1.0 PENGENALAN
Penulisan
ini akan membicarakan tentang mata wang. Wang merupakan suatu alat yang
mempunyai nilai yang kita gunakan dalam urusan seharian kita iaitu dalam urusan
jual beli, bagi mendapatkan apa yang dikehendaki. Ada yang menjual barangan
bagi mendapatkan wang, dan ada yang membeli dengan menggunakan wang bagi
mendapatkan barangan. Pernahkah kita terfikir tentang asal usul wang? Apakah
itu wang? Apakah manusia memang sentiasa menggunakan wang kertas sebagai wang?
Jika tidak apakah yang digunakan sebagai wang? Dan yang paling penting ialah
sebagai seorang muslim, apakah wang dari perspektif islam? Maka, bagi menjawa
sedikit sebanyak tentang persoalan berikut, maka saya akan membicarakan tentang
perbezaaan wang dari perspektif islam dengan mata wang fiat. Apa itu wang fiat?
Apa bezanya dengan wang yang sepatutnya digunakan sebagai wang oleh kita?
Sudah
menjadi pengetahuan umum bahawa sebelum wang fiat digunakan, manusia menggunakan
emas dan perak sebagai wang yang dinamakan sebagai dinar dan dirhaam.
Keistimewaannya sebagai wang juga akan saya perincikan dan sertakan dengan
dalil dari al-Quran sebagai menunjukkan keistimewaannya.
Seterusnya
ialah tentang kestabilan wang. Dalam perincian penulisan ini, akan saya
jelaskan secara serba ringkas tentang kestabilan yang akan berlalku hasil
daripada menggunakan dinar sebagai matawang bagi menggantikan wang fiat.
Seterusnya
ialah tentang pelbagai halangan yang akan dialami sekirnaya berusaha untuk
mengembalikan dinar dan dirham sebagai wang. Dan akan juga diselitkan nanti
tentang mengapa mereka begitu berpegang kepada wang fiat sebagai sistem, namun
pada masa yang sama, mereka mempunyai simpanan emas bagi menjadi kekayaan
mereka.
2.0 KONSEP WANG DALAM ISLAM DAN WANG
FIAT
Wang dalam islam atau dengan kata lain
ialah, wang yang jika digunakan, adalah dikira sebagai wang sunnah, kerana
penggunaannya juga turut disebut di dalam wahyu agung al-Quran, iaitu sumber
tertinggi rujukan dalam memahami agama islam. Apakah benar ada dalil-dalilnya
tentang dinar dan dirham dalam al-Quran? Benar, ianya disebut dalam al-Quran,
yang saya akan kupas pada perenggan berikutnya. Menurut Imran Nazar Hossein,
iaitu seorang ilmuan islam yang mengkaji asal usul sistem wang masa kini dan
wang yang asalnya digunakan oleh manusia, beliau menyatakan dalam bukunya yang
bertajuk Islam and The Future of Money, dengan menggunakan beberapa hadis,
untuk memberikan ciri-ciri tentang wang dalam islam.
Hadis
yang pertama yang beliau pilih dalam menjelaskan tentang wang dalam islam ialah :
Abu Said al-Khudari menceritakan,’Bilal datang kepada Nabi Muhammad dengan
membawa kurma kualiti Barni iaitu yang berkualiti baik. Lalu Nabi Muhammad
bertanya kepadanya, ’dari mana kamu mendapat kurma itu?’Bilal menjawab,’saya
mempunyai kurma yang berkualiti rendah
lalu saya tukarkannya sebanyak dua Sa’s
dengan satu Sa’s kurma ini’. Nabi Muhammad bersabda,”inilah inti kepada
riba!,inti kepada riba! Jangan lakukan perbuatan ini.Tetapi apabila hendak
membeli, jualkan kurma(yang berkualiti rendah) ini dalam transaksi yang berbeza
dan belilah dengan apa yang kamu dapat.(hasil dari penjualan)”.
(Bukhari,Muslim).
2.1 Penjelasan daripada hadis pertama :
a. Penukaran kurma yang tidak sama
nilainya/kualiti iaitu jenis kurma adalah riba.
b.Jika hendak membeli kurma yang lain,
kurma yang ada tidak boleh ditukar untuk mendapatkan kurma yang lain.Sebaliknya
ianya perlulah dijual, dan hasil jualan itu iaitu dirham/dinar pada ketika itu,
digunakan untuk membeli kurma yang lain.
c.Ianya memberi analogi iaitu kalau dalam
konteks ini, ialah Rm 100 , ditukar dengan Rm 150 contohnya. Ini memberi analogi larangan
kepada riba, iaitu bunga. Contohnya ialah saya meminjam sebanyak Rm 10 ribu
daripada bank, namun saya perlu membayar Rm 15 ribu kepada bank. Perbezaan
nilai tukaran itulah yang dikatakan sebagai riba.
Hadis yang kedua dipilih beliau pula ialah
:
Yahya
menyampaikan kepadaku dari Malik dari Naf’I bahwa Abdullah bin Umar membeli (menukar)
seekor unta tunggangan betina dengan empat ekor unta lain dan dia berjanji
untuk memberikan unta-unta tersebut kepada pembeli di ar-Rabadha.
(Muwatta, Imam Malik)
2.2 Penjelasan daripada hadis kedua :
a. Abdullah Ibn Umar mendapatkan seekor unta betina. Caranya
ialah dengan memberikan 4 ekor unta miliknya kepada penjual seekor unta betina
tersebut.
b. Pertukaran nilai yang tidak sama antara haiwan, tidak
dilarang dan tidak dianggap sebagai riba kerana unta adalah haiwan, dan haiwan
tidak dikategorikan sebagai wang.
c. Haiwan boleh jatuh sakit, maka haiwan tidak
layak dijadikan sebagai wang.
Hadi
yang ketiga yang dipilih oleh beliau ialah :
Abu Said al-Khudri melaporkan bahawa
pesuruh Allah(Nabi Muhammad) bersabda, ”emas dengan(ditukar) emas, perak dengan
perak, gandun dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam
dengan garam. Apabila transaksi adalah sama(seperti emas dengan emas), bayaran
dibuat pada ketika itu juga, maka sesiapa yang memberi lebih atau meminta
lebih(selepas selesai transaksi),maka dia terlibat dalam riba, penerima dan
pemberi, kedua-duanya sama bersalah”.
(Sahih Muslim)
2.3 Penjelasan bagi hadis yang ketiga :
a. Sekiranya emas,perak dan komoditi-komoditi
diatas ditukar, nilainya perlulah sama.
b.Sebarang manfaat yang diberi atau diterima
setelah berlakunya transaksi tersebut, dan manfaat itu timbul dari berlakunya
transaksi itu, maka itu adalah riba. Pemberi dan penerimanya dikira sebagai
melakukan riba. Analogi ini jika kita faham dalam konteks kini ialah, peminjam
adalah sebagai pemberi manfaat kepada bank, dan bank menerima manfaat daripada
kita. Manfaat yang dimaksudkan ialah bunga atau kadar faedah.
2.4 Berdasarkan dari beberapa hadis ini, beliau
rumuskan ciri-ciri wang dalam islam iaitu :
1. Wang
dalam islam ialah sama ada besi yang bernilai iaitu emas dan perak atau
komoditi seperti gandum, barli, kurma dan garam. Komoditi ini mempunyai
ciri-ciri seperti digunakan sebagai makanan dan mempunyai jangka hayat.
2. Wang
dalam islam mempunyai nilai intrinsik. Nilai intrinsik bermakna wang itu
sendiri mempunyai nilai pada dirinya. Emas, perak dan barang komoditi yang
mempunyai jangka hayat, kesemuanya mempunyai satu persamaan, iaitu mempunyai
nilai intrinsik.
3.Wang
merupakan ciptaan Allah. Penjelasannya ialah objek2 yang mempunyai nilai
intrinsik yang melayakkannya menjadi wang juga merupakan objek material yang
diciptakan oleh Allah dan sebagai penjelmaan kepada sifat Allah yang maha kaya.
Emas, perak dan bahan komoditi tidak boleh dicetak seperti wang kertas, kerana
ianya adalah kurniaan rezeki daripadaNya.
Sebagai
penutup kepada ciri-ciri wang dalam islam, saya sertakan satu ayat al-Quran
bagi menunjukkan bahawan emas dan perak yang digunakan sebagai wang, mempunyai
nilai intrinsik, dan diiktiraf dalam al-Quran itu sendiri sebagai mempunyai
nilai, serta perlu dibelanjakan dan diuruskan agar sesuai dengan syariat islam.
Wahai orang-orang yang
beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama
(Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan
mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah)
orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada
jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
(Surah
at-Taubah 9 : ayat 34).
Begitulah
sedikit penerangan tentang wang dalam perspektif islam.Manakala wang fiat pula
merupakan wang yang diterima dalam sesuatu kerajaan sebagai, legal tender, iaitu wang yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai
wang yang sah untuk digunakan dalam urusan jual beli. Wang fiat tidak
disandarkan dengan komoditi fizikal. Nilai wang fiat pula bergantung kepada
permintaan dan bekalan wang tersebut. Dengan kata lain, nilai wang tersebut
tidak bergantung kepada material yang digunakan untuk menghasilkan wang
tersebut. Wang fiat bergantung kepada keyakinan pengguna terhadap wang
tersebut.
Berbeza
dengan emas dan perak yang mempunyai nilai intrinsik, iaitu nilai wang tersebut
bergantung kepada wang tersebut. Kalau kita lihat sejarah secara umum, dapat
kita ketahui bahawa wang pada kebiasaannya disandarkan kepada komoditi fizikal
seperti wang dan emas. Mata wang juga pernah disandarkan kepada minyak, yang
dipanggil sebagai petrodollar. Beza ketara dengan wang fiat ialah wang fiat
hanya berdasarkan KEPERCAYAAN atau KEYAKINAN. Sekiranya pengguna hilang
kepercayaan terhadap mata wang tersebut, maka mereka tidak akan menggunakan
mata wang tersebut. Hasilnya nilai wang tersebut akan susut. Fiat merupaka perkataan daripada bahasa latin
yang membawa maksud ia akan jadi atau it
shall be.
Dengan
hanya spekulasi, atau khabar berita tentang korupsi sesuatu negara, atau pun
sesebuah negara itu dilihat sebagai tidak aman, maka berita-berita sebegini
dapat menjatuhkan nilai mata wang sesebuah negara. Dalam bahasa mudah, dalam
sistem wang fiat, nilai wang itu boleh hilang daripada wang tersebut apabila
pengguna berasa tidak yakin dan percaya pada kestabilan wang itu. Apabila nilai
wang itu jatuh, maka pada pandangan pengguna, kita akan lihatnya sebagai harga
barang meningkat. Sebenarnya, pada hakikatnya, bukanlah harga barang yang
meingkat namun, nilai mata wang yang turun.
Kita
dapat yakin dengan pasti, apabila kita daripada Malaysia, melancong ke negara
yang mempunyai nilai mata wang rendah berbanding negara kita, contohnya
Indonesia. Dengan membawa sejumlah wang kita, dan ditukarkan kepada mata wang
rasmi negara indonesia, kita dapat rasakan bahawa kita seolah-olah menjadi kaya
dan dapat menikmati pelbagai kemudahan seperti hotel, pusat peranginan,
restoran dan pengangkutan dengan harga yang amat murah jika dibandingkan dengan
nilai wang kita. Sebaliknya jika kita pergi ke negara yang mempunyai nilai mata
wang yang lebih tinggi berbanding nilai mata wang negara kita, contohnya
Australia, kita akan berasakan bahawa barang-barang di sana agak mahal. Sekali
lagi harus diingatkan, bahawa bukanlah harga barang yang naik, tetapi nilai
wang yang turun.
Inilah
perbezaan ketara antara wang daai perspektif islam, yang mempunyai nilai
intrinsik, dengan wang fiat yang tidak mempunyai sebarang nilai padanya, yang
hanya nilaunya bergantung kepada kepercayaan dan keyakinan pengguna
terhadapnuya. Bagi wang yang mempunyai nilai intrinsik seperti emas dan perak,
atau juga dipanggil dinar dan dirham, walaupun nilainya juga ada naik turun,
tetapi wang itu sendiri secara fizikalnya bernilai, dan nilai itu tersimpan
dalam wang itu sendiri.
Saya
berikan satu contoh. Ada dua orang manusia yang ingin menyimpan hartanya dalam
peti keselamatan selama 10 tahun. Keduanya ingin menyimpan harta yang bernilai
Rm 10 ribu. Manusia A menyimpannya
hartanya yang bernilai Rm 10 dalam bentuk wang kertas dalam peti
keselamatannya. Manusia B menyimpan hartanya yang bernilai Rm 10 ribu dalam
bentuk kepingan emas dan perak. Setelah 10 tahun berlalu, siapakah yang dapat
memegang dan menyimpan nilai itu dengan selamat? Jawapannya ialah Manusia B.
Hal ini disebabkan nilai wang kertas akan semakin susut dan terdapat
kemungkinan bahawa nilai wang fiat itu sendiri sudah tidak digunakan lagi 10
tahun kemudian dan digantikan dengan mata wang baru. Walau bagaimanpun, emas
dan perak tetapi bernilai 10 tahun kemudian. Bahkan emas dan perak akan tetap
bernilai selama-lamanya.
3.0 APLIKASI DINAR EMAS BAGI MENJAMIN
KESTABILAN MATA WANG
3.1 Menyandarkan Mata Wang dengan Emas.
Pertama
ialah menyandarkan wang kertas pada emas. Ini sudah tentu bertentangan wang
fiat. Apabila wang kertas disandarkan pada emas, maka bank tidak lagi dapat
mencetak wang sewenang-wenangnya dan tidak dapat mencipta lebih banyak hutang.
Dengan menggunakan kaedah sandaran pada emas ini, wang kertas akan berfungsi
seperti cek. Dan kita dapat menukarkannya semula dengan emas pada bila-bila
masa. Nilai wang juga akan terpelihara. Katakanlah sebagai contoh, ada
spekulasi yang berlaku untuk menghilangkan kepercayaan terhadap mata wang ini,
nilai mata wang ini tidak akan jatuh seperti wang fiat, kerana nilai wang
kertas yang disandar pada emas, adalah tersimpan dalam emas itu sendiri, bukan
bergantung kepada kepercayaan atau keyakinan orang terhadapnya seperti wang
fiat yang kini digunakan.
3.2 Kerajaan Memiliki Simpanan Emas.
Sesebuah
kerajaan yang memiliki simpanan emas yang banyak, akan dapat menyelamatkan
negaranya yang dilanda krisis, iaitu dengan menggunakan simpanan emas yang ada
untuk menstabilkan mata wang. Antara caranya ialah dengan membayar hutang
negara pada ketika nilai emas melonjak naik. Jual beli emas yang dilakukan
dengan bijak oleh kerajaan akan dapat menstabilkan nilai mata wang negara dan
meningkatkan lagi simpanan emas negara yang akan digunakan bagi membangunkan
ekonomi negara selain dari sebagai persediaan bagi menghadapi krisis ekonomi
dunia yang bole melanda pada bila-bila masa dalam sistem wang fiat pada masa
kini.
3.3 Menggunakan Dinar Emas dalam Ekonomi
Mikro.
Kita
boleh menstabilkan mata wang negara dengan cara kita sering berurus niaga dalam
urusan jual beli emas. Walaupun emas tidak diiktiraf sebagai wang oleh kerajaan
sebagai legal tender, namun emas
tetap mempunyai nilainya. Ianya boleh digunakan dalam urusan perkahwinan
sebagai mas kahwin, dan juga kerjasama dengan kedai-kedai dan syarikat-syarikat
boleh dilakukan iaitu bagi urusan mendapatkan perkhidmatan atau jual beli
barangan tertentu, dinar emas boleh digunakan sebagai alternatif kepada wang
fiat. Selain dari memberi pendedahan kepada masyarakat tentang penggunaan dinar
emas sebagai wang, aktiviti penggunaan wang fiat yang dikaitkan dengan jual
beli emas akan menambahkan lagi keyakinan dan kepercayaan pengguna terhadap
nilai wang fiat rasmi sesuatu negara. Secara keseluruhannya, mata wang fiat
ringgit akan semakin stabil.
3.4 Menyimpan Nilai Wang dalam Dinar Emas.
Seterusnya
ialah menyimpan wang yang kita ada dalam bentuk emas. Katakanlah kita mempunyai
wang simpanan sebanyak Rm 20 ribu, kita gunakannya untuk membeli emas, dan
simpan. Apabila wang fiat negara kita mengalami kejatuhan, kita dapat
menggunakan dinar emas untuk ditukar kembali kepada wang fiat. Sekiranya ini
berlaku dalam skala besar di negara kita, iaitu penukaran dinar emas kepada
wang fiat ketika nilai mata wang negara kita susut, ia akan memberikan mata
wang negara kita kestabilan dan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan
terhadap mata wang negara kita.
4.0 CABARAN PENGGUNAAN DINAR SEBAGAI
MATA WANG DI MALAYSIA
4.1 Jual Beli secara Atas Talian(Online).
Hari
ini, urusan jual beli secara atas talian merupakan suatu perkara biasa. Membeli
buku, kenderaan, pakaian dan pelbagai macam perkhidmatan dan kemudahan. Maka
sekiranya kita menggunakan dinar emas sebagai mata wang, maka bagaimana harus
kita sesuaikan ia dengan penggunaan sistem jual beli secara atas talian yang
berlaku secara antarabangsa? Kita dapat lihat bahawa, urusniaga membeli
barangan daripada luar negara merupakan perkara yang amat mudah pada hari ini.
Kita hanya perlu pindahkan wang secara atas talian, dan barangan akan diposkan
kepada kita.
Jadi
persoalannya bagaimana dengan adanya sistem jua beli atas talian, kita hendak
harmonikan dengan dinar emas agar kita tidak dilihat sebagai gagal memberikan
alternatif kepada perkembangan semasa dan sistem muamalat islam akan dilihat
sebagai menyusahkan, serta tidak mampu menghadapai cabaran semasa? Ajaran islam
bersifat universal maka sudah tentu sistem mualamatnya juga begitu. Maka,
perlulah pakar ekonomi islam memikirkannya. Sekiranya masalah ini tak dapat
diselesaikan maka penggunaan dinar emas sebagai mata wang adalah mustahil di
negara ini.
4.2 Kepercayaan dan Keyakinan Terhadap
Wang Fiat
Penukaran
mata wang merupakan perkara yang besar, apa lagi perubahan daripada penggunaan
wang fiat kepada wang yang mempunyai nilai intrinsik. Umumnya kita sudah biasa
munggunakan wang fiat, maka kita lihat wang fiat sebagai lebih mudah diterima
oleh semua orang dan merupakan sistem terbaik pada masa kini bagi mereka. Ada
juga yang mengatakan sekiranya menggunakan dinar emas, maka dompet juga akan
berubah menjadi karung seperti zaman lampau. Maka emas itu berat untuk dibawa
ke mana-mana dan menyusahkan. Oleh itu wang fiat masih lagi merupakan jawapan
yang terbaik baik mereka. Ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.
4.3 Halangan daripada Bank.
Bank
tidak menerima emas sebagai wang. Maka menyimpan emas di bank tidak dikiran
sebagai menyimpan wang. Maka selagi dinar emas tidak diiktiraf sebagai wang
oleh pihak bank, iaitu pihak yang menguruskan wang di seluruh dunia, maka
selagi itulah wang dinar emas tidak akan
diiktiraf sebagai mata wang secara
global, apa lagi di Malaysia. Maka pengiktirafan dinar emas sebagai wang
perlulah diperolehi daripada institusi yang menguruskan wang, terutamanya
perbankan islam. Pada masa kini, saya tidak lagi nampak ada bank yang
mengiktiraf dinar emas sebagai mata wang. Mereka masih berpegang teguh kepada
wang fiat sebagai wang yang sah.
4. Penggunaan YangTerhad
Dalam
penggunaan harian, masyarakat pastinya akan tertanya-tanya cara menggunakannya
dan had penggunaannya. Kalau pun ada individu yang mempunyai dinar emas, maka
bagaimana mereka ingin menggunakannya untuk membeli ayam, atau membeli belah di
pasaraya? Seterusnya ialah dalam meneruskan kelangsungan hidup, kita perlu
mendapatkan pelbagai keperluan dan menyelesaikan pelbagai hutang. Sekiranya
perkhidmatan untuk berurus niaga dalam bentuk wang dinar emas tidak disediakan
secara meluas, selagi itu masyarakat tidak dapat mula menggunakannya. Dan
penggunaannya akan menjadi terhad. Tambahan pula, siapa dan berapa dalam
kalangan masyarakat di negara kita yang mampu mempunyai dinar emas? Apa lagi ingin
menggunakannya untuk urusan jual beli. Harga emas yang begitu mahal, membuatkan
ramai yang tidak mampu mendapatkannya. Mendapatkan emas pun kaum muslimin
rata-ratanya masih tidak berkemampuan, maka bagaimana ingin menggunakannya?
Kalau saya ringkaskan, nak mempunyai wang fiat untuk memiliki wang dinar emas
pun tak mampu, maka bagaimana nak guna dinar emas sebagai mata wang untuk
menggantikannya? Dan bagaimana pula dengan cara pembayaran gaji penjawat awam
dan swasta serta pekerja dometik? Bagaimana ingin selesaikan pertembungan wang
fiat dengan wang dinar emas? Ini merupakan satu hal rumit yang di luar
pengetahuan saya, dan saya fikir, masih
belum ada alternatif yang baik bagi menyelesaikannya.
5.0 KESIMPULAN
Dalam
kehidupan seharian, sememangnya kita tidak dapat lari dari urusan jual beli dan
pertukaran barangan bagi mendapatkan apa yang kita hendak dan apa yang kita
perlu. Maka itulah antara tujuan sistem wang ini wujud. Sistem wang digunakan
bagi urusan jual beli. Sepanjang sejarah manusia, kita menggunakan emas dan
perak sebagai wang dan juga apabila berlaku kekurangan emas dan perak dalam
pasaran, komoditi yang mempunyai jangka hayat akan digunakan bagi menggantikan
emas dan perak. Perbezaan jelas dalam sistem wang dari perspektif islam dapat
diihat dengan jelas jika kita bandingkannya dengan sistem wang fiat.
Sebelum
wang fiat diperkenal oleh kuasa barat, umat islam menerima dan menggunakannya
sebagai wang. Hasil daripada mereka mencetak terlalu banyak wang kertas, dan
mereka gagal untuk menukarkannya semula
kepada emas apabila dituntut, maka mereka telah menolak sistem wang yang
disandarkan pada emas dan mula menggunakan wang fiat. Nilai wang fiat akan
jatuh apabila pengguna hilang kepercayaan terhadapnya dan nilai akan naik
apabila bertambah kepercayaan terhadap wang tersebut. Wang fiat itu sendiri
tidak mempunyai nilai. Maka wang kertas gagal memegang nilai secara tetap,
manakala dinar emas, sentiasa berjaya memegang nilai. Dan dinar emas akan
sentiasa bernilai.
Terdapat
pelbagai cabaran dan cabaran yang paling besar ialah cabaran ilmu. Masyarakat
perlu diberi ilmu pengetahuan tentang asal usul wang dan penggunaannya
sepanjang sejarah tamadun manusia. Mereka juga perlu tahu sedikit sebanyak
tentang krisis kewangan, kelahiran sistem wang fiat, dan yang paling utama
ialah, mereka perlu tahu dengan pasti, tentang hujah-hujah mengapa dinar emas
adalah sistem mata wang terbaik bahkan ianya jauh mengatasi sistem wang fiat.
Sebagaimana kata hikmah dari ilmuan iaitu, ”faham dahulu amal boleh menyusul”.
Mereka perlulah dididik tentang sistem matawang dinar emas ini dengan baik
terlebih dahulu.
RUJUKAN
/ REFERENSI
1. Imran Nazar Hossein.(2007). The Gold Dinar and Silver Dirham Islam and The Future of Money. San Fernando
: Majis Jami’ah.
2. Imran Nazar Hossein.(1997). The Prohibition of Riba in The Quran & Sunnah. New York : Masjid Darul Qur’an.
3. Investopedia.(2016). Fiat Money. Dimuat turun pada 10 Julai
2016 daripada
4.Financial Times.(n.d). Definition of Fiat Money. Dimuat turun
pada 10 Julai 2016 daripada http://lexicon.ft.com/Term?term=fiat-money
5. Jack, S.(2012). Gold vs. Paper Money : Which Should We Trust More. Dimuat turun
pada 11 Julai 2016 daripada http://www.bbc.com/news/business-18644230
6. Lewis, N.(n.d). Gold is Stable Money. Dimuat turun pada 11 Julai 2016 daripada