[:::Ilmu:::] ~Bahagian 11~

by July 19, 2016 0 comments
         

              Kita melihat  bahawa umat islam seperti rasa ketinggalan dan bersikap seperti apologetik dengan kemajuan ilmu barat. Terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Ada yang mengagumi barat sehinggakan berfikiran bahawa pembinaan tamadun tanpa menjadikan agama sebagai teras pun masih dapat berkembang dengan pesat. Ini dilihat oleh mereka berdasarkan pelbagai penemuan2 sains dan teknologi bagi menjawab persoalan-persoalan tentang kejadian alam ini. Dengan segala penemuan ini, mereka masih tidak dapat menjawab persoalan apakah tuhan itu ada, dengan betul. Ada juga yang seperti kagum dengan  pandangan bahawa dunia ini terjadi dengan sendirinya secara spontan. Dan berfikiran bahawa tuhan tidak semestinya perlu ada dalam proses kejadian alam ini. Ada yang mengatakan ilmu tentang tuhan itu hanya khayalan atau pun rekaan semata-mata. Ada yang mempersoalkan tentang pelbagai perkara seperti sekiranya tuhan itu ada, mengapa itu begitu dan bukan begini? Seolah-olah tuhan perlu memenuhi kehendaknya dan bertindak sesuai dengan keadaan ideal yang dia fikirkan.

            Tamadun islam adalah tamadun yang berdasarkan pada ilmu. Dan ilmu kita adalah agama kita. Sumber ilmu, semuanya daripada Allah s.w.t. Tamadun islam juga tamadun yang menjadikan islam sebagai terasnya. Oleh itu, kegagalan umat islam membina tamadun islam, perlu dilihat dari segi kegagalan yang bersabit dengan soal ilmu pengetahuan. Adakah umat islam mempunyai masalah ilmu? ilmu apakah yang menjadi masalah? Dan apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa umat islam mengalami masalah ilmu? Pertama kita lihat dari segi mengenal ilmuan sejati. Ilmuan sejati adalah mereka yang mempunyai ilmu yang benar. Oleh itu, harus kita kenal hakikat ilmu dengan sebenar-benar kenal, agar dengan mengenal apa itu ilmu, nescaya kita akan memperoleh keupayaan mengenal siapakah ulama yang sebenar. Persoalan siapa ulama itu tidak perlu dijawab. Kerana kalau persoalan itu timbul, bererti mereka sudah tidak berupaya mengenal ulama sejati  dan yang palsu. Sudah tidak dapat bezakan antara kaca dan permata. Maka untuk menjawab persoalan siapakah ulama, mereka perlu mengenal hakikat ilmu.

             Kalau soalan siapa ulama itu dijawab begitu sahaja, maka sesudah ulama tersebut meninggal, mereka akan bertanya pula siapa ulama. Dan sekiranya mereka bertanya pada orang yang salah, maka salahlah jawapannya dan mereka akan mengikut orang yang salah. Oleh itu mereka perlu mempunyai ilmu tentang ilmu. Dengan adanya ilmu tentang apa itu ilmu, mereka akan mengenal siapa ulama sebenar. Mereka akan mula mengenal siapa ahlinya. Apabila ahlinya dikenali, barulah mereka dapat melaksanakan perintah Allah iaitu berilah amanah kepada ahlinya, dengan betul. Apabila setiap amanah diberi pada ahlinya, maka masalah akan dapat diselesaikan secara sistematik.

            Dengan ilmu yang benar, kita juga akan mengenal tempat yang betul bagi segala perkara. Ada suatu ilmu yang dipanggil ilmu hikmah. Hikmah bermaksud kebijaksanaan. Hikmah adalah suatu ilmu yang memberi tahu kepada pemiliknya, tempat yang betul bagi segala perkara. Terutamanya tempat duduk dirinya sendiri. Setelah mengetahui tempat duduk diri sendiri, kita pula seharusnya meletakkan diri kita pada tempatnya yang betul.

           Perlu juga kita tahu bahawa ilmu juga ada tempatnya masing-masing. Maka meletakkan ilmu pada tempatnya masing2 juga tanda seseorang itu mempunyai hikmah. Dengan setiap ilmu itu berada pada tempatnya masing-masing, dalam jiwa kita, kerana ilmu itu tempatnya di jiwa, maka setiap ilmu akan dituntut sesuai dengan kegunaaannya masing2. Setiap ilmu yang dituntut, akan membawa kepada keadilan. Dan tujuan sesuatu ilmu itu dituntut akan menjadi jelas dalam diri setiap penuntut ilmu-ilmu tertentu. Ilmu sains dan teknologi akan dituntut dan dikembangkan, sesuai dengan tempatnya. Ianya bukan lagi menjadi seperti sekarang, iaitu ianya dituntut untuk ilmu itu sendiri, dan ilmu itu seolah-olah tidak menunjukkan kepada tujuan hakiki ilmu itu dituntut. Tujuan ilmu sains dan teknologi itu menjadi tidak jelas, tidak menuju kepada tujuan akhir. Ianya hanya berfungsi untuk kegunaan manusia di dunia semata-mata. Tiada lagi tujuan yang lebih tinggi, iaitu memenuhi tujuannya berada di dunia ini.

            Tamadun islam juga tidak dapat terbina semula sekiranya kita sebagai umat islam tidak mempunyai pandangan alam yang benar. Pandangan alam islam itu tidak difahami dengan betul bahkan tidak berusaha untutk melihat ke dalam diri, apakah cara kita melihat realiti dunia ini, selari dengan sebenarnya, wujud dunia ini patut dilihat. Apakah kita melihat alam ini sebagai alam sahaja, dan hanya kagum dengan keajaiaban alam ini? Atau apakah dalam jiwa kita, terpancar jelas, faham bahawa alam ini adalah alamat yang menunjukkan kepada penciptaNya yang wajib wujud, dengan kuasa dan kehendakNya, mewujudkan alam ini, agar kita dapat mengenalNya, dan meletakkan Dia pada tempatNya yang betul dalam akal fikiran kita, serta diri kita pula pada tempatnya yang betul, lalu membawa kita pada berkelakuan di dunia ini, sesuai dengan kedudukan diri kita?

           Persoalan yang perlu kita fikirkan ialah apakah kita kenal siapa diri kita? Apakah tempat duduk kita? Adakah kita berkelakuan sesuai dengan tempat duduk diri kita? Adakah kita telah meletakkan diri kita pada tempatnya yang betul? Adakah kita menanggung amanah yang tidak mampu kita tanggung? Apakah kita sekiranya mempunyai keupayaan tertentu untuk memberi amanah pada ahlinya, kita memberinya? Atau apakah kita mengikut nafs ammarah kita, lalu menanggung amanah yang tidak mampu kita tanggung?

            Semoga kita diberi hidayah oleh Allah s.w.t sumber segala ilmu, yang mengurnia hikmah petunjuk kepada sesiapa yang Dia mahu.Semoga Allah memberikan kita ilmu dan memberi rezeki kefahaman kepada kita, dalam urusan kita menuntut ilmu, agar kita dapat mengenal siapa ulama sejati, lalu mengambil manfaat daripada mereka.  Semoga kita menjadi insan beradab, dapat menjadi insan yang mencerminkan seorang insan adabi, insan kamil, manusia yang tinggi kedudukannya di sisi Allah s.w.t iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita dapat berakhlak dengan akhlak baginda Rasulullah s.a,w.

          Akhir kata, semoga dapat kita hayati wahyu pertama Iqra' yang menyuruh kita menuntut ilmu. Pada ilmulah terletak segala penyelesaian.


Mohd Arif Syafiq

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.