PRINSIP MUAMALAT DALAM ISLAM DAN SISTEM PERBANKAN SECARA RINGKAS

by December 15, 2015 0 comments

PENGENALAN

            Sebagai seorang manusia yang hidup di atas muka bumi Allah, kita mempunyai keperluan-keperluan yang harus dipenuhi. Maka untuk mencapai keperluan-keperluan itu, kita umumnya berurusan semasa kita. Dalam urusan sesama kita, berlaku perlabagai proses bagi mendapatkan barang keperluan atau suatu perkhidmatan yang kita perlukan dalam menjalani urusan seharian kita.

            Fokus kita adalah berkenaan dengan ekonomi. Kita akan bincangkan dengan ringkas berkenaan prinsip muamalat dalam islam, penubuhan dan perkembangan sistem perbankan di Malaysia, serta produk-produk kewangan yang ditawarkan oleh bank yang bebas daripada riba ,ghara dan maisir.

            Perkara ini amat penting untuk kita ketahui kerana sebagai umat islam kita perlu pastikan urusan seharian kita dijalankan berlandaskan syariat islam agar mendapat keredaan Allah s.w.t.

            Sebagai pemula bicara, wajar kiranya kita menghayati ayat yang berikut :




Maksudnya : “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat): “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba,” padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.                                      
                                                                                        (Surah  Al-Baqarah: ayat  275)
           

            Apabila kita menghayati ayat di atas, kita harus sedar dan insaf  berkenaan larangan keras daripada Allah s.w.t agar meninggalkan riba. Perkara tentang riba ini ditekankan kerana kita akan berbicara tentans sistem perbankan islam. Bank merupakan satu institusi yang sering berkait rapat dengan penggunaan riba dalam sistemnya. Maka sebagai umat islam, demi maslahah umat islam, mengambil amanah bagi menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan sistem perbankan islam sebagai jalan penyelesaian kepada umat islam serta menawarkan produk-produk kewangan dalam islam yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam islam seperti riba, gharar dan maisir.

            Dalam kitab Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfazh al-Taqrib, menyatakan bahawa Riba secara bahasa bererti tambahan. Manakala dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan selainnya yang majhul(tidak diketahui) kesamaan nilainya dalam timbangan hukum islam ketika berlaku akad, atau dengan menangguhkan penyerahan kedua benda yang dijual-belikan atau salah satunya. Riba itu hukumnya haram.

            Maisir pula bererti memperoleh sesuatu dengan mudah tanpa berusaha, atau mendapat keuntungan tanpa bekerja. Maisir merupakan urusan yang terdapat elemen mendapatkan keuntungan dengan cara spekulatif, tidak jelas. Dengan kata lain,
keuntungan yang diperolehi adalah berbentuk spekulatif dan nasib. Kita memanggil perbuatan ini sebagai berjudi. Ayat berikut merupakan dalil bagi larangan judi :

Maksudnya :  Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala, megundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan kotor(keji) dan termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah(perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.
                                                                                                (Sural al-Maidah : ayat 90)


            Seterusnya ialaH berkenaan gharar. Gharar bermaksud pertaruhan,kekurangan serta menjerumuskan diri dalam kehancuran dan ketidak jelasan. Jual beli gharar adalah semua jual beli yang mengandung ketidakjelasan atau pertaruhan atau perjudian; atau semua yang tidak diketahui hasilnya atau tidak diketahui hakikat dan ukurannya.

Berikut merupakan antara dalilnya :


            نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ 
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang jual-beli al-hashah dan jual-beli al-gharar.”     
                                                       (Hadis Riwayat Muslim) 

            Begitulah secara ringkasnya pengenalan tentang perkara yang akan bincangkan dengan lebih terperinci dalam penulisan ini.


PRINSIP MUAMALAT DALAM ISLAM

            Seterusnya kita akan bicarakan prinsip-prinsip muamalat dalam islam. Muamalat memiliki prinsip-prinsip yang seperi berikut iaitu :


1.  Pada asasnnya segala bentuk muamalat adalah mubah(harus) kecuali ditentukan yang lain dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Segala bentuk transaksi dan kegiatan ekonomi adalah dibenarkan dalam islam melainkan terdapat larangan yang jelas dalam dalil serta aktiviti tersebut mempunyai unsur-unsur penindasan, penipuan dan perkara-perkara yang tidak jelas kedudukannya.



2. Muamalat dilakukan dengan secara sukarela tanpa unsur paksaan. Dalilnya ialah :
   
Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sekalian, sesungguhnya Allah adalah maha penyayang kepadamu.
                                                                                            (Surah An-Nisa’: ayat 29)


            Dalam kegiatan ekonomi umat islam, ianya dilakukan demi manfaat bersama. Tujuannya agar masing-masing dapat memenuhi keperluan masing-masing. Oleh itu, ianya tidak boleh dipaksa kerana individu yang dipaksa itu akan berada dalam keadaan ditindas dan keadaan ini boleh membawa kepada kezaliman. Umat islam dilarang daripada melakukan kezaliman.



3. Muamalat dilakukan atas dasar pertimbangan mendatangkan manfaat dan menghindari mudarat dalam bermasyarakat. Dalilnya ialah :


“Dari Ubadah bin Shamit; bahwasanya Rasulullah saw menetapkan tidak boleh berbuat kemudharatan dan tidak boleh pula membalas kemudharatan”.
                                                                        (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
           
      
      Dari prinsip ini, dapat kita fahamai bahawa tujuannya mesti mendatangkan manfaat. Sekiranya hasil kita melakukan sesuatu kegiatan ekonomi yang bertujuan mendatangkan mudarat kepada seseorang, maka ianya dilarang.



4. Muamalat dilaksanakan dengan memelihara nilai-nilai keadilan, menghindari unsur-unsur penganiayaan daripada mengambil kesempatan. Dalilnya ialah :



Maksudnya : Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”                                                              .
                                                                                        (Surah Al-Baqarah: ayat 279)


            Dalil di atas mengajar kita bahawa sentiasa berlaku adil. Hal ini kita dapat ketahui berkenaan larangan keras dari Allah berkenaan dengan Riba. Allah s.w.t melarang riba kerana ianya merupaka satu cara penindasan dan ianya merupakan satu kezaliman yang besar. Agar kita tidak menjadi insane yang menindas insan yang lain lalu mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t Maka ianya menjadi suatu keperluan untuk kita mengetahui selok belok soal muamalat dengan ringkas agar ianya menjadi peringatan kepada kita semua.





SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN SISTEM PERBANKAN DI MALAYSIA

            Pada tahun 1970-an terdapat suara-suara dan agensi-agensi yang menyarankan kepada kerajaan Malaysia agar menubuhkan Bank Islam untuk memenuhi keperluan umat islam di Malaysia.

            Semasa Kongres Ekonomi 1980, resolusi yang memerlukan kerajaan membenarkan Lembaga Tabung Haji untuk menubuhkan Bank Islam bagi tujuan mengutip dan melaburkan wang yang dimiliki oleh umat islam diluluskan.

            Pada tahun 1981, ketika Seminar Kebangsaan berkenaan Konsep Pembangunan dalam islam, para peserta menggesa agar kerajaan mewujudkan satu undang-undang khas untuk membenarkan penubuhan bank dan badan kewangan yang cara operasinya adalah berdasakan prinsip-prinsip islam.

            Maka, pada tahun 30 Julai 1981, kerajaan menubuhkan National Steering Committee untuk Bank Islam. Ianya dipengerusikan oleh Tan Sri Raja Mohar bin Raja Baidozaman. Badan ini berperanan mengkaji sistem Faisal Islamic Bank of Egypt dan Faisal Islamic Bank of Sudan.Hasil kajian dihantar pada kerajaan pada 5 Julai 1982. Berikut merupakan cadangan yang diberi berdasarkan hasil kajian mereka :

a. Bank Islam yang beroperasi berdasarkan prinsip syariah harus ditubuhkan.

b. Bank Islam akan diletakkan sebagai syarikat dibawah Akta Syarikat 1965.

c. Oleh sebab Akta Perbankan 1973 tidak dapat sesuai untuk operasi Bank Islam, maka Akta Perbankan baru perlu diperkenalkan iaitu Akta Perbankan Islam 1982, bagi memberi lesen serta memantau Bank Islam.
d. Bank Islam akan menubuhkan Lembaga Penasihat Syariah mereka yang berfungsi untuk memastikan operasi perbankan islam adalah selari dengan undang-undang syariah.

            Pada 7 April 1983, Aktan Perbankan Islam 1983 diluluskan. Akta Pelaburan Kerajaan 1983 juga diluluskan agar kerajaan dapat memberi Sijil Pelaburan Kerajaan berdasarkan Prinsip Syariah.

            Bank Islam pertama yang beroperasi di Malaysia ialah Bank Islam Malaysia yang mula beroperasi pada 1 Julai 1983. Pada 1999, Bank Islam yang kedua ditubuhkan.

            Pada awal tahun 1993 dan pada 4 mac 1994, Central Bank of Malaysia melancarkan skim bebas kadar faedah. Melalui skim ini, institusi kewangan dibenarkan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan islamik.

            Pada 1 May 1997,  Central Bank of Malaysia menubuhkan Panel Penasihat  Syariah Kebangsaan untuk Perbankan Islam dan Takaful(NSAC).

            Pada 1 Oktober 1999 Bank Islam kedua iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad ditubuhkan. Ianya hasil dari gabungan Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan Bank of Commerce(M) Berhad. Bank kedua ini memulakan operasi dengan mempunyai 40 cawangan dan 1,000 orang staf.

            Pada 27 May 2004, Kuwait Finance House diberikan lesen untuk beroperasi di Malaysia. Seterusnya pada 14 Oktober 2004, Al Rajhi Banking & Investment Corporation, Qatar Islamic Bank antara yang mendapat lesen mereka untuk beroperasi.

            Tidak lama kemudian, terdapat 17 Institusi Perbankan Islam. 2 Bank Islamik Antarabangsa, dan 16 Operasi Perbankan Islamik yang beroperasi melalui bank komersial, bank pelaburan dan institusi perkembangan kewangan.

            Pada akhir 2008, aset Perbankan Ismail mempunyai 17.4% daripada jumlah aset perbankan sistem kewangan malaysia.(Bank Negara Malaysia, 2008).

            Begitulah secara ringkas perkembangan bank di Malaysia daripada mula penubuhannya sehingga tahun 2008. Perkembangan bagi tahun yang seterusnya tidak dapat ditulis akibat kekurangan data dari sumber rujukan yang berkualiti.
           




PRODUK KEWANGAN YANG BEBAS RIBA, MAISIR. DAN GHARAR DAN PERKAITANNYA DENGAN CIRI-CIRI MUAMALAT

1.  Pajak Gadai-i Ar-Rahnu daripada Bank Rakyat.

            Rahn merujuk kepada kontrak cagaran atau gadaian. Ringkasnya, rahnu menjadikan sesuatu aset sebagai jaminan kepada pembiayaan atau pinjaman, agar pembiayaan atau pinjaman tersebut boleh dilunaskan dengan nilai aset jaminan tersebut sekiranya penerima biaya atau peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya.        

            Sistem pajak gadai-i Ar-Rahnu ini menawarkan pembiayaan tunai segera dan mudah sehingga Rm 50,000 dengan kadar upah simpan yang rendah berdasarkan tiga prinsip syariah iaitu:

a. Al-Qardh iaitu pinjaman tanpa faedah.

            Ini sesuai dengan prinsip muamalat dalam islam serta bebas daripada riba. Ianya bersifat tolong-menolong dan saling bantu-membantu sesama islam.

b. Al-Wadiah Yad Dhamamah iaitu simpanan dengan jaminan ke atas barang gadaian.

            Prinsip ini sesuai dengan prinsip muamalat dalam islam iaitu bebas daripada gharar kerna jelas dalam kontrak iaitu simpanan barang gadaian itu dijamin. Ianya berkaitan dengan akad di antara pemilik barang dengan pihak yang menyimpan barang tersebut.

c. Al-Ujrah iaitu Upah simpan.

            Upah simpan merupakan upah yang dibayar kepada pihak bank kerana menyimpan serta menjamin barang yang digadai. Ia tidak mengenakan faedah kepada pinjaman, tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan barang gadaian tersebut.



Keistimewaan produk ini ialah :
a. Bebas daripada unsur riba.
b.Tiada Yuran Proses
c. Kadar Upah dikira secara harian.
d. Tempoh gadaian yang lama.
e. Barang kemas disimpan dengan selamat dengan perlindungan Takaful.
f. Urusan niaga telus dan dibuat dihadapan pelanggan di dalam bilik khas.

 Had Gadaian :
a. Minimum Rm 100.
b. Jumlah terkumpul maksimum Rm 50,000 atau Rm 10,000 sehari.

Tempoh Gadaian :
a. 6 bulan hingga maksimum 18 bulan daripada tempoh gadaian.

Gadaian yang diterima :
a. Memiliki barang kemas(emas) 18K- 24K
b. Barangan emas 22K-24K

Upah simpan :
a. Mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak Bank Rakyat.


 Dalilnya bagi mengharuskan sistem pajak gadai ialah :



Maksudnya : ......Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

                                                                                                  (Surah al-Maidah : ayat 2)


            Produk yang ditawarkan memenuhi syarat dalil di atas dan juga dalil :





Maksudnya : Jika kamu dalam perjalanan (dan bermu`amalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebagian kamu mempercayai sebagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
                                                                                       (Surah al-Baqarah : ayat 283 )



2. Kad Debit-i daripada Bank Rakyat.

            Kad Debit-i Bank Rakyat (Kad Orchid) boleh digunakan untuk urusniaga runcit dan pengeluaran tunai di semua premis saudagar dan juga institusi kewangan yang menerima urusniaga/transaksi MasterCard di seluruh dunia. Ia juga adalah merupakan alternatif kepada tunai dan cek. 


Konsep Syariah :

a. Wakalah bil Ujrah.

            Wakalah merupakan sebuah kontrak yang melibatkan satu pihak(principal/Muwakkil) mewakilkan satu pihak yang lain(wakil) bagi melaksanakan tugasan tertentu yang patuh syariah, sama ada secara sukarela atau dengan bayaran upah.



            Dalil bagi membolehkan wakalah atau mewakili seseorang bagi perkara tertentu ialah :

            

Maksudnya : Dan jika kamu khawatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga laki-laki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan, niscaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
                                                                                           (Surah An Nisa : Ayat 35)


            Dalil diatas membolehkan wakil digunakan bagi menyelesaikan sesuatu urusan.
Ujrah pula ialah komisen atau yuran perkhidmatan yang digunakan ke atas perkhidmatan yang diberi. Dalil bagi mengharuskan upah bagi kerja yang dilakukan ialah :




Maksudnya : Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.

                                                                                                     (Surah al-Qasas : ayat 26)


3. Akaun Simpan-i oleh Bank Rakyat.

Akaun Simpanan-i Bank Rakyat adalah saluran selamat untuk anda menyimpan wang berlandaskan kontrak Wadi`ah Yad Dhamanah dan wang anda boleh dikeluarkan pada bila-bila masa apabila diperlukan.

a.) Kontrak Wadi`ah merupakan mekanisme yang membenarkan seseorang untuk mengamanahkan aset miliknya kepada seseorang yang lain bagi tujuan simpanan.

b.) Bank bertindak sebagai penyimpan atau pemegang amanah bagi dana yang didepositkan oleh pelanggan dalam bank.

c.) Memandangkan pelanggan lazimnya membenarkan bank menggunakan deposit yang disimpannya, maka bank bertanggungjawab untuk menjamin deposit tersebut dan atas budi bicara, pihak bank boleh memberikan hibah kepada pelanggan.

            Wadiah Yad Dhamamah pula bermaksud penerima aset tersebut dapat memanfaatkan asset tersebut dengan izin pemiliknya dan menjamin untuk mengembalikan asset tersebut pada bila-bila masa mengikut kehendak pemiliknya. Dalilnya ialah :




“Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhakmenerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di anatara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat “
                                                                                            (Surah An-Nisa : ayat 58)


                        Ayat di atas menunjukkan arahan kepada kita berkenaan pentingnya menyampaikan amanah kepada yang berhak serta berlaku adil. Inilah yang dijadikan sandaran dalam konsep syariah iaitu  Wadi’ah dan Wadi’ah Yad Dhamamah.



KESIMPULAN
            Kita dapat lihat dan fahami bahawa usaha-usaha yang ikhlas serta bersungguh-sungguh dilakukan oleh para ilmuan islam yang arif dalam fiqh ekonomi islam. Mereka berusaha untuk mencari penyelesaian untuk menyelesaikan masalah ekonomi terutamanya soal sistem perbankan demi menjaga maslahat umat islam. Sistem-sistem bank konventional umumnya menggunakan riba iaitu mengambil keuntungan atas dasar memberi pinjaman. Walhal, dalam ajaran islam riba ialah suatu yang dilarang kerana ianya melibatkan seseorang yang terlibat memberi pinjaman lalu mengenakan kadar faedah, mengambil untung dengan cara yang mudah tanpa perlu bekerja dengan kerja yang setimpal bagi mendapatkan keuntungan seperti itu. Riba juga merupakan satu alat penindasan untuk membolehkan yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin akan terus terperangkap dalam kemiskinan hasil dari terperangkap membayar hutang dan bunga yang tidak berkesudahan.

            Maka atas dasar itu, ilmuan islam menawarkan sistem perbankan islam sebagai alternatif agar umat islam dapat memberi contoh sistem perbankan yang adil bagi menarik umat islam serta yang bukan islam agar menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Produk-produk yang ditawarkan juga memberikan kemudahan kepada para pelanggan untuk memenuhi keperlua mereka seperti menyimpan wang dan memajak gadai barangan mereka.

            Selain itu, walaupun usaha sudah dilakukan, kita perlulah sentiasa melihat, menilai dan memberi cadangan bagi penambahbaikan sistem perbankan islam. Contohnya ialah dengan mempermudahkan urusan pinjaman atau pembiayaan tanpa karenah birokrasi yang akan melambatkan serta memudaratkan pelanggan sekiranya mereka tidak mendapatkan wang dalam tempoh terdekat bagi melangsaikan urusan seharian mereka.


            Seterusnya, pihak bank perlulah menyediakan seorang staf yang khas untuk membantu golongan-golongan tua yang mempunyai masalah untuk mengisi borang, serta membantu mereka dalam menyelesaikan urusan mereka dengan efisien, selain daripada menyediakan kaunter pertanyaan.

            Akhir sekali, ialah dari segi komunikasi. Staf bank yang bertanggungjawab menjelaskan tentang produk-produk tertentu perlulah dilatih agar berbicara sesuai dengan tahap pendidikan pelanggan. Hal ini kerana ramai pelanggan tidak dapat memahami apa yang diterangkan. Maka apa yang harus dilakukan ialah elakkan menggunakan istilah yang jarang didengar serta mempermudahkan penyampaian dengan memberi contoh yang mudah serta analogi yang berkesan agar pelanggan dapat memahami produk-produk yang diterangkan dengan baik.
                                                                                            


          

APENDIKS

1. Ibnu Qasim al-Ghazi.(2013). Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib. Selangor : Al-Hidayah.

2. Sudin Haron & Wan Nursofiza Wan Azmi. (2009). Islamic Finance and Banking System Philosophies, Principles & Practises. Selangor : McGrawHill.

3. Khalid Shamhudi. (n.d.). Kaidah Dasar Memahami Fikih Ekonomi Islam. Dimuat turun pada 4 November 2015 daripada http://www.alsofwah.or.id/cetakekonomi.php?id=128&idjudul=118

4. Abu Muawiah.(2008). Tidak Boleh Ada Gharar dalam Muamalat. Dimuat turun pada 4 November 2015 daripada http://al-atsariyyah.com/tidak-boleh-ada-gharar-dalam-muamalat.html

5. Rasidi Rasyid.(2013). Maksud Maisir(judi) dan Dalil Quran. Dimuat turun pada 4 November 2015 daripada http://etiqatakafulrara.blogspot.my/2013/01/maksud-maisir-judi-dalil-al-quran.html

6. Hanan Wihasto.(2014). Maisir, Gharar dan Riba. Dimuat turun pada 4 November 2015 daripada http://hanan-wihasto.blogspot.my/2014/04/maisir-gharar-dan-riba.html

7. Askari Jamal. (2011). Allah Menghalalkan Jual Beli dan Mengharamkan Riba. Dimuat turun pada 5 November 2015 daripada http://amzan.faa.im/allah-menghalalkan-jual-beli-dan-menghar.xhtml

8. Ruslan Fariadi.(2015). Prinsip Dasar Fikih Muamalat. Dimuat turun pada 5 November 2015 daripada http://tuntunanislam.com/prinsip-dasar-fiqih-muamalah/

9. Maulan, R.. (n.d). Pengantar Fiqh Muamalat. Dimuat turun pada 5 November 2015 daripada http://www.takafulumum.co.id/upload/literasi/pengetahuan/Pengantar%20Fiqh%20Muamalah%201.pdf

10. Rahmat Yudistiawan.(2013). Ayat-ayat Hukum tentang Mediasi Perselisihan Suami Isteri dalam Surah  An-Nisa ayat 34 dan 35. Dimuat turun pada 5 November 2015 daripada https://rahmatyudistiawan.wordpress.com/2013/01/23/ayat-ayat-hukum-tentang-mediasi-perselisihan-suami-istri-dalam-surah-an-nisa-ayat-34-dan-35-oleh-rahmat-yudistiawan/



Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.