[:::Ilmu:::] ~Bahagian 9~

by June 13, 2016 0 comments
Ramai ke universiti. Buat apa ke universiti? Mencari ilmu. Ada yang mencari ilmu untuk mencapai kebenaran, ada yang mencari ilmu untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik. Tujuan universiti islam, sefaham saya adalah untuk menghasilkan manusia universal, insan kamil , insan adabi, yang mana kita dapat lihat semua itu jelas pada seorang insan mulia iaitu nabi kita Muhammad s.a.w.

Kita lihat pada hari ini dengan menggunakan mata hati kita, apakah universiti pada hari ini tujuannya ke arah itu? Apakah tujuan utama universiti2 ini adalah jelas untuk menghasilkan insan adabi? Kalau tidak, bermakna universiti itu gagal melaksanakan amanahnya sebagai institut yang berperanan sebagai tempat untuk kita menuntut ilmu, agar dengan ilmu yang kita ada, dapatlah kita, paling penting, berlaku adil pada diri kita terlebih dahulu. Ini dapat dilakukan setelah kita mengenal diri kita dan tempat duduk diri kita, setelah itu, letakkan diri kita pada tempatnya. Sedangkan hakikat manusia itu sendiri mempunyai hakikat dwiganda yang mana diri yang rendah perlu tunduk dan ditakluk oleh diri yang tinggi. Dan keadaan inilah yang dikatakan adil pada diri kita sendiri.

Saya ada juga terbaca seorang ilmuan besar menulis bahawa universiti pada hari ini adalah contoh yang baik ianya berada dalam keadaan yang zalim. Setiap fakulti di universiti itu bergerak dengan sendiri, seolah2 kaki dan tangan yang bergerak sendiri ke arah pilihan sendiri tanpa dipandu. Ibarat tidak berakal. Tidak jelas tujuan akhir sesebuah universiti itu secara keseluruhannya.

Institusi Keilmuan seharusnya menghasilkan ilmuan. Seharusnya menghasilkan insan yang mengenal apa itu ilmu. Mengenal hakikat ilmu. Insan yang berilmu dan beradab.

Apabila dikenal hakikat ilmu itu, maka dapatlah dikenali siapakah ilmuan yang sejati dan siapa yang palsu. Kita juga, dengan mengenali hakikat ilmu, dapatlah kita kenali siapa ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang ,yang sepatutnya amanah itu diberikan kepada mereka. Maka tugas seterusnya ialah memberikan amanah itu pada ahlinya. Maknanya, universiti perlu berupaya mengajar para penuntut agar kenal apa itu ilmu. Setelah itu tercapai, banyak masalah dapat diselesaikan secara sistematik apabila ahli-ahlinya mendapat amanah yang bersesuaian dengan diri mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka. Sebagai penuntut ilmu, kita perlu sentiasa ingat agar tidak merasa besar dan sombong dengan sedikit ilmu yang diberikan kepada kita oleh Allah s.w.t. Sedikit ilmu yang ada pada diri kita ini, seharusnya  mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur atas kurniaan ilmu ini. Kerana dengan ilmu yang bermanfaat yang dikurniakan, dapat kita tahu dan kenal banyak perkara. Kemudian berusaha meletakkan masing-masing pada tempatnya yang betul.

Janganlah pula kita mengambil sesuatu yang bukan amanah kita, yang hakikatnya tidak mampu kita tanggung. Ini juga suatu masalah. Kalau kita diberi suatu amanah yang mungkin terpaksa diterima atas sebab2 tertentu, maka kita haruslah berusaha agar mencapai keahlian itu. Dengan menuntut ilmu yang diperlukan bagi melaksanakan amanah yang diberi. Mintalah kepadaNya agar dipermudahkan segala urusan kita.

Di universiti pula kita sering kedengaran kata-kata seperti 'jangan memandai-mandai'. Maka, persoalan yang timbul di sini, bagaimana dapat kita bezakan orang yang pandai dengan orang yang tak pandai? Maknanya nak tahu siapa yang berilmu. Jawapannya tidak lain dan tidak bukan, tetaplah dengan ilmu. Tanpa mengetahui apa itu ilmu, tak mungkin dapat dikenali siapa itu ilmuan. Kerana ilmuan ialah mereka yang memiliki ilmu. Kalau tak dikenali apa itu ilmu, masakan dapat dikenal siapa yang memilikinya?

Saya teringat seorang Professor ada berkata, saya rasa beliau ialah Prof. Muhammad Zainiy Uthman. Beliau berkata, seorang jahil bertanya bagaimana mahu mengenal orang yang berilmu ialah ibarat seorang yang buta ingin tahu beza warna hitam dan putih. Begitulah lebih kurang ayatnya.

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.