu’ oleh beliau.
Sebagai hamba,yang melaksanakan tanggungjawabnya
ke atas dirinya,maka wajarlah dia berlaku adil kepada dirinya,dengan cara
menundukkan nafsu hayawaniyyahnya kepada nafs natiqahnya.Ini diterangkan dengan
jelas oleh Al-Attas(1993) bahawa manusia mempunyai dua sifat,yang tinggi iaitu
al-nafs al-natiqah,juga yang rendah,digelar al-nafs al-hayawaniyyah.