Kesyumulan Islam

by June 29, 2015 0 comments
BAB 1 : PENGENALAN


            Islam merupakan agama yang menyeluruh dan mencakupi segenap aspek kehidupan manusia. Kesempurnaan ajaran islam ini boleh dilihat dalam kebolehannya memberi jawapan serta menyelesaikan segala aspek dalam kehidupan seorang manusia dari aspek pendidikan,ekononi,undang-undang serta memberikan jawapan yang tepat dan betul bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

            Dalam penulisan ini saya menyentuh berkenaan pendidikan , ilmu, makna kebahagiaan dalam pandangan islam , pengurusan kewang iaitu perbankan islam , peranan mahkamah syariah dan ciri-ciri kerajaan islam dengan merujuk kepada beberapa sumber dan penulisan karya-karya tokoh yang berautori dalam bidang masing-masing seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas tokoh tempatan negara kita, Imran Nazar Hossein yang sering mengunjungi Malaysia untuk memberi syarahannya berkenaan sistem kewangan islam dan aspek riba, Muhammad Asad, penulisan dari sarjana di IKIM(Institut Kefahaman Islam Malaysia) dalam bidang mahkamah syariah serta laman sesawang rasmi Bank Negara Malaysia berkenaan beberapa info bersabit dengan perbankan islam.

            Contoh-contoh yang diberikan dalam penulisan ini adalah untuk menunjukkan dengan sebaiknya berkenaan dengan ciri-ciri syariah yang bersifat syumul. Saya berfikiran bahawa sekurang-kurangnya penulisan saya ini memberikan gambaran yang memuaskan dalam mencapai objektif penulisan saya.




BAB 2 : CIRI-CIRI KESYUMULAN ISLAM
A.PENDIDIKAN DALAM ISLAM

            Kehebatan dan kemuliaan serta martabat seseorang umumnya dilihat dari tahap pendidikannya. Maka dalam islam, mempunyai konsep-konsep mendidik yang tersendiri yang mendidik umat islam agar menjadi seorang insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.Tidak seperti fahaman-fahaman tertentu yang menafikan kewujudan hidup sesudah mati,mereka hanya memberi perhatian kepada kejayaan di dunia sahaja kerana pada pandangan mereka hidup sesudah mati itu tidak ada kerana tidak dapat dibuktikan. Walau bagaimanapun, kita menerima sebagai suatu yang benar-benar ada kerana kita menerima al-Quran itu sebagai kalam Allah yang ditujukan kepada sekalian manusia yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Di sinilah beza utama dalam aspek pendidikan iaitu penerimaan atau penolakan al-Quran itu sebagai wahyu yang diturunkan oleh Tuhan yang menjadikan sekalian alam semesta ini. Titik perbezaan utama pendidikan dalam islam bermula di sini.

            Di sinipun sudah menunjukkan kesyumulan islam kerana pendidikan pada pandangan islam mencakup segenap kehidupan, dari lahir hinggalah meninggal dunia dan juga membicarakan aspek-aspek,ciri-ciri serta nasib hidup sesudah mati yang dipengaruhi oleh cara kita menjalani hidup di dunia ini,sama ada bertentangan atau selari dengan ajaran islam.

            Untuk menyentuh dengan lebih dalam sebagai contoh, ilmuan islam membicarakan dengan mendalam berkenaan soal ilmu. Ilmu adalah ketibaan makna kepada diri, iaitu Allah s.w.t sebagai sumber Ilmu(al-Attas, 1980.).





            Dengan ilmu manusia akan dapat membezakan benar dan salah.Serta dengan ilmu manusia akan takut kepada Allah s.w.t,taat kepada perintahnya dan akan menjadi hamba yang bersyukur kerana telah diciptakan oleh Allah s.w.t. daripada tiada kepada ada.Seterusnya,martabat orang yang berilmu itu berbeza dengan orang yang tidak berilmu.Disebut dengan jelas aspek ilmu ini oleh Allah s.w.t  :




"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

(Az-Zumar 39 :  9)


            Ayat ini menerangkan lagi bahwa orang yang sempurna akalnya sudah pasti akan mengakui dan megiktiraf orang-orang yang ilmu, dan orang yang benar-benar menggunakan akal yang diberi akan menuntut ilmu agar dapat menjadi hamba Allah yang berjaya dalam perjalanan kehidupannya dan mendapat keredhaanNya.



B. KONSEP KEBAHAGIAAN DALAM ISLAM

            Menyebut soal hidup dan mati,tidak lari dari persoalan berkenaan hidup yang bagaimana yang diinginkan? apakah yang dicari dalam hidup ini? dan bagaimanakah cari untuk mendapatkan apa yang dicari itu? Bagi menjawab persoalan ini, islam menawarkan jawapan yang tepat. Dan ini merupakan bukti yang tidak dapat dinafikan lagi berkenaan aspek syariah islam yang mencakupi segenap kehidupan insan. Apabila direnung dan diperhatikan, kita akan lihat manusia menyibukkan diri dengan pekerjaan dunia. Untuk apa? Ini adalah agar moga-moga dengan usaha yang mereka lakukan itu,mereka akan akhirnya berjaya mengecapi nikmat kebahagiaan hidup. Ada yang berfikiran bahawa mempunyai harta yang banyak, pasangan hidup yang baik, anak yang ramai ,pangkat yang besar itu merupakan ciri-ciri seseorang itu berada dalam keadaan bahagia.

            Tetapi,bila dilihat sekali lagi,ternyata ianya tidak benar secara sepenuhnya. Kita lihat, ramai artis yang mempunya pasangan hiduo yang berupa paras cantik dan menarik,juga mempunyai masalah rumah tangga,seperti perceraian. Mereka yang mempunyai harta juga tidak berasa cukup dengan harta yang ada,dan sentiasa mahukan lagi agar dapat lebih bahagia,namun dalam mencari harta itu,tetap tidak juga berasa bahagia. Maka,apakah maksud bahagia yang sebenarnya? Dan apakah erti bahagia yang dimaksudkan dalam islam?

            Untuk memahami bahagia pada pandangan alam islam, kita pergi dahulu kepada lawan bagi perkataan bahagia,iaitu sengsara. Apabila menyebur soal kesengsaraan, dan bila difikirkan dan direnungkan dengan mendalam berkenaan kesengsaraan, kita akan jelas dalam benak fikiran kita bahawa ianya adalah suatu keadaan dalam diri kita sendiri.
Dan, antara kesengsaraan yang paling dasyat ialah keraguan. Kekasih yang bercinta, putus hubungan percintaan kerana timbul keraguan berkenaan kesetiaan pasangan kekasihnya, peniaga dan pelanggan tidak berjual beli kerana ragu-ragu akan harga barangan serta kualiti barangan.


            Dan seseorang itu tidak akan menggunakan sebarang ubat-ubatan untuk menyembuhkan sakit yang luka apabila dia sendiri ragu-ragu dengan keberkesanan ubat itu atau ragu-ragu dengan apa yang diperkatakan oleh doktor itu sendiri.

            Lawan kepada perkataan keraguan ialah keyakinan. Oleh itu, islam berbicara soal iman,soal yakin. Dan menurut Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas(2002), ”Happiness is when doubt is removed”. Ini membawa maksud bahawa kebahagiaan itu dapat dicapai apabila keraguan itu dapat dibuang dalam diri seseorang. Dalam keadaan ragu-ragu seseorang itu tidak mungkin dapat mencapai kebahagiaan. Kita dapat lihat, bagi manusia yang menolak Wahyu Allah, mereka akan menolak berkenaan hidup sesudah mati, maka mereka akan ragu-ragu berkenaan apakah ada hidup sesudah mati? Hidup yang bagaimana? Dan mereka sangat takut untuk meninggalkan segala nikmat dan kemewahan hidup di dunia ini. Namun,mereka terpaksa akur, bahawa tiada manusia yang pernah terlepas dari takdir menemui mati dalam perjalanan hidup mereka. Oleh itu dalam hati mereka, perasaan kesengsaraan yang sangat dasyat sentiasa menyelubungi hati mereka.

            Islam menjelaskan bahawa hidup sesudah mati itu pasti dan mereka akan diberikan ganjaran sesuai dengan amalan yang dilakukan oleh mereka di dunia ini. Umat islam yang benar-benar yakin dan beramal dengan ajaran islam, akan jelas dan yakin bahawa balasan yang baik adalah untuk mereka yang beramal baik serta yang paling utama ialah menyerah diri kepada Allah s.w.t dengan mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Oleh itu hanya dengan menerima islam sebagai panduan hidup, manusia akan benar-benar merasai kebahagiaan hidup,serta berjaya dalam hidup di dunia dan diakhirat. Hati mereka akan menjadi tenang, serta menganggap segala yang berlaku di dunia ini adalah ujian daripada Allah s.w.t untuk menguji hambaNya. Penjelasan ini menunjukkan kesyumulan islam dalam erti kata memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang lurus dan sudah tentunya ia jalan yang wajib diikuti kerana ditunjukkan oleh Pencipta sekalian alam dan pencipta manusia itu sendiri.

C. EKONOMI : LARANGAN RIBA

            Riba ialah memberi pinjam dan meminjam dengan adanya kadar faedah. Riba ialah suatu bentuk penindasan yang disebut oleh Allah s.w.t  dalam  ayat berikut :



Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan (iaitu laburkan) dengan riba, supaya bertambah (iaitu keuntungan) kembangnya dalam pusingan harta manusia (iaitu dari penat lelah orang lain) maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (jadi Allah tidak bersetuju dengannya). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
(Surah Ar- Rum 30 : 39)




            Seterusnya, ayat al-Quran berikut menjelaskan bahawa urus niaga jual beli adalah tidak sama dengan Riba. Ini disebabkan riba hanyalah memberi keuntungan pada sebelah pihak dan menindas pihak yang lain,manakala jual beli adalah melibatkan kepuasan bersama dalam urusniaga tersebut,malah diberi amaran keras terhadap mereka yang mengamalkan riba :








Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

(Al-Baqarah 2 : 275 )


            Dalam aspek urus niaga, iaitu bab ekonomi umat islam, terdapat panduan-panduan yang ditetapkan dalam islam agar semua pihak mendapat hak masing-masing dalam urusan jual beli seadilnya. Ini merupakan satu contoh yang jelas berkenaan kesyumulan syariat islam dalam aspek muamalat.


D. Kerajaan Islam (Islamic State)

            Manusia berkembang dari individu, kemudian individu-individu itu membina keluarga, yang terdiri dari isteri anak-anak dan lama-kelamaan pelbagai keluarga di suatu kawasan saling berkembang,berkembang menjadi masyarkat, dan dari pengurusan masyarkat, ianya akan menjadi semakin kompleks dan akan terbinanya sebuah kerajaan untuk menguruskan pelbagai aspek kehidupan yang menjadi tanggungjawab kerajaan  agar rakyat dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Oleh kerana syariah islam itu lengkap, maka sudah tentu ianya termasuk dalam memberi garis panduan yang betul dalam mentadbir sesebuah kerajaan selari dengan ajaran islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
           
            Saya memetik kata dari seorang tokoh , ”A state inhabited predominantly or even entirely by muslims is not necessarily synonymous with an ’Islamic state’ : it can become truly Islamic only by virtue of conscious, application of the social political tenets of islam to the life of the nation,and by an incorporation of those tenets in the basic constitution of the country ”(Muhammad Asad, 1999).

            Berlandaskan apa yang dinyatakan oleh beliau, sesuatu kerajaan itu akan menjadi kerajaan islam apabila pentadbirannya menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama. Sesebuah pentadbiran itu haruslah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, oleh itu undang-undang yang digubal adalah perlu memenuhi tuntutan itu agar keadilan dapat ditegakkan. Sesebuah kerajaan itu umumnya mempunyai perlembagaannya tersendiri, dan perlembagaan itu haruslah mempunyai nilai-nilai keadilan seperti yang dituntut oleh islam. Undang-undang islam yang umumnya disebut sebagai hudud adalah bermaksud batasan dari perkataan hadd. Maka dalam konteks umum,sesuatu hukuman yang ditetapkan atau undang-undang yang digubal hendaklah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan agar tidak menzalimi si pesalah lalu melampaui batas dalam menghukum. Dan ini memerlukan pakar iaitu ahli fiqh atau ahli perundangan,jurisprudens yang memahami hukum islam dengan mendalam.

BAB 3 : APLIKASI SYARIAH DALAM BIDANG DI MALAYSIA


A.MAHKAMAH SYARIAH

            Dalam menjalani kehidupan seharian di bumi yang fana ini,sebagai seorang muslim sudah tentu akan ada masa-masa kita ditimpa masalah. Maka, mahkamah syariah diberi kuasa untuk menguruskan hal ehwal orang islam iaitu hukum syarak berkenaan harta wasiat, pertunangan ,perkahwinan,perceraian, nafkah, pengambilan anak angkat, pembahagian harta, menghukum orang islam yang melanggar undang-undang islam dan sebagainya.Mahkamah syariah berperanan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan akidah umat islam serta memastikan perkara yang diputuskan adalah selari dengan kehendak syarak.

            Sungguhpun bidang kuasa dikurniakan kepada mahkamah syariah tidaklah seluas mahkamah sivil, namun dalam bidang kuasa yang terhad itu, apabila dilaksanakan dengan adil, maka ianya pasti akan mendapat pengiktirafan masyarakat serta diberi kepercayaan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dibawa bidang kuasa mahkamah ini. Namun harus kita ingat, ianya tidak memberi maksud bahawa mahkamah sivil itu bercanggah dengan islam, kerana badan kehakiman pada dasarnya adalah bertujuan untuk memberi keadilan kepada pihak yang terlibat dalam proses perundangan tersebut.Harus kita beri perhatian bahawa undang-undang dalam badan kehakiman mempunyai satu tujuan besar, iaitu memberi keadilan. Maka, untuk melihat,menilai dan memperbaiki kekurangan dari segi kefahaman dan pelaksanaan sama ada dari segi mahkamah syariah, mahupun mahkamah sivil, ianya memerlukan ahli-ahlinya. Dan untuk menjadi ahlinya perlukan ilmu.Itulah hikmah disebalik wahyu pertama yang mengajak manusia menuntut ilmu agar dengan ilmu adanya ilmu yang mendalam,setiap perkara itu dapat diletakkan pada tempatnya masing-masing dengan betul.

           
B.PERBANKAN ISLAM

            Perbankan Islam adalah satu sistem perbankan berlandaskan lunas dan prinsip Syariah dan didukung oleh sistem ekonomi Islam. Mengharamkan pengambilan riba’ (mengumpul dan memberi faedah), pengenaaan kadar faedah yang terlalu tinggi kepada pinjaman dan perniagaan yang tidak halal di sisi Islam. Sistem kewangan islam ini adalah satu inisiatif oleh umat islam bagi melepaskan diri dari jerat penindasan yang umumnya terdapat dalam system konvetional yang mengenakan riba pada peminjamnya. Sistem ini dilihat sebagai satu alternatif baik yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan umat islam dan bukan islam.

            Terdapat 10 konsep yang biasa digunakan dalam perbankan islam seperti 
 mudharabah (perkongsian untung) , murabahah (kos tokok) , wadiah (simpanan)   , musyarakah (usaha sama), bai’ bithaman ajil (pembayaran jualan tertangguh) , wakalah(agensi),  qardhul hassan (pinjaman ihsan) , ijarah thumma al bai’(sewa beli) ,  bai’ al-inah (perjanjian jual dan beli balik) , hibah (hadiah).

            Dengan beroperasinya perbankan islam yang didakwa menepati kehendak syariah islam, satu penyelesaian sangat baik yang ditawarkan ini wajar diambil dalam menyelesaikan perkara yang bersabit dengan urusan jual beli agar kita bebas daripada cengkaman riba, lalu  membawa kita kepada menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t kerana Allah s.w.t  dan rasulNya mengistiharkan perang kepada umat islam yang enggan meninggalkan riba serta diberi penegasana bahawa jika seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya pasti akan menitikberatkan soal riba dan meninggalkan serta merta apabila mengetahui dirinya terlibat dengan riba.




C. ASPEK PENDIDIKAN

            Dalam bidang pendidikan kita mementingkan cara mendidik dengan betul.Dan mendidik dalam konteks islam bukanlah untuk menghasilkan manusia yang cemerlang dunia sahaja,bahkan cemerlang dunia dan akhirat menjadi sasaran kerana hidup di kahirat adalah suatu hidup yang kekal abadi. Kebahagiaan atau kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat bergantung kepada cara seseorang itu memahami tujuan dia diciptakan serta tujuan akhirnya dalam hidup.Perkara inilah yang dididik ke dalam diri seseorang insan sebagai seorang muslim.

            Tujuan pendidikan adalah untuk menghasilkan manusia yang baik. Sudah tentu manusia yang baik merupakan manusia yang mempunyai adab dalam setiap perbuatannya mahupun pergaulannya sesama insan  bahkan menjaga hubungan dengan Allah sesuai dengan dirinya sebagai hamba. Itulah makhluk yang beradab, yang mengenali dirinya dan meletakkan dirinya pada tempat yang betul. Dengan ilmu yang betul,manusia akan dapat mengenali semua itu.

            Untuk mengenali tempat diri sendiri, ini perlukan ilmu, iaitu hasil dari proses pendidikan yang dijalani oleh seseorang. Oleh itu menurut Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas(1980), pendidikan adalah penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang individu. Adab ini dalam erti kata tindakan yang betul, selaras dengan keadilan. Keadilan itu bermaksud suatu keadaan perkara itu berada pada tempatnya yang betul. Apabila kita beradab pada sesuatu,maka kital letakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul,contohnya melayan ibu bapa kita atau ister dan anak-anak kita, apabila kita melakukan perka yang betul, keadaan yang terhasil dari kita melakukan perkara yang betul itu dipanggil adil. Sesuailah dengan pernyataan yang berbunyi syariah itu asas keadilan.





BAB 4 : KAEDAH PENAMBAHBAIKAN

A. BERI AMANAH PADA AHLINYA


Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

(Surah An-Nisa’ 4: 58 )



            Apabila kita tahu seseorang itu layak untuk menjalankan tugas tersebut,maka kita hendaklah merekemenkan seseorang itu untuk tugas tersebut.Sekiranya kita tahu dia tidak layak untuk melaksanakan tugas tersebut,kita janganlah berikan tanggungjawab itu padanya. Namun sekiranya seseorang itu sudah menyandang jawatan atau mengambil tanggungjawab tersebut, maka perkara yang perlu dibaiki ialah ilmu penyandang jawatan tersebut, dengan berusaha meningkatkan kecekapan,kemahiran serta memperbaiki kesilapan yang lalu dan belajar dari pengalaman orang yang lalu serta kesilapan yang lalu.


B. MENUNTUT ILMU SESUAI DENGAN AMANAH YANG DIPIKUL

            Umumnya kita akan tahu dimana kekurangan kita apabila kita memegang suatu tanggungjawab dalam suatu organisasi. Maka haruslah kita meningkatkan ilmu dan kefahaman kita agar dapat melaksanakan tugas dengan efisien. Kita harus merujuk pada merek yang lebih pakar daripada kita dalam bidang yang kita diamanahkan.

            Dalam pembaikan pelaksanaan syariah, seringkali masalah yang timbul ialah dari individu itu sendiri kerana kekuranangan ilmu, yang mengakibatkan tidak cekap dalam menjalankan tugas. Pihak yang bertangunggjawab melihat dan memastikan kelicinan syariah islam dalam pelbagai bidang yang bersabit, haruslah menjalankan kursus yang sesuai bagi pemegang amanah tersebut dan menilai pencapaian dan prestasi pekerja yang menjalankan tugas tersebut dari semasa ke semasa.

            Teguran perlulah diberi apabila kesilapan yang dilakukan adalah diakibatkan kecuaian dalam menjalankan tugas. Manakala apabila diri kita sendiri yang memikul tanggungjawab itu, haruslah kita sentiasa muhasabah diri kita dan memperbaiki kemahiran kita dengan beransur-ansur agar hasilnya kita dapat melaksankan tugas yang diberi dengan baik. Dengan ini,secara keseluruhannya pelaksanaan syariah secara keseluruhannya akan bertambah baik.




BAB 5 : KESIMPULAN


            Secara keseluruhannya kita dapat lihat bahawa hujah-hujah dan contoh yang diberi menunjukkan bahawa syariah islam adalah bersifat menyeluruh dalam menguruskan segenap aspek kehidupan manusia.

            Dalam menguruskan masalah keluarga serta perkara yang menyentuh masalah akidah umat islam , kita akan merujuk kepada mahkamah syariah. Dari segi kewangan pula, ilmuan islam memberi satu alternatif dengan menawarkan sistem perbankan islam agar umat islam melakukan urusan jual beli,pelaburan dan sebagainya selari dengan kehendak syariah islam. Seterusnya, dalam islam mendidik umatnya agar menjalani hidup di dunia dengan menyedari bahawa dunia ini adalah sementara dan ada akhirat yang kekal abadi sebagai balasan kepada amalan hidup di dunia.

            Dengan mempunyai didikan yang baik serta ilmu yang benar, umat islam akan dapat menyedari dan meyakini dengan seyakinnya bahawa syariah islam adalah lengkap dan merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi memimpin manusia kearah kebahagiaan yang hakiki.

            Sebagai penutup bicara setiap daripada kita haruslah bersungguh-sungguh mengamalkan gaya hidup islam dengan cara menyelsaikan perkara dengan merujuk kepada al-Quran dan sunnah nabi Muhammad s.a.w agar cara kita menjalani hidup kita mempamerkan kesyumulan ajaran islam itu sendiri.

(2847 patah perkataan)
           


APENDIKS
RUJUKAN / REFERENSI
1. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(1980), The Concept of Education in Islam :A Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur : HAKIM.

2. Syed Muhammad Naquib al-Attas.(2002), Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam. Kuala Lumpur : ISTAC.

3. Imran Nazar Hossein.(1997), The Prohibition of Riba in The Quran and Sunnah. Kuala Lumpur : Ummavision.

4. Muhammad Asad.(1999),The Principles of State and Government in Islam. Kuala Lumpur : IBT

5. Siti Shamsiah.(2013), Bidang Kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia : Satu Pengenalan Ringkas. Dimuat turun pada 1 Mac 2015 daripada

6. Info Perbankan.(2007), Fahami Perbankan Islam. Dimuat turun pada 1 Mac 2015 daripada

Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.